Review Filem Street Dancer


Filem:
Street Dancer

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Remo D'Souza

Genre:
Drama

Pelakon:
Varun Dhawan, Shraddha Kapoor, Nora Fatehi, Prabhu Deva & Etc.

Pengedar:
Nusantara Seni Karya Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
24 Januari 2020

Sinopsis:
Filem yang berlatarkan London ini mengisahkan dua buah kumpulan tarian dari India dan Pakistan yang sering bersaing semasa sendiri untuk satu tujuan iaitu menjadi kumpulan tarian terhebat. Kedua-dua buah kumpulan itu akhirnya menyedari bahawa memandangkan mereka berasal dari benua yang sama, mereka seharusnya bersatu untuk mewakili Asia Selatan dan mengalahkan kumpulan tarian dari negara-negara lain dalam satu pertandingan tarian antarabangsa. Saksikan filem yang padat dengan aksi tarian lincah ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood berjudul Street Dancer bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 25 Januari 2020 yang lepas. Filem yang penuh dengan aksi tarian ini memberikan kami pelbagai rasa yang bercampur-baur antara suka atau tidak terhadap apa yang diperjuangkan sepanjang lebih dua jam filem ini berlangsung.



Kehebatan dan kekuatan utama filem Street Dancer ini terletak pada hasil visual setiap babaknya yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Melihat daripada sudut ini memang kami boleh nyatakan segala-gala berada di dalam kategori cemerlang sama ada pencahayaan, skor bunyi, koreografer tarian, hasil kerja kamera serta VFX yang disampaikan di dalam bentuk 3D. Segala-galanya sangat menggembirakan saat babak-babak tarian muncul di dalam filem yang pasti akan membuatkan penonton terpukau dengan kehebatan gerak-geri lincah tarian setiap kumpulan yang bertanding. 


Namun, apa yang membuatkan kami sangat kecewa dengan filem Street Dancer ini ialah susunan serta perkembangan plot dan sub plot penceritaanya yang sangat caca marba. Setiap kali penonton akan keliru apabila melihatkan motif kisahnya yang sentiasa berubah-ubah dan tiada kesinambungan antara satu kisah dengan satu kisah yang lain. Pada akhirnya, anda terkaku melihat kesudahan filem ini yang langsung tidak berjaya mencapai objektif sebenar yang cuba dipaparkan kepada penonton. Segala-galanya cuba dicampak dan dimasukkan di dalam filem ini sama ada tentang patriotik, agama, kebajikan, percintaan, budaya mahu pun kekeluargaan yang membuatkan kami berfikir apa yang filem ini cuba sampaikan kepada penonton sebenarnya. Satu perkara lagi yang menjadi masalah apabila kumpulan tarian musuh atau kumpulan tarian lain menampilkan hasil koreografer yang lebih padu daripada pemenang sendiri iaitu kumpulan Street Dancer. Hal ini sememangnya sangat mencacatkan keseluruhan filem ini secara zahir dan batinnya. Secara keseluruhan, filem ini sangat lemah dan tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan jika anda inginkan sebuah plot penceritaan yang menarik. Namun, jika anda peminat setia tarian jalanan maka ia adalah sebuah filem yang pastinya cukup menggembirakan anda. Kami sendiri sangat terhibur dengan gerakan tarian yang cukup mengasyikkan tetapi derita menonton plot penceritaannya yang kusut-masai.


Jadi, selamat menonton filem Street Dancer di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 24 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Dolittle. Nantikan Ulasannya! 


Catat Ulasan

0 Ulasan