Review Filem Behind You

 

Filem:
Behind You

Penilaian:
2/10

Review Youtube:

Pengarah:
Andrew Mecham & Matthew Whedon

Genre:
Seram

Pelakon:
Addy Miller, Elizabeth Birkne, Jan Broberg & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
20 Ogos 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Olivia dan adiknya Claire yang telah dihantar ke rumah makcik mereka iaitu Beth selepas ibu mereka meninggal dunia dan bapa mereka terpaksa melanjutkan tempoh kerjanya di luar kawasan. Setibanya di rumah tersebut, Beth memberi amaran supaya jangan masuk ke dalam bilik bawah tanah yang berkunci. Apa yang membuatkan mereka bertambah pelik adalah selepas menyedari semua cermin di rumah itu ditutup atau disorokkan. Tanpa menghiraukan amaran makciknya, Claire telah menyelinap masuk ke dalam bilik bawah tanah itu selepas mendengar bisikan halus dan menemui sebuah cermin. Tanpa sengaja Claire telah membebaskan satu makhluk jahat yang ganas dan masalah mula timbul selepas itu. Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Ogos 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram berjudul Behind You bertempat di GSC Paradigm Mall pada 18 Ogos 2020 yang lepas. Sebuah filem seram yang klise dimana plot penceritaannya sudah boleh dijangka tanpa ada sebarang perkara baru atau unik yang boleh dijadikan bahan bualan. Namun terdapat beberapa perkara menarik yang kami boleh ulas untuk filem ini dimana anda mungkin bersetuju atau pun sebaliknya.
 


Walaupun filem Behind You merupaka sebuah filem seram yang gagal memberi impak seperti yang kami inginkan namun kami menyedari satu perkara dimana filem ini mempunyai banyak adegan seram yang sepatutnya mampu memberikan impak yang cukup berkesan buat penonton jika ianya dihasilkan dengan lebih baik, teratur dan teliti. Kelemahan permainan kamera, teknik solekan serta cara suntingan membuatkan adegan-adegan seram ini dilihat gagal menaikkan suasana seram dan seterusnya gagal untuk menakutkan penonton kerana ianya bukan sahaja sudah boleh dijangka bahkan kelihatan terlalu jelas dimata kami sebagai penonton. 



Semestinya cabaran yang perlu dihadapi oleh filem seram seperti Behind You ini sangat besar kerana dalam setahun berpuluh atau mungkin beratus filem seram telah dihasilkan di seluruh dunia. Jadi, apabila filem seram ini masih menampilkan konsep penceritaan yang lebih kurang sama tanpa ada sebarang pembaharuan maka ia sama sekali tidak berkesan untuk membuatkan kami berasa terpesona menonton filem ini. Apatah lagi apabila terdapat begitu banyak lompong pada jalan ceritanya terutama berkaitan gangguan yang gagal diterangkan serta diperjelaskan dengan baik mahu pun secara kreatif. Tambah terbeban apabila perjalanan ceritanya dilihat sangat mendatar sejak awal sehingga ke akhir cerita dan ianya semakin diburukkan dengan penamat cerita yang kelihatan sedikit kebudak-budakan. Walaupun ianya sebuah filem seram yang boleh kami katakan sebagai sangat gagal menakutkan kami namun kami masih mampu menonton filem ini sehingga ke penamat.



Jadi, selamat menonton filem seram Behind You ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 20 Ogos 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Komedi Tempatan Berjudul Takut Ke Tak. Nantikan Ulasannya Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan