Review Filem Vanguard

 

Filem:
Vanguard

Penilaian:
6/10

Review Youtube:
VANGUARD REVIEW FILEM

Pengarah:
Stanley Tong

Genre:
Aksi, Pengembaraan & Komedi

Pelakon:
Jackie Chan, Yang Yang, Miya Muqi, Ai Lun& Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
30 September 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan ejen syarikat keselamatan rahsia antarabangsa iaitu Vanguard yang ditugaskan untuk melindungi seorang ahli perniagaan Cina daripada menjadi sasaran organisasi pembunuh upahan. Dengan kerjasama kakitangan perisikan dari Dubai, ejen itu perlu menentang dan menumpaskan organisasi tersebut. Berjayakah ejen-ejen Vanguard menyelesaikan tugasan yang diberi? Saksikan filem aksi yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 September 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah dijemput oleh GSC Movies untuk menghadiri Media Gathering Screening yang berlangsung di GSC Mid Valley pada 23 September 2020 yang lepas. Majlis tersembut memberi peluang kepada para pengamal media, blogger, vlogger dan seangkatan dengannya untuk menonton dua buah filem lebih awal daripada tarikh tayangannya di pawagam iaitu filem Vanguard dan Jiang ZiYa. Kami berkesempatan menonton filem Vanguard yang menampilkan Jackie Chan sebagai salah seorang watak 'utama' dan apa yang kami boleh katakan filem terbaru lakonannya kali ini lebih menghiburkan dengan adegan-adegan lucu ekstravaganza yang sukar dibayangkan jika tidak disaksikan sendiri di hadapan mata.


Filem Vanguard ini yang sepatutnya ditayangkan pada Tahun Baru Cina 2020 sebelum ditangguhkan atas sebab wabak Covid-19 sememangnya dinanti-nanti ramai peminat Jackie Chan yang merindui aksi-aksi yang sering dilakukan sendiri oleh pelakon ini tanpa bantuan pelakon aksi ngeri. Tidak dinafikan anda boleh berasa lega untuk menonton filem ini kerana terdapat banyak babak yang menampilkan lakonan Jackie Chan. Filem ini sememangnya tidak menipu penonton seperti mana beberapa filem sebelum ini yang meletakkan nama Jackie Chan di poster filem mereka namun kelibat Jackie Chan hanya keluar pada saat-saat akhir.


Filem Vanguard menampilkan sebuah kisah aksi yang klise dimana ianya adalah sebuah cerita biasa yang anda sendiri sebagai penonton sudah boleh meramal apakah plot, subplot, klimaks serta babak akhir filem ini. Walaupun filem ini dilihat cuma meluaskan jangkauan ceritanya sehingga kepada tiga negara utama namun ia masih kekal dilihat berwajah sama seperti mana filem aksi dari Hong Kong mahu pun Taiwan yang sememangnya sangat dekat dengan penonton Malaysia. Kekuatan filem ini sebenarnya datang daripada babak-babak aksinya yang memberi dua kesan berbeza kepada kami yang menonton. 


Kenapa kami mengatakan aksi-aksi di dalam filem Vanguard ini memberikan dua kesan berbeza kepada kami? Ini disebabkan ada aksi-aksi yang dilakonkan sememangnya membuatkan adrenalin kami mencanak naik dan cukup terhibur menontonnya terutama apabila ia mengingatkan kami semula terhadap aksi-aksi yang dilakonkan oleh Jackie Chan ketika beliau masih muda. Namun, tidak dinafikan juga ada sebahagian besar babak-babak aksinya yang terlalu bersifat hiperbola dimana ianya dipaparkan terlalu berlebihan sehingga mengundang tawa dibuatnya. Babak-babak aksi ini juga dilihat seakan-akan mengambil idea daripada beberapa babak aksi filem Hollywood terkenal yang pasti akan membuatkan anda teringat secara automatik saat menonton adegan-adegan yang kami maksudkan tersebut.


Selain itu, teknik imej janaan komputer atau CGI yang kami lihat di dalam filem Vanguard ini masih boleh diberi pujian walaupun tidak pada semua babak. Kesan daripada penggunaan teknik ini juga adakalanya dilihat memberi kesan besar kepada beberapa babak terutamanya yang melibatkan adegan singa jantan serta aksi berlawan dan menyelamat di sungai dengan menaiki jet ski. Kesan besar yang kami maksudkan disini ialah daripada sudut realistik yang menyebabkan filem ini kelihatan terlalu bercita-cita besar sehingga membuatkan sebahagian wajah luarannya kelihatan 'buruk' dan ditertawakan ramai. Secara keseluruhannya, filem Vanguard hanya sekadar sebuah filem aksi daripada Asia Timur yang cuba untuk dilihat sebagai sebuah filem aksi Hollywood yang gah. Walaupun ianya menghiburkan namun keasliannya serta pembaharuannya tiada. Kesimpulannya, kami boleh nyatakan bahawa Vanguard hanyalah sekadar sebuah filem yang kami boleh tonton jika ingin berhibur dengan adegan lagak aksi yang disulami elemen komedi. Itu sahaja yang menarik tentang Vanguard!


Jadi, selamat menonton filem aksi Vanguard ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 30 September 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Apa Pula Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini? Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan