Review Filem Sheep Without A Shepherd


Filem:
Sheep Without A Shepherd 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Sam Quah

Genre:
Jenayah, Drama & Ngeri

Pelakon:
Xiao Yang, Tan Zhuo, Audrey Hui, Joan Chen, Philip Keung, Paul Chun & Etc.

Pengedar:
MM2 Entertainment

Tarikh Tayangan:
2 Januari 2020

Sinopsis:
Filem yang dibikin semula berdasarkan sebuah filem thriller India berjudul Drishyam yang ditayangkan pada tahun 2013 ini mengisahkan pasangan Lee dan Jade yang hidup bersama dua orang anak perempuan mereka. Mereka turut mengendalikan sebuah syarikat kecil di Thailand. Pada suatu hari, anak sulung mereka telah disyaki terlibat dengan kes kematian seorang pelajar lelaki ang juga merupakan anak kepada Lawan, ketua polis yang cukup hebat di dalam menyelesaikan masalah jenayah yang misteri. Menyedari dia tiada pilihan lain untuk menyelamatkan anak dan keluarganya, Lee terpaksa menanam mayat itu dan menyembunyikan perkara sebenar dengan melakukan pelbagai helah yang dipelajarinya melalui filem-filem jenayah yang sering ditontonnya. Kini dia perlu berdepan Lawan yang terdesak mencari anaknya yang hilang. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh MM2 Entertainment untuk menonton filem Sheep Without A Shepherd sempena tayangan media yang berlangsung di mmCineplexes @ eCurve pada 31 Disember 2019 yang lepas. Untuk maklumat semua, filem ini telah ditayang lebih awal di negara China pada 13 Disember yang lepas dan mencatat kejayaan diluar jangkaan apabila menjadi filem pertama yang diarahkan oleh pengarah Malaysia iaitu Sam Quah yang mencatat hasil jualan tiket sebanyak RMB 780 Juta. Jadi, semestinya kami tertarik untuk menonton filem ini tadi terutama apabila mengetahui bahawa filem ini adalah remake kepada sebuah filem India yang diketahui ramai iaiti Drishyam. Kami tidak pernah menonton Drishyam jadi kami merasakan tiada masalah untuk menonton filem ini. Namun, jangkaan kami meleset apabila sewaktu kami menonton, filem ini mengingatkan kami kepada filem Papanasam. Rupa-rupanya filem Papanasam yang ditayangkan pada tahun 2015 ini juga adalah remake kepada filem Drishyam. Jadi, bagaimana rasanya menonton filem yang intipati kisahnya anda sudah pernah tonton sebelum ini tetapi di dalam filem yang lain? Janggal kan?



Walau bagaimanapun, filem Sheep Without A Shepherd masih mempunyai beberapa kelainan terutama apabila latar tempatnya ialah Thailand walaupun ianya sebuah filem Mandarin. Jadi, ada sebahagian babak anda akan mendengar bahasa pertuturannya ialah bahasa Thai manakala babak lain berbahasa Mandarin. Jadi, kelainan yang kami maksud disini ialah dari sudut budaya. Jika di dalam filem Papanasam, keluarga yang tidak bersalah ini pergi ke kuil untuk mengaburi pasukan polis dalam mencari bukti penyiasatan mereka, filem ini pula membawa penonton untuk melihat keluarga ini pergi menyaksikan perlawanan tinju. Pengakhirannya pun agak berbeza dimana jika di dalam filem Papanasam, ada babak-babak yang menunjukkan di mana mayat mangsa. Tetapi, ianya sama sekali berbeza dengan apa yang di paparkan di dalam filem Sheep Without A Shepherd ini.


Bagi kami yang sudah tahu tentang plot penceritaanya, kejutan-kejutan yang cuba dipaparkan sudah tidak asing kepada kami. Jadi, kami lebih melihat kepada persembahan para pelakon utamanya daripada dewasa sehingga lah kanak-kanak. Apa yang kami boleh nyatakan, kesemua pelakonnya mempunyai keserasian yang sangat baik sebagai satu keluarga dan ini membuatkan jalan penceritaan sentiasa kelihatan tegang dan mengejutkan dari masa ke semasa. Kami yakin jika anda tidak pernah menonton filem Drishyam atau Papanasam, anda pasti sangat menyukai filem Sheep Without A Shepherd ini yang masih mengekalkan permainan plot atau plot twist dengan cukup baik sekali.


Secara keseluruhannya, walaupun kami sudah mengetahui keseluruhan cerita kisah ini tetapi filem ini masih mampu membuatkan kami teruja dengan kisahnya serta beberapa perubahan pada penceritaannya. Jadi, jika anda baru pertama kali menonton kisah ini maka kami yakin anda pasti berpuas hati kerana cerita ini sememangnya menarik dan penuh dengan kejutan serta permainan emosi yang mampu membuatkan anda tidak senang duduk di kerusi nanti. Memang sangat berbaloi!


Jadi, selamat menonton filem Sheep Without A Shepherd di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 2 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Korea Yang Menarik Iaitu Ashfall. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan