Review Filem Darbar


Filem:
Darbar

Penilaian:
9/10

Pengarah:
A. R. Murugadoss

Genre:
Aksi, Komedi & Romantik

Pelakon:
Rajinikanth, Nayanthara, Sunil Shetty, Nivetha Thomas, Yogi Babu & Etc.

Pengedar:
Lotus Five Star

Tarikh Tayangan:
9 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang anggota polis bernama Aaditya. Dia telah dihantar ke Mumbai untuk membaik pulih keadaan kerana kerajaan pusat menganggap undang-undang di bandar itu berada di luar kawalan. Pada masa yang sama, dia juga perlu hapuskan kerja-kerja haram yang dijalankan oleh seorang hartawan. Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 9 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Tamil yang sangat-sangat dinantikan iaitu Darbar lakonan pelakon hebat Rajinikanth bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 9 Januari 2020 yang lepas. Selepas tiga naskah lakonan Rajinikanth yang telah ditonton pada dua tahun lepas dan nampaknya filem Darbar sememangnya kembali menampilkan dan menaikkan semula aura beliau. Dimulakan dengan pengenalan klasik S.U.P.E.R. S.T.A.R RAJNI sebelum penonton dibawa melihat watak Aaditya iaitu seorang anggota polis yang sedang menggila dengan membunuh pelbagai jenis samseng serta melanggar arahan pihak berkuasa Hak Asasi Manusia yang ingin menghentikan serangan ganasnya kepada kumpulan terbabit. Ia adalah satu permulaan yang menarik pada pandangan kami kerana babak-babak awal ini telah berjaya mengembalikan imej Rajinikanth yang sepatutnya wujud pada filem-filemnya yang sebelum ini.


Filem Darbar ini sebenarnya hanya mengulangi kembali kisah-kisah tentang anggota polis yang berhadapan dan berdendam dengan pihak musuh yang boleh kita tonton di dalam mana-mana filem Tamil yang lain. Namun, inilah istimewanya filem Darbar ini dimana Rajinikanth sudah diketahui mempunyai pesonanya tersendiri yang semestinya mengagumkan. Walaupun di usianya yang boleh dikatakan tersangat otai namun ia langsung tidak pernah kelihatan di layar perak dan persembahan lakonannya yang menawan ini menjadi punca peminat beliau akan terhibur menonton filem penuh aksi hiperbola yang menarik ini. Mungkin jika dilihat kepada tarian sahaja maka anda akan mengetahui bahawa pelakon pujaan ramai ini sudah dimamah usia namun ia bijak ditutup oleh solekan, pemakaian dan semestinya jiwa lakonannya yang besar.


Filem Darbar menampilkan kisah berkaitan dengan dadah, pemerdagangan wanita dan semestinya kuasa politik kotor yang berada di sebalik masalah-masalah jenayah ini. Adunan ini kemudian digabungkan pula dengan elemen humor serta aksi yang menjadikan filem yang berdurasi lebih daripada 2 jam 30 minit ini tidak terasa lama. Apa yang lebih memukau ialah skor bunyi yang sangat membantu kami sebagai penonton untuk menikmati setiap adegan pertarungan dengan cukup puas. Skor bunyi filem ini sememangnya terbaik. Menyentuh tentang plot penceritaan pula, kami melihat kisah kekeluargaan berkaitan hubungan bapa dan anak yang melibatkan watak Aaditya serta anak perempuannya iaitu Valli adalah sangat menarik dan kuat. Diserikan dengan kehadiran pelakon komedi iaitu Yogi Babu di dalam hubungan anak beranak ini menjadikan setiap adegan melibatkan mereka bertiga sentiasa menceriakan keadaan. Namun, berbeza pula adegan-adegan percintaan melibatkan Aaditya dan watak Lily yang dilakonkan oleh Nayanthara dimana pada permulaannya ia dibina dengan baik di dalam bentuk komedi sebelum berakhir dengan satu rasa yang agak canggung.


Filem Darbar juga seperti mana filem-filem India yang lain sentiasa mahu melangkah jauh ke hadapan dimana adegan-adegan melibatkan penjenayah kali ini merangkumi luar daripada India. Ada babak-babak di negara Thailand serta adegan-adegan menggunakan televisyen serta komputer untuk memaparkan bagaimana hebatnya komunikasi antara polis India dengan polis-polis dari Dubai, China dan sebagainya. Ada yang menjadi dan ada juga yang kelihatan terlalu berlebih-lebihan. Namun, kesalahan-kesalahan kecil ini berjaya ditutup dengan baik melalui adegan-adegan aksi yang dikoregraf dengan cukup kemas dan semestinya dibantu dengan baik oleh elemen aksi hiperbola yang cukup menghiburkan,


Secara keseluruhannya, filem Darbar menampilkan sebuah penceritaan yang pelbagai. Ia ada kekuatan tersendiri. Ada pesonanya yang bijak diberikan oleh Rajinikanth. Ada mesejnya yang baik sama ada tentang keluarga, negara mahu pun amanah di dalam pekerjaan. Ada juga kelemahan disana-sini terutama melibatkan kisah percintaan antara watak lakonan Rajinikanth dan Nayanthara. Namun, keistimewaan dan kelebihan filem Darbar ini yang terletak kepada tiga perkara berjaya menutup kemas kelemahan-kelemahan yang ada di dalam filem. Tiga perkara tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah pesona dan persembahan lakonan Rajinikanth, aksi hiperbola dan elemen humor yang berjaya menyatu dengan baik.


Jadi, selamat menonton filem Darbar di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 9 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Sangat Menarik Berjudul Chhapaak. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan