Filem:
Bad Boys For Life
Penilaian:
6/10
Pengarah:
Adil El Arbi & Bilall Fallah
Genre:
Aksi & Komedi
Pelakon:
Will Smith, Martin Lawrence, Vanessa Hudgens, Alexander Ludwig, Charles Melton & Etc.
Pengedar:
Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan:
23 Januari 2020
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan hubungan antara pegawai polis Michael "Mike" Lowrey dan Marcus Burnett yang dahulunya sukar dipisahkan tetapi kini semakin renggang. Burnett kini seorang inspektor polis sementara Lowrey yang bergelut dengan krisis pertengahan hidup telah ditugaskan untuk mengetuai pasukan elit yang baru ditubuhkan iaitu AMMO walaupun dia tiada persamaan dengan pasukan polis-polis muda itu. Apabila seorang ketua samseng dari kartel dadah Miami yang mana abangnya telah dibunuh oleh Lowrey dan Burnett beberapa tahun lalu ingin membalas dendam terhadap Lowrey ketika dia dan Burnett ingin bersara, kedua-dua polis itu perlu bersatu semula untuk menumpaskannya. Saksikan filem aksi yang padat dengan adegan komedi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Januari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem aksi komedi dari Hollywood berjudul Bad Boys For Life bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 23 Januari 2020 yang lepas. Sepatutnya kami menonton lebih awal filem ini selepas mendapat jemputan daripada pihak Sony Pictures Entertainment tetapi dek kerana kekangan kerja maka kami berpeluang menontonnya pada hari pertama tayangan rasmi filem ini di Malaysia. Namun, menonton filem ini dengan mengeluarkan wang sendiri masih boleh dianggap berbaloi kerana elemen aksi dan lucunya masih relevan dan mengujakan.
Filem Bad Boys for Life masih membawakan kisah tentang Mike Lowrey dan Marcus Burnett cuma kali ini ia membawa penonton untuk melihat bagaimana kerjaya mereka saat umur mereka hampir mencecah 50-an dimana Burnett sudah pun mendapat gelaran datuk selepas menerima cucu manakala Lowrey pula masih bersemangat untuk memburu penjenayah seakan-akan dirinya masih muda walaupun hakikatnya tidak. Jadi, apabila mereka mula memilih haluan yang berbeza ditambah pula dengan penubuhan skuad AMMO yang bertindak untuk menggantikan pengaruh serta kekuatan Lowrey dan Burnett membuatkan hubungan mereka semakin 'tenat' dan renggang. Namun, satu insiden dimana apabila Lowrey cuba dibunuh oleh seorang individu yang tidak dikenali membuatkan momentum filem mula meningkat naik dan berjaya membawa getaran filem Fast & Furious ke dalam intipati kisah filem ini. Kebencian serta tanda tanya yang ditimbulkan sepanjang filem berjaya disampaikan dengan cukup baik.
Namun, sayangnya apabila filem Bad Boys for Life seakan-akan mengabaikan watak-watak baru sama ada protagonis yang terdiri daripada ahli kumpulan AMMO mahu pun watak antagonis anak beranak kelahiran Mexico iaitu Isabel Aretas dan Armando Armas. Sebenarnya filem ini boleh menjadi lebih menarik jika watak-watak pembantu ini diberikan peluang untuk menyerlah namun kebanyakkan durasi masa terlalu diberikan kepada dua watak utama yang adakalanya dilihat memberi impak dan adakalanya kelihatan sedikit meleret.
Filem Bad Boys for Life dilihat mempunyai kekuatan melalui dua perkara iaitu komedi serta aksinya. Kombinasi antara Will Smith dan Martin Lawrence dilihat sangat serasi sehinggakan unsur humor biasa pun sudah mampu untuk menggeletek jiwa penonton untuk berasa terhibur. Adegan aksi juga berjaya disokong dengan baik melalui hasil kerja kamera yang pantas dan kemas. Gabungan aksi dan komedi ini yang membuatkan filem ini terasa pantas berjalan dan selalunya tidak pernah gagal di dalam menghiburkan penonton.
Namun, harus diakui filem Bad Boys for Life ini kelihatan agak tergesa-gesa di dalam membawa penonton mengikuti kisahnya daripada satu babak ke satu babak yang lain. Selain itu, cubaan menimbulkan plot twist di dalam beberapa adegan pula dilihat gagal memberi impak yang terlalu tinggi terhadap penceritaannya. Momen-momen yang cuba diwujudkan juga kelihatan tidak kuat untuk menyatu secara sempurna dengan kisah yang cuba diubah untuk memberikan kejutan kepada penonton. Namun, secara keseluruhannya filem ini adalah sebuah filem komersial yang menghiburkan dan masih berbaloi untuk ditonton di pawagam pada bulan Januari 2020 ini. Bahagian pertengahan kredit filem ini juga harus anda nantikan dan tonton untuk melihat adakah wajar filem ini mempunyai sambungan lagi di masa mendatang.
Jadi, selamat menonton filem Bad Boys For Life di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 23 Januari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Komedi Daripada Hong Kong Iaitu Enter The Fat Dragon. Nantikan Ulasannya!
2 Ulasan
Terima kasih Hans di atas ulasan film Bad Boys for Life. Sejujurnya aura ke-macho-an watak utama Mike dan Marcus kurang ditonjolkan oleh film ini. Amat sayang sekali kerana kedua-dua tuan director film ini tidak mengambil kesempatan utk membuat satu film Bad Boys terbaik dari director asal Michael Bay. Kata Bad Boys... tapi apa yg "Bad" nya?? Tak mcm Part 1 dan 2, mereka menyiasat dan menyelesaikan misi mereka dgn cara mereka sendiri dgn melanggar kod etika anggota polis. Hingga arahan Captain pon mereka tak kesah. Dah la tu, watak antagonist pula kurang menyakinan dan lakonan pon kaku. Tapi nak buat mcm mana, setelah tunggu 17 tahun utk Part 3, layan je la, heheh...
BalasPadamhehehehe
Padammasih menghiburkan cuma tak terlalu bad boys sangat
hahaha