Review Filem Enter The Fat Dragon


Filem:
Enter The Fat Dragon

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Jing Wong & Kenji Tanigaki

Genre:
Aksi & Komedi

Pelakon:
Donnie Yen, Niki Chow, Teresa Mo Sun Kwan, Wong Jing, Louis Cheung & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
23 Januari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Fallon Zhu, yang merupakan seorang pegawai polis Hong Kong yang cekap dengan kadar pengesanan jenayah yang tinggi. Dia kini merawat hatinya dengan makan terlalu banyak sehingga beratnya naik lebih dari 200 paun dalam masa enam bulan selepas ditinggalkan oleh teman wanitanya akibat sudah tidak mempunyai sefahaman lagi. Apabila Pegawai Penguasa Huang menugaskannya untuk mengawal seorang banduan ke Jepun, dia kehilangan harta bendanya dan banduan tersebut. Dia kemudiannya bekerjasama dengan seorang penduduk Hong Kong bernama Thor untuk menyiasat kes misteri kematian mengejut banduan itu. Fallon nekad untuk menyelesaikan kes itu walaupun masalah mula timbul dan mengganggu orang di sekelilingnya. Saksikan filem aksi komedi yang melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem aksi komedi berjudul Enter The Fat Dragon bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 23 Januari 2020 yang lepas. Nampak gayanya filem yang judulnya adalah sama seperti mana filem yang dilakonkan oleh Sammo Hung pada tahun 1978 ini telah berjaya memberikan satu wajah yang lain kepada Donnie Yen yang sebelum ini terlampau dibayangi oleh watak IP Man. 


Filem Enter The Fat Dragon ini mempunyai empat faktor menarik yang membuatkan ianya sebagai sebuah filem aksi komedi bersifat komersial yang berjaya. Faktor pertama yang wajar diberi perhatian ialah bagaimana filem ini berjaya 'menggemukkan' Donnie Yen dengan cukup meyakinkan dimana ia bukan sahaja memberi fokus kepada bentuk wajah sahaja tetapi juga pada seluruh anggota badan. Apa yang lebih menarik ialah teknik yang digunakan serta solekan yang betul dengan menyamakan 'lemak tambahan' ini dengan warna kulit sebenar telah berjaya membuat kami sebagai penonton berasa kagum dengan Donnie Yen versi gemuk ini. 


Faktor kedua yang membuatkan filem Enter The Fat Dragon ini berjaya sebagai sebuah filem komersial semestinya ialah koreografer aksinya yang cukup menghiburkan. Walaupun agak sukar untuk menerima pergerakan yang cukup pantas daripada insan yang berlebihan berat badan namun hasil bantuan faktor pertama tadi membuatkan kami sebagai penonton dapat menikmatinya dengan tenang. Semestinya ramai penonton akan kagum dengan kelincahan aksi yang dipaparkan oleh watak Fallon Zhu lakonan Donnie Yen serta watak Thor yang masing-masing mempunyai fizikal yang besar namun boleh melompat, memanjat dan menendang ke sana ke sini dengan cukup mudah di dalam babak-babak pertempuran yang semestinya menjadi kekuatan utama filem ini untuk menarik perhatian penonton selain senarai pelakonnya.


Faktor ketiga yang menjadikan filem Enter The Fat Dragon ini kelihatan gah ialah rekaan set lokasi yang kononnya di negara Jepun. Bagaimana susunan serta pembangunan kawasan pekan di negara 'Jepun' tersebut dibangun dan dibina sememangnya perlu diberikan kredit kerana ia adalah satu hasil yang cukup cantik dan memberi aura hebat kepada filem ini. Kami sememangnya tidak dapat menafikan rasa kagum apabila mengetahui bahawa kawasan di Jepun sebenarnya hanyalah dilakonkan di dalam set yang mereka siapkan sendiri sewaktu menonton adegan kredit akhir filem ini. Memang terbaik!



Faktor keempat serta terakhir yang membuatkan kami terhibur menonton filem Enter The Fat Dragon ini adalah elemen humor yang berjaya dikekalkan sejak permulaan filem sehingga kepada babak pengakhirannya. Persembahan yang diberikan oleh kesemua pelakon boleh dikatakan menjadi tidak kira pelakon utama mahu pun pelakon tambahan. Tidak dinafikan filem ini sebenarnya turut menampilkan mesej-mesej menarik terutama apabila ia menampilkan pertembungan antara dilema terhadap amanah serta tanggungjawab di dalam bidang kerja serta tanggungjawab terhadap kehidupan dan diri sendiri. Mesej-mesej ini berjaya disuntik ke dalam intipati cerita dan berjaya dipaparkan dengan baik serta mudah difahami oleh penonton. Secara keseluruhan, filem ini mempunyai nilai-nilai komersial yang disukai oleh majoriti penonton yang meminati genre komedi aksi seperti filem Enter The Fat Dragon ini. 


Jadi, selamat menonton filem Enter The Fat Dragon di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 23 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Psikopat Yang Cukup Ngeri Berjudul Psycho. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan