Review Filem The Grudge


Filem:
The Grudge

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Nicolas Pesce

Genre:
Seram

Pelakon:
Andrea Riseborough, Demián Bichir, John Cho, Lin Shaye, Jacki Weaver & Etc.

Pengedar:
Sony Pictures Entertainment

Tarikh Tayangan:
2 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang detektif muda, yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak lelaki, perlu menyelamatkan diri dan anak lelakinya dari sumpahan sebuah rumah di kejiranannya. Rumah itu dipenuhi dengan roh jahat yang mana sesiapa yang masuk akan mati dengan kejam. Saksikan filem yang menyeramkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem The Grudge di GSC Aman Central pada 2 Januari 2020 yang lepas. Filem ini merupakan filem reboot kepada sebuah filem Jepun iaitu Ju-On: The Grudge yang ditayangkan sekitar tahun 2004. Jadi, adakah filem ini betul-betul seram seperti yang kami harapkan? 


Filem The Grudge menampilkan sebuah penceritaan yang bersimpang-siur dari sudut waktu kejadian. Namun kronologi ini berjaya disusun dengan kemas dan membuatkan filem ini berjaya mewujudkan suasana cemas serta menyeramkan yang agak cemerlang. Dimulakan dengan kejadian yang berlaku di Jepun sebelum roh-roh jahat ini mengembara ke Amerika Syarikat dan menjadi penghuni pula di sebuah rumah yang menjadi kawasan mangsa-mangsa yang tinggal di dalam rumah tersebut. Ideologi yang diguna pakai untuk roh jahat di dalam filem boleh dikatakan agak melucukan kerana ia boleh berpindah-pindah kawasan mengikut mangsanya yang terakhir. Ia adalah satu kelainan di dalam filem ini namun kelainannya sudah boleh diramal. 


Filem The Grudge boleh dikatakan cemerlang dari sudut kejutannya. Mengelak untuk terlalu mengharapkan kepada penggunaan teknik jump scare semata-mata, unsur seram di dalam filem ini turut banyak dibantu oleh adegan-adegan gore yang berjaya dipaparkan dengan cukup baik. Kesan bunyi, teknik solekan ngeri serta pengcahayaan yang baik pada babak-babak malamnya sangat berkesan di dalam membuat kami berasa sedikit tegang saat tiba adegan-adegan yang mengerikan mahupun menyeramkan. The Grudge memang berjaya untuk hal ini. 


Namun, filem The Grudge tidak membenarkan kebaikan menewaskan kejahatan dimana resipi ini sudah boleh diagak. Motif pembunuhan mangsa-mangsa oleh roh jahat ini juga dilihat tidak kukuh untuk membuatkan penonton memahami tujuan dan punca kepada perlakuan ini terjadi. Karya ini masih sebuah karya klise yang tidak menampilkan sebarang kejutan menarik dari segi penceritaannya. Secara keseluruhan, The Grudge dilihat berjaya memberi kesan dari sudut keseraman dan rasa ngeri yang sentiasa meningkat tahapnya dari satu adegan ke satu adegan namun gagal di dalam menawarkan satu premis yang mampu diingati oleh penonton dalam jangka waktu yang panjang. 


Jadi, selamat menonton filem The Grudge di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 2 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Kami Bakal Tonton Dan Ulas Selepas Ini? Nantikan!

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Dari ulasan Portal Rollo Deplicula, ternyata filem The Grudge agak hambar sedikit..bukan tidak menarik, tetapi kurang penceritaannya. Apa-apa pun boleh layan jugak la ni

    BalasPadam