27/01/20

Review Filem Panga


Filem:
Panga

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Ashwiny Iyer Tiwari

Genre:
Drama & Sukan

Pelakon:
Kangana Ranaut, Richa Chadha, Jassi Gill, Neena Gupta & Etc.

Pengedar:
Antenna Entertainments

Tarikh Tayangan:
24 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan bekas jaguh sukan kabaddi iaitu Jaya Nigam yang kini hanya seorang wanita India kelas pertengahan yang mementingkan keluarganya. Dia berhasrat untuk kembali aktif dalam kabaddi tetapi tidak tahu sama ada mahu memilih sukan itu atau tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu. Selepas membuat keputusan, dia bergelut untuk mengatasi cabaran dan stereotaip yang dihadapinya ketika kembali menceburi sukan itu. Tetapi, kasih sayang dan sokongan keluarga menjadikannya lebih kuat. Saksikan filem yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang cukup menarik berjudul Panga bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 25 Januari 2020 yang lepas. Filem Panga lakonan Kangana Ranaut ini boleh dikatakan sebagai sebuah filem kekeluargaan yang berjaya disampaikan dengan cara yang cukup menarik dimana setiap visual serta cara kehidupan watak-wataknya sangat boleh dipercayai. Ia membawa penonton untuk melihat bagaimana kehidupan sebuah keluarga yang berada di dalam kelas pertengahan menjalani kehidupan melalui watak penting Jaya Nigam yang bertindak sebagai seorang suri rumah yang terpaksa memendam cita-citanya demi memberi keutamaan kepada suami dan anaknya.


Filem Panga ini dimulakan dengan satu adegan yang cantik dimana penonton akan melihat bagaimana si suami telah ditendang oleh si isterinya, Jaya Nigam sewaktu kedua-duanya sedang tidur. Jadi, apabila anda melihat filem ini pada bahagian-bahagian hadapannya maka anda akan memahami bahawa Jaya sebenarnya tidak betul-betul melepaskan salah satu impian yang paling ingin dikecapinya iaitu bermain kabaddi mewakili negara India ke peringkat antarabangsa. Jadi, apabila olahan cerita ini juga dilihat berjaya bermain plot twist dimana pada satu ketika penonton akan melihat bahawa Jaya Nigam sendiri sebenarnya yang terinspirasi untuk kembali semula ke arena sukan kabaddi. Tetapi, pada waktu yang sama filem ini juga sebenarnya mengangkat kisah anak lelaki Jaya Nigam sendiri yang telah memberi motivasi kepadanya untuk kembali mengejar cita-citanya di dalam sukan tersebut. Hal ini dilihat menarik kerana hubungan antara ibu dan anak ini menjadi kekuatan yang cukup besar untuk menyokong naratif penceritaan plot ini untuk berkembang seperti yang diinginkan. 


Filem Panga juga dilihat berjaya bermain dengan elemen melodrama di dalam keluarga tiga beranak ini. Ia membawa penonton untuk menyelusuri sendiri apa yang dirasai oleh setiap ahli keluarga tersebut. Kita akan dapat melihat peranan besar seorang isteri di dalam mengatur hidup kehidupan keluarga seperti mana yang dapat dilihat pada pesona yang ada di dalam watak Jaya Nigam. Kemudian, watak Prashant lakonan Jassie Gill sebagai suami yang cukup luar biasa kepada Jaya adalah satu watak yang boleh dikatakan menarik kerana sikap positif yang wujud di dalam diri karakter ini yang secara tidak langsung mendidik golongan suami bahawa mereka juga sebenarnya adalah faktor yang penting di dalam menyokong isteri mereka melalui perkara-perkara yang positif. Watak cilik Adi lakonan hebat Yagya Bhasin juga adalah di luar jangkaan. Walaupun watak ini dipaparkan sebagai satu watak kanak-kanak yang nakal, degil dan adakala melakukan perkara atau menyebut sesuatu yang diluar jangkaan dan kelihatan sedikit kurang beradab namun pada akhirnya filem ini akan membuatkan anda menyukai watak Adi ini disebabkan filem ini bijak menyampaikan rasa yang dialami oleh kanak-kanak yang masih belum arif tentang kehidupan sebenar yang perlu dilalui oleh ibu bapanya.


Namun, walaupun filem Panga dilihat sangat berjaya menyinar dari sudut kekeluargaan namun kami harus akui filem ini agak lemah sebagai sebuah filem bergenre sukan. Segala yang cantik tentang hal-hal berkaitan kekeluargaan nampaknya sedikit tercalar apabila filem ini kembali membawa kisah kabaddi di dalam bahagian keduanya yang dilihat kurang memberi impak disebabkan beberapa masalah yang kami dapat kenal pasti. Masalah pertama ialah tiada perkembangan plot yang menarik untuk menunjukkan apakah kehebatan utama dan sebenar yang ada di dalam diri seorang kapten kabaddi India bernama Jaya Nigam. Penonton hanya diberitahu bahawa Jaya adalah seorang pemain yang hebat tetapi bukti visual yang dipaparkan sangat samar. Masalah kedua apabila Jaya kembali ke dunia kabaddi dimana walaupun ia memaparkan latihan ketat yang telah dilalui oleh Jaya untuk kembali semula ke dunia impiannya ini tetapi tidak ada sebarang babak yang meyakinkan untuk membuatkan penonton percaya bahawa Jaya telah memperoleh stamina serta kelincahan seperti mana yang dimilikinya pada satu ketika dahulu. Selain itu, terdapat sedikit kekeliruan melibatkan watak suami Jaya iaitu Prashant berkaitan pandangannya terhadap Jaya dan Kabaddi. Prashant dilihat menyokong minat isterinya terhadap kabaddi dan tidak pernah sesekali menghalang Jaya. Jaya sendiri yang memilih untuk berhenti demi menjaga anaknya Adi yang lahir tidak cukup bulan dan perlu dijaga sebaik mungkin. Tetapi, saat anaknya Adi ingin membantu ibunya kembali ke dalam arena sukan tersebut dan tiba-tiba Prashant meminta Jaya berlakon semata-mata dan bukannya betul-betul berniat untuk kembali melangkah ke dunia kabaddi. Memang daripada satu sudut dapat difahami bahawa Prashant sebenarnya takut untuk melepaskan Jaya disebabkan dirinya tidak bersedia untuk bertanggungjawab terhadap hal-hal anak serta rumah namun kekeliruan yang dicetuskan melalui adegan-adegan yang bersangkut paut ini tanpa sebarang sokongan adegan tambahan dilihat gagal menjawab kelonggaran plot yang ada pada bahagian penceritaan ini.


Namun, harus diakui bahawa kelemahan filem Panga ini telah berjaya ditutup dengan cukup baik melalui kecemerlangan yang dipaparkan di dalam kisah kekeluargaannya yang dikuatkan oleh frasa dialog yang cukup bermakna serta kekuatan penjiwaan emosi yang cukup hebat daripada setiap watak-watak yang wujud di dalam filem ini. Persembahan lakonan setiap pelakon semestinya sangat meyakinkan dan ia sebenarnya menjadi titik tolak untuk membuatkan setiap ahli keluarga terutama suami, anak serta keluarga mentua untuk memahami keinginan, peranan serta pengorbanan setiap wanita yang bergelar isteri dan ibu serta secara tidak langsung memberi sokongan dan galangan untuk wanita-wanita ini mencapai impian yang sebelum ini mereka 'kuburkan' sendiri di dalam jiwa mereka. Panga adalah sebuah filem kekeluargaan yang berjaya menusuk jiwa-jiwa penontonnya dengan rasa kasih sayang serta semangat positif yang menebal tetapi kurang cemerlang dari sudut sukan kabaddi itu sendiri.  


Jadi, selamat menonton filem Panga di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 24 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Lagi Filem Bollywood Yang Berjudul Street Dancer. Nantikan Ulasannya! 

4 ulasan: