Review Filem Intruder

 

Filem:
Intruder

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Sohn Won-Pyeong

Genre:
Misteri & Ngeri

Pelakon:
Song Ji-Hyo, Kim Mu-Yeol, Ye Soo-Jung, Heo Joon-Seok & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
23 Julai 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Seo-Jin yang telah kehilangan adik perempuannya iaitu Yoo-Jin ketika dia masih kecil. Perkara ini telah meninggalkan kesan terhadap dirinya yang merupakan seorang arkitek terkenal dan menyebabkan dia sentiasa dalam keadaan trauma. Selepas 25 tahun, Yoo-Jin pulang ke pangkuan keluarganya dan hal ini mula menimbulkan kecurigaan Seo-Jin apabila menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan perilaku gadis tersebut. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Julai 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.


Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Korea yang agak menarik berjudul Intruder bertempat di GSC Cinema Aman Central pada 23 Julai 2020 yang lepas. Trailer filem ini yang disunting cukup menarik telah memberi bayangan awal bahawa ianya adalah sebuah karya yang bergenre thriller. Semestinya filem-filem Korea sebelum ini dikenali sebagai sebuah industri yang bijak di dalam menghasilkan filem-filem sebegini dengan konsep serta idea segar yang sukar ditebak lebih awal saat kita menyaksikannya di layar kaca. Jadi, kami mengakui bahawa filem Intruder ini mempunyai keistimewaan tersebut di dalam sebahagian besar plot filemnya yang membuatkan kami sering tertanya-tanya dengan pelbagai persoalan yang berjaya ditimbulkan di dalam filem ini.

Filem Intruder berjaya membina pengenalan watak utama iaitu Seo-jin dengan cukup baik dimana watak yang kehilangan adik perempuannya dan kemudian isterinya yang meninggal dalam satu insiden pelanggaran misteri sehingga membuatkan dirinya terpaksa bertemu dengan pakar psikiatri. Segala insiden ini berjaya digabung dengan baik untuk membuatkan penonton keliru atau tertanya-tanya apa sebenarnya status kesihatan, emosi mahu pun mental lelaki ini saat beliau mula tertekan dan mengesyaki kepulangan adik perempuannya yang hilang sejak sekian lama iaitu Yoo-jin. Jadi, apabila perkara-perkara yang ganjil mula berlaku di dalam keluarga Seo-jin sejak kemunculan Yoo-jin telah berjaya membuatkan filem ini berkembang dengan cukup baik kerana elemen-elemen thriller yang diperlukan berjaya dimuntahkan dengan cukup jayanya sekali. 

Walaupun pembongkaran watak antagonis berlaku terlalu awal iaitu pada bahagian pertengah filem ini namun persoalan-persoalan baru yang ditimbulkan terutamanya berkaitan motif sebenar watak antagonis ini telah berjaya membuatkan kami kekal duduk di kerusi dengan perasaan gembira untuk menantikan jawapan kepada persoalan ini. Kami melihat bahagian kedua filem ini adalah bahagian yang cukup menarik kerana ia membuatkan kami sebagai penonton mempunyai pelbagai tanggapan terhadap terhadap kedua-dua watak utama ini iaitu Seo-jin dan juga Yoo-jin kerana kedua-dua berpotensi untuk bertukar menjadi watak antagonis yang merupakan pembawa masalah utama di dalam filem ini. Dibantu pula oleh lakonan yang cukup hebat daripada Song Ji-Hyo yang sangat bijak bermain emosi serta bahasa tubuh pada watak Yoo-jin membuatkan kami terasa seram sesekali melihat karakter wataknya yang cukup misteri dan menakutkan. Tidak dinafikan kekuatan filem ini sememangnya datang daripada lakonan hebat dan meyakinkan para pelakonnya selain daripada perkembangan plot cerita yang disusun baik pada permulaan serta pertengahannya.

Namun, rentak kecemerlangan dan kegemilangan filem ini gagal diteruskan pada bahagian akhir filem yang mana kami melihat jalan ceritanya sangat tergesa-gesa, caca marba dan seolah-olah seperti mahu segera menghabiskan kisah filem tersebut. Segala-galanya nampak sangat klise dan sangat mudah diramal pengakhirannya. Hal ini sepatutnya boleh diselamatkan jika filem ini lebih bijak menggunakan masa yang telah banyak dibazirkan pada permulaan filem sewaktu di dalam proses menerangkan kisah watak utama Seo-jin. Sayang kerana pengenalan terhadap kumpulan ajaran sesat agama ini kurang diperkembangkan sehabis baik dan ia dilihat seakan-akan satu bendasing yang jauh dengan kisah utama filem ini walaupun ia sebenarnya terikat dengan satu jalinan utama terhadap setiap watak-watak utama filem ini. Secara keseluruhan, filem ini sememangnya sebuah filem thriller yang menghiburkan untuk sebahagian besar filem ini walaupun bahagian akhirnya sangat mengecewakan. Namun, kami yakin anda pasti puas hati menonton filem ini di pawagam berdekatan anda.

Jadi, selamat menonton filem Intruder ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 23 Julai 2020. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan Dalam Waktu Terdekat Ini!

Catat Ulasan

0 Ulasan