Review Filem Gemini Man


Filem:
Gemini Man

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Ang Lee

Genre:
Aksi & Fiksyen Sains

Pelakon:
Will Smith, Mary Elizabeth Winstead, Clive Owen, Benedict Wong & Etc.

Tarikh Tayangan:
10 Oktober 2019

Pengedar:
United International Pictures

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pembunuh upahan bernama Henry Brogen yang kini sudah berusia dan ingin bersara dari kerjayanya. Namun, perkara sebaliknya berlaku apabila dia terpaksa berdepan dengan klon dirinya yang bukan sahaja lebih muda tetapi boleh membaca setiap pergerakannya. Bagaimana boleh wujudnya klon tersebut? Apakah punca sebenarnya? Kenapa klon tersebut memburu Henry? Saksikan filem yang penuh dengan aksi ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 10 Oktober 2019 ini untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula buat pertama kalinya telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menghadiri tayangan media bagi filem Gemini Man bertempat di MBO Starling pada 2 Oktober 2019 yang lepas. Melihat kan kepada pelakon utamanya yang merupakan antara pelakon kegemaran kami iaitu Will Smith semestinya memberikan kami satu harapan yang tinggi bahawa filem ini berkemungkinan besar bakal menarik perhatian kami. Jadi, selepas menontonnya apa yang kami boleh katakan ada sebahagian perkara yang kami sukai dan juga sebaliknya. 


Filem Gemini Man cuba membawa penonton untuk melihat kehidupan lelaki bernama Henry Broger yang sudah mula tawar hati untuk menjadi pembunuh upahan di usianya yang mencecah 51 tahun. Namun, filem fiksyen sains ini mencetuskan pelbagai konspirasi sehingga Henry akhirnya sedar bahawa dia kini sedang berdepan dengan seorang manusia yang sebenarnya merupakan klon dirinya sendiri. Kami melihat plot penceritaanya tidak lah terlampau unik dan permainan plot yang cuba memanipulasi pemikiran penonton juga pada kami tidak semuanya berjaya. Intipatinya juga dilihat tidak berjaya menggali dengan lebih dalam perihal teknologi klon yang dipamerkan sehebat sedemikian yang menyebabkan filem ini dilihat lebih kepada menawarkan kekuatan dari sudut elemen aksi yang sangat komersial dan versatil berbanding sudut plot ceritanya. Jika dinilai dari sudut penceritaan, bukannya kami menyatakan ianya tidak menarik tetapi pada kami filem ini sekadar menampilkan sebuah kisah biasa yang mudah diramal kesudahannya.


Namun, filem Gemini Man diakui berjaya memaparkan adegan-adegan aksi yang memukau terutama dari sudut ketelitian dan kejelasan visual tersebut. Anda pasti akan dapat melihat dan kagum dengan adegan-adegan kejar-mengejar dan tembak-menembak melibatkan watak Henry dan Junior yang pada kami sangat mengagumkan. Kekuatan aksinya sama ada dari sudut koreografer, permainan kamera, sinematografi dan suntingan disamping diperkuatkan lagi dengan unsur humor yang menjadikan filem ini sememangnya menghiburkan untuk ditonton.


Filem Gemini Man nampaknya bakal menjadi sumber rujukan filem Hollywood pada masa-masa akan datang dari sudut teknologinya mewujudkan serta memudakan wajah pelakon yang perlu melakonkan dua watak seperti mana Will Smith di dalam filem ini. Hasil teknologi canggih menggunakan data-data lama lakonan Will Smith nampaknya berjaya digunakan dengan baik untuk menghasilkan watak Junior ini. Walaupun diakui hal ini agak unik dan luar biasa namun sayangnya keunikan untuk faktor ini tidak dapat diikuti oleh keseluruhan jalan ceritanya yang pada kami hanya kisah biasa. Namun, secara keseluruhan filem Gemini Man ini wajar ditonton oleh para kaki wayang yang meminati filem aksi dan pastikan anda memilih pawagam yang menawarkan teknologi terkini seperti 3D, IMAX dan sebagainya untuk memberikan anda satu pengalaman menonton yang lebih menarik terutama apabila melibatkan babak-babak aksinya.


Jadi, selamat menonton filem Gemini Man di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 10 Oktober 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Bollywood Iaitu War. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Saya berjaya tonton versi HFR3D. Wow... imej yg cantek dgn efx 3D yg menarik membuat film ni lagi menonjol bila dibandingan dgn IMAX. Jika ada peluang, tonton lah versi HFR3D, peminat Will Smith akan lebih puas ati, heheh...

    BalasPadam