Review Filem I Still Believe

 

Filem:
I Still Believe

Penilaian:
8/10
Pengarah:
Andrew Erwin & Jon Erwin

Genre:
Drama & Romantik

Pelakon:
KJ Apa, Britt Robertson, Melissa Roxburgh, Shania Twain, Gary Sinise & Etc.

Pengedar:
TGV Pictures

Tarikh Tayangan:
15 Oktober 2020

Sinopsis:
Filem biografi ini memaparkan kisah kehidupan bintang muzik Kristian Jeremy Camp ketika remaja, perjalanannya sebagai seorang penyanyi terkenal serta kisah percintaan bersama isteri pertamanya iaitu Melissa. Walaupun Jeremy mengetahui bahawa Melissa tidak akan hidup lama kerana menghidap kanser ovari tahap tiga namun beliau bertekad untuk mengahwini wanita yang dicintainya tersebut. Namun, keajaiban berlaku apabila Melissa disahkan bebas daripada kanser dan memberi mereka peluang untuk mendirikan rumah tangga. Namun, insiden mengejutkan berlaku selepas empat bulan mereka berkahwin dan mengubah kehidupan Jeremy Camp buat selama-lamanya. Saksikan filem drama romantik yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 15 Oktober 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh pihak TGV Pictures untuk menghadiri tayangan media bagi filem I Still Believe yang berlangsung pada 7 Oktober 2020 yang lepas. Filem bergenre drama romantik ini sememangnya menjadi antara filem yang menjadi kegemaran kami pada tahun 2020 ini disebabkan pendekatan kreatif yang diguna pakai di dalam menggabungkan elemen romantik serta dakwah dan disampaikan dengan cara yang cukup mudah dan santai untuk cepat difahami oleh sesiapa sahaja yang menonton. 


Plot penceritaan filem I Still Believe ini sememangnya mudah dan sehala sahaja kerana ia berdasarkan kisah sebenar seorang bintang bernama Jeremy Camp. Namun, apa yang menariknya tentang filem ini apabila bagaimana elemen agama itu dimasukkan di dalam penceritaan melalui perkara yang cukup asas tetapi cukup untuk membuatkan penonton tanpa mengira pegangan agama apa sekali pun terfikir tentang beberapa perkara yang barangkali masing-masing sering terlepas pandang. Sebagai contoh kami sendiri sebagai seorang yang beragama Islam gemar melihat subteks-subteks yang ada di dalam filem ini yang merujuk kepada perkara-perkara berkaitan doa, pergaulan, kepercayaan terhadap perkahwinan serta kewujudan Tuhan dimana setiap unsur-unsur tersebut sememangnya sangat penting dalam kehidupan seharian. Jadi, melihat bagaimana filem ini mengguna pakai setiap perkara tersebut dengan jayanya di dalam penceritaan mereka sudah cukup untuk membuatkan kami terpanggil untuk berkongsi dan menyampaikan hal ini kepada para pembikin filem tempatan khususnya mereka yang menerbitkan filem Melayu agar mencuba pula kaedah sebegini yang dilihat lebih dekat dengan jiwa penonton itu sendiri.


Filem I Still Believe ini berjaya memaparkan dan menyampaikan jiwa sebenar seorang lelaki budiman dengan jayanya sekali. Setiap watak lelaki di dalam filem ini berjaya dibentuk melalui karakter yang berbeza tetapi masing-masing memberi satu aura positif yang cukup baik untuk membuatkan penonton terutama wanita lebih mengenali bagaimana cara dan tindakan lelaki-lelaki yang baik ini berfikir, bertindak dan menunaikan tanggungjawab mereka. Pilihan dalam membuat keputusan atau menentukan jawapan yang bersesuaian sememangnya mencerminkan banyak perkara penting yang mana filem ini membawa kita melihat kesan-kesan kepada nilai persahabatan, silaturahim ahli keluarga dan seterusnya kepada keseluruhan kehidupan yang dijalani seharian. 


Filem I Still Believe juga dilihat berjaya memilih barisan pelakon yang tepat di dalam menghidupkan watak dan memainkan peranan masing-masing sehingga memberi kesan yang cukup baik kepada tontonan kami. Secara jujurnya, kami tidak mengenali siapakah penyanyi bernama Jeremy Camp mahu pun isteri pertamanya iaitu Melissa. Namun, pelakon utamanya iaitu KJ Apa dan Britt Robertson yang masing-masing membawakan watak Jeremy Camp dan Melissa berjaya melaksanakan tugas mereka dengan cukup jitu. Penjiwaan, emosi, lontaran suara dan bahasa tubuh berjaya menyatu dengan roh watak yang dipegang dengan cukup baik dan seterusnya membuatkan kami berasa begitu dekat dan sangat memahami setiap perwatakan karakter utama ini dengan cukup baik. Ditambah pula dengan barisan lagu yang cukup bersesuaian dengan situasi cerita serta kemerduan melodi dan keindahan liriknya membuatkan filem ini sememangnya sebuah filem romantik yang wajib ditonton pada tahun 2020 ini.


Filem I Still Believe bukannya sebuah filem romantik yang membuatkan anda berimaginasi perkara fantasi yang sukar untuk wujud di dalam kehidupan. Tetapi, filem ini memaparkan realiti menarik apabila si lelaki sedar dan tahu menjalankan tanggungjawab serta amanah yang dipikul saat bergelar suami dan mengetahui jalan kehidupan yang dipilihnya mampu dilaksanakan dengan sepenuh hati. Nilai kekeluargaan yang tinggi serta keindahan sinematografi yang dimanfaatkan sepenuhnya menjadikan filem I Still Believe sebagai sebuah filem yang bukan sahaja tidak mengecewakan tetapi memberikan sesuatu saat anda keluar daripada panggung wayang usai selesai menonton filem menarik ini.


Jadi, selamat menonton filem drama romantik I Still Believe ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 15 Oktober 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulaskan Ialah Filem Z! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan