Review Filem Chhapaak


Filem:
Chhapaak

Penilaian:
10/10

Pengarah:
Meghna Gulzar

Genre:
Biografi & Drama

Pelakon:
Deepika Padukone, Vikrant Massey, Vishal Dahiya, Vikrant Massey & Etc.

Pengedar:
Antenna Entertainments

Tarikh Tayangan:
10 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengambil inspirasi berdasarkan kisah benar mengenai Laxmi Agarwal yang merupakan seorang wanita yang menjadi mangsa serangan asid yang berlaku di New Delhi pada 2005 ketika berumur 15 tahun selepas dia menolak lamaran seorang lelaki berusia 30-an. Filem Chhapaak mengisahkan seorang wanita yang merupakan mangsa serangan asid iaitu Malti yang bergelut untuk membina hidup baru selepas mengalami perubahan yang besar di dalam kehidupan sehariannya. Kini Malti perlu berhadapan dengan dunia barunya dan berjuang untuk menuntut keadilan untuk dirinya dengan bertarung dengan lelaki yang telah menyimbah wajahnya dengan asid di mahkamah. Berjayakah Malti mendapatkan keadilan buat dirinya serta wanita-wanita lain yang senasib dengan dirinya? Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 10 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang cukup menarik dan menepati harapan kami yang cukup tinggi ke atas filem berdasarkan kisah benar ini iaitu Chhapaak lakonan pelakon wanita hebat Bollywood iaitu Deepika Padukone di TGV Cinemas Jaya Centre pada 10 Januari 2020 yang lepas. Walaupun filem Chhapaak ini dilihat bermula dengan momentum penceritaan yang agak perlahan pada bahagian pertama filem ini namun elemen kesakitan, penderitaan serta kesan terhadap emosi dan kehidupan seharian yang bijak dipersembahkan oleh Deepika kepada watak Malti ini berjaya membantu mendekatkan lagi penonton tentang apa yang dilalui oleh gadis-gadis yang menjadi mangsa serangan asid ini.


Filem Chhapaak berjaya membawa nilai-nilai realistik di dalam penceritaannya ini dengan memberikan fokus terhadap serangan asid yang sehingga kini masih galak berlaku di India dimana anggaran serangan asid adalah sekitar 500 hingga 1000 kes yang berlaku setiap tahun. Menariknya disini ialah kisahnya bukan sekadar membawa penonton untuk melihat apa yang berlaku dan adakah gadis ini berjaya mendapat pembelaan sewajarnya tetapi sebenarnya membawa penonton untuk melihat keseluruhan luar dan dalam tentang apa yang berlaku kepada kehidupan gadis yang diserang asid selepas itu dimana ia meliputi segala perkara sama ada psikologi, keluarga serta pandangan masyarakat sekitar terhadap mangsa-mangsa ini. 


Apabila filem Chhapaak mengangkat kisah seorang wanita India bernama Laxmi Saa yang merupakan mangsa serangan asid dimana wanita ini telah menerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa pada tahun 2014 yang disampaikan oleh Michelle Obama maka ia semestinya adalah satu percubaan yang sangat besar dimana ia meneruskan legasi kempen yang masih diteruskan oleh wanita ini untuk memastikan asid dilarang sebagai jualan di India. Walaupun polisi penjualan telah dikawal selia namun sehingga ke hari ini asid masih mudah dibeli dan diperoleh di India. Walaupun mangsa serangan asid di India kini berhak menerima rawatan perubatan percuma dan pampasan minimum berjumlah lebih kurang RM18000 namun ironinya ia membawa penonton untuk berfikir sejenak tentang undang-undang terhadap penjenayah yang melakukan serangan serta adakah ianya adil dan berbaloi untuk diterima oleh mangsa serangan asid yang bakal hidup dengan wajah yang mengerikan sehingga ke akhir hayat mereka.  Di India, kerajaan mereka telah memperkenalkan pindaan kepada Kanun Keseksaan India menerusi Akta Undang-Undang Jenayah (Pindaan) pada tahun 2013 yang menjadikan serangan asid sebagai satu kesalahan khusus dengan hukuman penjara tidak kuranng daripada 10 tahun dan boleh memanjangkan hukuman penjara seumur hidup serta denda.


Filem Chhapaak juga membawakan satu mesej keselamatan yang menarik buat gadis-gadis bukan sahaja di India tetapi juga di seluruh dunia tentang pentingnya pengetahuan mereka tentang masalah serangan ini dan bagaimana cara-cara untuk melindungi diri mahu pun melakukan persediaan awal seandainya mereka pula yang menjadi mangsa serangan asid. Antara yang menarik ialah tentang siap siaga di dalam membawa bekas air yang berisi air putih untuk digunakan bagi mencurahkan air tersebut ke kawasan kulit yang terkena simbahan asid. Selain itu, orang-orang awam yang berada disekeliling gadis yang menjadi mangsa serangan asid juga boleh bertindak segera dengan menjirus kawasan kulit gadis ini yang terkena asid ini dengan air serta membawa gadis-gadis ini ke bilik air atau tempat yang mempunyai pili air dan melalukan air di kawasan terkena simbahan asid di dalam waktu sekitar 15 minit hingga 30 minit sebagai kaedah awal pencegahan. Melihat dua adegan menarik dimana adegan pertama melibatkan seorang lelaki tua yang membantu menjirus air mineral miliknya kepada wajah Malti yang terkena asid serta adegan di hospital dimana barisan jururawat menggunakan baldi berisi air dan menggunakannya untuk membasahi kawasan kulit Malti yang sedang melecur akibat kesan asid tadi. Secara tidak langsung, filem ini membawa satu maklumat penting agar gadis yang menjadi mangsa serta orang awam yang berada di persekitaran sewaktu kejadian serangan berlaku agar peka dan tahu apa yang perlu dilakukan seandainya kes jenayah ini terjadi.



Kekuatan utama filem Chhapaak dapat dilihat dengan jelas terutamanya pada pembinaan karakter watak utamanya iaitu Malti. Penonton akan dibawa untuk melihat setiap titik fasa-fasa kehidupannya daripada seorang gadis lemah-lembut yang periang serta mengejar cita-cita untuk menjadi bintang terkenal India sebelum segala-galanya musnah diragut disebabkan kegilaan lelaki durjana yang tidak dapat menerima penolakan lembut cinta mereka oleh gadis seperti Malti ini. Kemudian, bagaimana watak Malti ini berhadapan dengan kehidupan barunya yang penuh dengan rasa ketakutan, keyakinan diri yang hampir pasti tiada, rasa malu berhadapan dengan orang awam daripada kanak-kanak sehingga dewasa serta rasa jijik memandang wajah sendiri di cermin yang memaparkan kedudukan mata dan hidung anda yang tidak selaras serta sebahagian telinga anda yang sudah tiada. Lebih memeritkan apabila melihat bagaimana watak Malti ini berasa 'bersalah' diatas apa yang dilalui oleh ahli keluarganya yang menjadi mangsa ejekan atau buah mulut orang sekitar. Belum lagi melihat kepada peluang pekerjaan yang sememangnya tipis untuk mangsa-mangsa serangan asid seperti Malti ini walaupun mereka mempunyai kelayakan pendidikan yang tinggi dan berkualiti. Jadi, kami melihat filem Chhapaak sangat berjaya di dalam membawa penonton untuk melihat, menyelami dan memahami dengan lebih mendalam lagi tentang apa yang perlu dihadapi oleh mangsa-mangsa serangan asid ini pada sepanjang usia kehidupan mereka. 

Lebih menarik ialah filem Chhapaak bukannya sekadar memaparkan kisah 'happy ending' berkenaan mangsa-mangsa serangan asid yang memenangi kes di mahkamah dengan berjaya memenjarakan si pelaku pada had penjara paling tinggi iaitu 10 tahun selain mendapat pampasan sahaja. Tetapi, ia sebenarnya menjelaskan dengan lebih lanjut penderitaan yang perlu dihadapi mereka adalah sesuatu yang cukup memeritkan dan wajar difahami oleh sesiapa sahaja. Disebabkan itu juga satu-satu lagu latar yang menghiasi filem ini dilihat berjaya mencengkam jiwa penonton untuk turut sama beremosi ditambah pula dengan kekuatan lirik lagunya yang berseni serta melodinya yang indah. Secara keseluruhan, filem Chhapaak menyampaikan suara mangsa-mangsa serangan asid ini dengan cukup baik dimana ia dilihat berjaya menjadi serampang empat mata sekaligus. Bukan sekadar memperjuangkan hak-hak yang perlu mereka peroleh tetapi pada masa yang sama turut menyeru mangsa serangan asid di seluruh dunia agar bangkit daripada kehidupan yang mereka sangkakan gelap dan berjuang untuk menerima diri mereka seadanya. Paling penting memastikan tiada perkataan putus asa di dalam kamus kehidupan mereka untuk mendapatkan hak serta peluang hidup yang sempurna dan berkualiti seperti mana yang diperoleh oleh gadis-gadis lain yang sempurna fizikal wajahnya. Filem Chhapaak sangat wajar ditonton dan pada kami ia adalah sebuah filem yang mempunyai kualiti yang sangat baik.



Jadi, selamat menonton filem Chhapaak di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 10 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Lagi Filem Yang Cukup Hebat Dan Mengagumkan Iaitu 1917. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan