Review Filem Psycho


Filem:
Psycho

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Mysskin

Genre:
Ngeri

Pelakon:
Udhayanidhi Stalin, Aditi Rao Hydari, Nithya Menen & Etc.

Pengedar:
MSK Film Production Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
24 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki buta bernama Gauthaman yang perlu menyelamatkan wanita yang disukainya iaitu Dagini daripada pembunuh wanita bersiri yang telah menculik wanita tersebut. Pembunuh itu memberikan masa selama 7 hari sahaja kepada Gauthaman untuk menyelamatkan Dagini atau nyawanya akan ditamatkan. Gauthaman kini perlu mencari jalan untuk menyelamatkan Dagini selepas pihak polis tidak mahu membantunya. Berjayakah Gauthaman? Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem tamil yang cukup mengerikan berjudul Psycho bertempat di Amerin Cineplex pada 24 Januari 2020 yang lepas. Melihat nama pengarah Mysskin sahaja sudah cukup untuk membuatkan kami tertarik untuk menonton filem ini. Menariknya tentang filem Psycho ini ialah pada permulaan filem telah diberikan dua pembayang penting buat penonton filem ini. Pertama ialah salah satu petikan kata terkenal daripada Albert Maslov yang berbunyi "We are simultaneously gods and worms." yang sebenarnya memberi petunjuk serta pembayang awal kepada teka-teki yang perlu dihadapi oleh penonton sewaktu menyaksikan kisah ngeri filem ini. Kedua ialah filem ini turut memberi penghormatan kepada Alfred Hitchcock yang pernah tampil dengan filem yang sama judulnya iaitu Psycho yang diterbitkan pada tahun 1961. Filem psiko ini sememangnya sangat bertepatan dengan judulnya kerana ia membawa kami meneroka satu dimensi baru kisah psiko untuk melihat di sebalik tabir punca segala pembunuhan ini 


Filem Psycho ini telah dimulakan dengan satu adegan pembunuhan yang menampilkan penyatuan elemen gore dan slasher dengan cukup bergaya sekali. Hal ini secara jelas telah menanamkan satu perkara di dalam pemikiran penonton bahawa pembunuh bersiri ini sememangnya mempunyai satu rahsia unik dan semestinya aneh yang menyebabkan dirinya berkelakuan sedemikian rupa. Kemudian penonton akan kembali dikejutkan semula dengan paparan mangsa pembunuhan yang ditinggalkan di tempat-tempat strategik tanpa kepala. Apa yang membuatkan adegan-adegan sebegini berjaya menaikkan bulu roma penonton kerana segala-gala yang dipaparkan sama ada kepala yang berlumuran darah atau tubuh badan tanpa kepala itu kelihatan sangat realistik dan begitu meyakinkan. Jadi, disini penonton mula tertanya-tanya kemana perginya kepala wanita-wanita yang dipenggal oleh pembunuh tersebut dan kenapa pembunuh ini menyimpan pula kepala-kepala wanita ini? Lebih menarik apabila pemeriksaan yang dilakukan mendapati wanita-wanita yang dibunuh ini tidak disentuh langsung oleh pembunuh atau dalam erti kata lain tiada perlakuan seks yang dilakukan. Jadi, apakah motif sebenar yang mendorong pembunuh bersiri ini bertindak terlampau zalim kepada mangsa-mangsanya. Kekuatan motif ini berjaya dimanfaat dengan kadar yang sangat maksimum untuk membuatkan kami sebagai penonton segar sepanjang masa semata-mata untuk menyelesaikan sendiri teka-teki yang penuh misteri tetapi berjaya disampaikan dengan cukup kreatif sekali.



Bahagian pertama filem Psycho dilihat berjaya menggabungkan kisah-kisah wataknya dengan cukup baik dan memberikan satu pengalaman tontonan yang cukup unik. Anda akan mengenali watak utama iaitu Gauthaman dan Dagini dengan lebih dekat dari sudut cara mereka berfikira serta kelebihan dan kelemahan yang ada pada watak ini. Kemudian, anda akan dipaparkan pula dengan kemunculan bekas polis wanita yang juga menyimpan satu rahsia besar dan seorang polis yang gemar menyanyikan lagu klasik saat berhadapan dengan perkara-perkara yang genting atau tidak dapat diselesaikan. Selepas itu pembayang-pembayang menarik seperti pekerja seks, anjing dan tong sampah pula mula memasuki plot penceritaan untuk membuatkan anda semakin tertanya-tanya apa sebenarnnya yang terjadi. Ditambah pula dengan penglibatan watak protagonis utama yang tergolong di dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dimana watak ini tidak dapat melihat maka sememangnya membuatkan penonton ternanti-nanti bagaimana cara yang akan dilakukan oleh Gauthaman untuk menyelamatkan Dagini dalam masa 7 hari.


Namun, apa yang membuatkan kami sangat menghormati filem Psycho ini ialah disebalik adegan-adegan yang memaparkan kekejaman pembunuh bersiri memotong kepala mangsa dan mengangkat kepala mangsa yang bergolek di lantai yang dipenuhi darah. Filem ini bukan sekadar ingin membuatkan penonton terus menjatuhkan hukuman mandatori semata kepada watak pembunuh tersebut tetapi dalam masa yang sama berjaya mewujudkan serta menimbulkan rasa empati kita melalui apa yang dirasai serta difikirkan oleh Dagini saat mengetahui punca mengapa pembunuh bersiri ini terus-terusan membunuh wanita. Saat yang lebih menarik apabila Dagini sendiri mendapat keistimewaan apabila diberi peluang untuk hidup dalam masa tujuh hari disebabkan pembunuh bersiri ini tercabar melihat ketenangan Dagini saat berhadapan dengan 'waktu kematiannya'. Bayangkan betapa hebatnya filem ini dimana setelah sekian lama ia memaparkan kekejaman di luar tabii seorang manusia psiko terhadap gadis-gadis yang menjadi mangsa pembunuhannya, plot penceritaannya masih mampu memberikan penghormatkan kepada watak antagonis ini melalui cara yang diaplikasikan oleh pengarah Mysskin di dalam filem Psycho ini. Ia juga berjaya membawa kami melihat bagaimana watak Dagini ini tidak mahu lagi melakukan kesalahan kali kedua seperti mana yang telah dilakukan sewaktu membuat penilaian yang salah terhadap watak Gautham. Inilah yang membuatkan filem Psycho sangat berbeza dan unik jika dibandingkan dengan filem-filem yang setaraf dengan genre filem ini.


Kami juga sangat tertarik dengan filem Psycho ini apabila motif utama filem ini untuk membawa penonton mengenali apa sebenarnya yang dikatakan sebagai masalah psikopat itu mencapai objektifnya. Menakjubkan untuk mengetahui setiap perkara yang dilakukan oleh pembunuh bersiri tersebut sebenarnya adalah untuk menutupi segala ketakutan serta kegelapan yang telah menghantui dirinya sepanjang waktu ini yang telah menimbulkan satu perbuatan kejam yang penuh dendam yang tidak berkesudahan. Kami tidak berniat untuk bercerita lebih lanjut tentang hal ini untuk mengelakkan anda daripada mengetahui keseluruhan intipati kisahnya. Cuma kami sangat yakin untuk menyarankan anda agar pergi menonton filem yang cukup hebat ini kerana penyampaian ceritanya yang sangat menarik dan disokong oleh elemen-elemen lain seperti sinematografi, hasil kerja kamera yang cantik, pengcahayaan yang hebat serta teknik solekan ngeri yang menambah jiwa realistik di dalam filem ini benar-benar menakjubkan. Kami yakin anda akan berpuas hati dengan filem ngeri yang hebat ini. 


Jadi, selamat menonton filem Psycho di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 24 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Cukup Menarik Berjudul Panga. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan