5/01/20

Review Filem Ashfall


Filem:
Ashfall 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Lee Hae-Jun & Kim Byung-seo

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Lee Byung-Hun, Ha Jung-Woo, Ma Dong-Seok, Jeon Hye-Jin, Bae Suzy & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
2 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah gunung berapi di Gunung Baekdu yang tiba-tiba meletus dan menjadikan ia salah satu letusan terbesar dalam sejarah Korea. Bencana itu menimbulkan huru-hara di Korea dan beberapa letusan dijangka akan berlaku di Korea Selatan dan Korea Utara. Menggunakan teori pakar geologi Profesor Kang Bong-Rae, Jeon Yoo-Kyung memulakan operasi untuk menghentikan bencana yang bakal berlaku. Ejen Pasukan Khas Jo In-Chang telah dilantik untuk mengetuai operasi itu. Sementara itu, isteri In-Chang, Choi Ji-Young yang tinggal bersendirian di Seoul pula bergelut untuk terus hidup dalam keadaan bencana itu. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton filem Ashfall lebih awal sempena tayangan 'Sneak Preview' di mmCineplexes @ eCurve pada 31 Disember 2019 yang lepas. Filem yang menelan belanja sekitar 17 juta dolar Amerika ini dicanang-canang sebagai sebuah filem bencana tersebar yang pernah dihasilkan oleh Korea Selatan. Melalui trailer yang dipaparkan juga, pihak produksi bijak menjual adegan-adegan kemusnahan bandar-bandar besar di Korea Selatan untuk menarik perhatian penonton. Tambahan pula, Korea Selatan sememangnya terkenal dan hebat di dalam menghasilkan filem-filem yang berteraskan bencana alam sebagai subjek utamanya seperti filem Haeundae yang menceritakan perihal kejadian Tsunami yang memusnahkan Busan dan Exit yang menggambarkan awan gas beracun yang melanda bandar Seoul. Jadi, adakah filem Ashfall ini sehebat seperti apa yang dibayangkan?


Filem Ashfall yang menelan kos pembikinan yang besar ini dan telah berjaya merekrut nama-nama besar dan gah sebagai pelakon utamanya seperti Lee Byung-Hun, Ha Jung-Woo dan Ma Dong-Seok ini nampaknya telah menggunakan formula Hollywood di dalam kisah penceritaannya kali ini dimana apa yang kami maksudkan ialah filem Ashfall ini menampilkan satu misi untuk mengelakkan letusan gunung berapi menjadi lebih dasyat dengan pergi sendiri ke kawasan gunung berapi tersebut untuk meletupkan bahagian lapisan bawahnya. Jadi, hal ini dilihat sama resipinya seperti mana yang dilakukan di dalam kebanyakkan filem Hollywood yang lain seperti Armageddon misalnya. Namun, apa yang menjadikan filem Ashfall ini mempunyai keunikannya yang tersendiri ialah apabila penceritaannya turut disertakan dengan isi kandungan berkaitan masalah geopolitiknya. Ini dapat dilihat dengan jelas di dalam filem ini dimana ia bukan sahaja bercerita tentang hubungan Korea Selatan dan Korea Utara tetapi juga melibatkan negara kuasa besar yang lain seperti Amerika Syarikat dan China. Hal ini ada baik dan buruknya untuk filem ini dimana kebaikannya ialah filem ini tidak kelihatan sama seperti filem-filem Hollywood yang menggunakan resipi yang kami maksudkan di atas namun keburukannya ialah terlalu banyak perkara yang ingin dimasukkan dan disampaikan sehingga adakalanya ia kelihata sedikit meleret, tersasar dan sehingga melupakan kejadian-kejadian bencana alam yang sedang berlaku di kedua-dua buah negara Korea. Senang cakap apabila trailer filem anda menjual babak-babak tentang kejadian bencana alam yang dasyat maka ramai penonton yang inginkan babak-babak itu dilebihkan di dalam filem. Tetapi, apabila ianya seakan-akan mengikut jejak langkah filem tempatan iaitu Sangkar dari segi trailer filemnya maka ini sebanyak memberi sedikit kekecewaan kepada kami yang mengharapkan elemen bencana alam ini yang sepatutnya diberikan lebih keutamaan.


Filem Ashfall dilihat menyentuh terlalu banyak perkara terutama dari sudut nasionalisme, politik dan kekeluargaan. Setiap sentuhan ini tidak dinafikan bagus tetapi apabila terlalu banyak yang ingin diberikan perhatian maka ia kelihatan sangat tergesa-gesa pada beberapa babak. Memang sangat banyak seperti konflik antara suami dan isteri yang menantikan cahaya mata, konflik tentang lelaki yang kecewa dengan layanan negaranya terhadap mesej yang telah dia beritahu tentang letusan gunung berapi, konflik tentang tahanan lelaki di penjara Korea Utara, konflik tentang politik antara kedua-dua negara Korea serta pencabulan hak tentera Amerika terhadap kawalan misi Korea Selatan, konflik tentang pasukan askar yang mati dan pelbagai lagi konflik lain yang membuatkan filem ini kelihatan terlampau padat sehingga adakalanya kami sebagai penonton terlupa bahawa filem ini adalah sebuah filem berkaitan bencana. 


Namun, kami menyukai perlambangan filem Ashfall ini berkaitan dengan Gunung Baekdu yang merupakan gunung suci buat kedua-dua negara Korea. Gunung Baekdu ini sebenarnya melambangkan hubungan antara kedua-dua negara ini sendiri yang ada pasang surutnya dimana jika terdapat hal-hal yang tidak diingini berlaku maka ia akan merancakkan lagi api-api peperangan yang bukan sahaja membimbangkan seluruh dunia tetapi juga rakyat kedua-dua negara yang pada akhirnya menyebabkan tiada pihak yang untung melainkan kerugian besar dimana ianya dapat dilihat melalui perlambangan kepada kerosakan-kerosakan yang terjadi akibat masalah gempa bumi dan tsunami.


Seperti biasa, filem-filem dari Korea Selatan sudah terbukti kehebatannya melalui persembahan para pelakonnya yang cukup dikenali dengan method dan versatil yang tersendiri. Setiap pelakon mampu memberikan elemen humor dan menggerakkan drama di dalam cerita ini dengan cukup baik dan sangat meyakinkan. Anda akan ketawa apabila tiba  adegan melucukan. Anda bakal sedih apabila tibanya adegan melodrama. Anda bakal berasa tegang saat tibanya adegan-adegan yang mencemaskan. Ini semua adalah kekuatan setiap naskah filem Korea Selatan dan Ashfall juga tidak dinafikan mempunyai semua kekuatan ini. Cuma kali ini, terdapat satu bonus besar buat filem ini iaitu tentang kualiti imej janaan komputer atau CGI yang sangat luar biasa terutamanya berkaitan dengan babak-babak yang melibatkan bencana alam serta letusan Gunung Baekdu yang sangat mengerikan dan bakal membuatkan anda cemas sepanjang babak itu berlangsung di layar perak. Secara keseluruhan, filem Ashfall sangat menarik untuk anda tonton sebagai filem pembuka awal tahun kerana ia menampilkan pelbagai elemen di dalam sebuah filem. Walaupun ada beberapa perkara yang menganggu, kurang jelas atau terlalu meleret namun ianya masih sangat berbaloi untuk ditonton di sebuah layar besar.


Jadi, selamat menonton filem Ashfall di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 2 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Berjudul The Grudge. Nantikan Ulasannya!

4 ulasan:

  1. Hero pujaan Don Lee ada tu, wajib tonton Hans, heheh...

    BalasPadam
  2. Wow!! Dari segi teknikal film ni memang hebat, setanding dgn film Hollywood. Saya juga setuju dgn Hans bila dikatakan film ni padat dgn pelbagai sub plot yg boleh membuatkan kita leka dan hilang fokus. Keseluruhannya peminat film Korea wajib tonton, nyesal kalau terlepas, heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. setiap subplot dia tu boleh buat satu movie yang asing daripada cerita nih
      hahaha

      Padam