Review Filem 21 Bridges


Filem:
21 Bridges 

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Brian Kirk

Genre:
Jenayah, Drama & Ngeri

Pelakon:
Chadwick Boseman, J.K. Simmons, Sienna Miller, Taylor Kitsch & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
2 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Andre Davis yang merupakan seorang anggota NYPD dimana dia berpeluang untuk membuktikan kehebatan dirinya dengan menyertai misi memburu dua orang penjenayah yang membunuh 8 orang polis. Menariknya apabila pemburuannya menemui bukti-bukti baru yang mengejutkan dirinya sendiri. Apakah perkara yang ditemuinya? Saksikan filem yang penuh dengan aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Hollywood yang penuh dengan aksi-aksi menarik berjudul 21 Bridges bertempat di TGV Cinemas One Utama pada 30 Disember 2019 yang lepas. Terima kasih kepada saudara Faiz Wahiza yang belanja kami tiket wayang disebabkan dia menang besar banyak peraduan tiket wayang untuk filem ini. Alhamdulillah, kehadiran kami untuk menonton filem ini tidak sia-sia kerana filem ini berjaya memuaskan nafsu sesiapa yang gilakan filem aksi yang hebat dan dramatik seperti mana filem ini.


Filem 21 Bridges dilihat bermula baik pada separuh masa pertama dimana pengenalan tentang kisah Andre Davis semasa kecil yang kematian bapanya akibat dibunuh penjenayah sebelum penonton mula dibawa melihat kisah 19 tahun selepas itu yang menyaksikan Davis menjadi seorang anggota polis yang kering hatinya berjaya diolah dan disampaikan dengan cukup baik sekali. Ia jelas membawa kami untuk mengenali dengan lebih dekat karakter serta sikap watak ini saat dirinya disoal tentang kekerapan dia membunuh penjenayah dengan menembak mereka atas alasan yang boleh diterima. Apabila berlaku isu tentang sepasukan polis yang mati dibunuh oleh dua orang penjenayah, Davis tidak mahu kes ini diserahkan kepada pihak FBI maka meminta pasukan keselamatan menutup kesemua 21 jambatan yang terdapat di bandar Manhattan untuk mengelakkan dua penjenayah yang diburu ini keluar daripada bandar tersebut. Maka disinilah kita memahami kesinambungan tajuk filem ini dengan jalan penceritaannya.


Namun, kecemerlangan yang dilihat pada bahagian pertama filem ini nampaknya telah dirosakkan pada bahagian kedua filem ini. Permainan plot atau plot twist yang cuba dilakukan nampaknya sudah boleh diramal dengan mudah saat babak pemburuan penjenayah di dalam keretapi atau tren bawah tanah muncul di layar. Sememangnya diakui hal ini sedikit mengganggu momentum jalan cerita yang sudah dibina baikkerana sekali lagi filem ini menggunakan resipi klise yang sangat mudah untuk ditebak kesudahannya sejak babak tersebut sehingga kepada penamatnya. Kisah klise yang kami maksudkan ini ialah tentang penglibatan orang dalam yang mana ia berkaitan dengan dua kumpulan iaitu kumpulan polis yang baik dan polis yang jahat. Mudah sangat hal ini dijangka. 


Namun, apa yang menyelamatkan filem 21 Bridges ini daripada dilanda masalah klise boleh dilihat kepada dua perkara. Pertama ialah tentang persembahan lakonan para pelakon utamanya yang sememangnya mempunyai kelas yang tersendiri. Lihat sahaja kepada pemain utama iaitu Chadwick Boseman yang berjaya menghidupkan watak Andre Davis dengan cukup meyakinkan dan lain daripada watak kebiasaannya. Kami dapat melihat bagaimana kesakitan dan kebencian yang dirasai oleh watak Davis sewaktu kecil dapat dikekalkan di dalam karakter watak ini pada usia 31 tahun dengan cukup berkesan. Begitu juga dengan pelakon Sienna Miller dimana lakonannya sebagai Frankie Burns juga tidak mengecewakan yang mana ianya berjaya mengaburi mata penonton untuk mempercayai bahawa wanita ini adalah polos. Sayangnya kelemahan penceritaan pada bahagian kedua filem ini terus membogelkan sisi sebenarnya dan watak-watak sampingan lain tanpa sebarang rahsia lagi untuk disembunyikan. 


Terima kasih juga kepada pihak yang terlibat di dalam menghasilkan adegan-adegan aksi yang cukup memukau di dalam filem 21 Bridges. Aksi kali ini tidak bersifat hiperbola tetapi ia lebih dekat ke arah realistik yang membuatkan anda berasa tegang, terkejut dan sesekali resah saat melihat babak-babak tembakan atau serangan yang datang secara mengejut tanpa disangka. Ini adalah antara kekuatan filem ini yang wajar diberi pujian. Secara keseluruhan, filem 21 Bridges ini berbaloi untuk ditonton terutama jika anda sangat meminati filem-filem aksi sebegini. Pelakon yang bagus dan persembahan lakonan yang cukup baik. Kelemahan terbesar ialah pengolahan cerita pada bahagian keduanya sahaja yang sedikit mencacatkan apa yang telah dibina dengan baik pada separuh bahagian pertamanya.


Jadi, selamat menonton filem 21 Bridges di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 2 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Ulasan Filem Seterusnya Yang Kami Akan Kongsikan Dengan Anda Ialah Sebuah Filem Yang Diadaptasi Daripada Filem India Dimana Judul Filem Ini Ialah Sheep Without A Shepherd. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan