Filem:
Unhinged
Penilaian:
8/10
Pengarah:
Derrick Borte
Genre:
Ngeri
Pelakon:
Russell Crowe, Gabriel Bateman, Caren Pistorius & Etc.
Pengedar:
TGV Pictures
Tarikh Tayangan:
24 September 2020
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan kejadian malang yang menimpa seorang ibu tunggal iaitu Rachel selepas perbuatannya membunyikan hon kereta kepada seorang lelaki yang tidak dikenali ketika bergegas untuk menghantar anaknya ke sekolah. Disebabkan hal tersebut, Rachel kini berdepan dengan satu bahaya yang tidak pernah dia jangkakan apabila lelaki tersebut bukan sekadar mengekorinya tetapi juga cuba membunuh dia dan juga orang-orang yang rapat dengannya. Adakah Rachel dapat menyelamatkan dirinya serta orang-orang yang disayanginya daripada dibunuh oleh seorang lelaki psiko? Saksikan filem ngeri yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 24 September 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem ngeri yang cukup menarik lakonan Russell Crowe yang berjudul Unhinged. Kami telah menonton filem ini pada 24 September 2020 bertempat di TGV Sunway Putra. Pada awalnya kami tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap filem ini namun sememangnya Unhinged memberikan satu kejutan yang cukup kami nantikan untuk filem-filem bergenre sebegini di tahun 2020.
Filem Unhinged ini menampilkan dua perkara utama yang cukup menarik untuk ditonton. Perkara pertama yang menarik untuk dilihat tentang bagaimana filem ini menampilkan karakter lelaki psiko yang dibina dan diperkembangkan dengan cukup baik untuk meyakinkan kami sebagai penonton. Perkara kedua ialah tentang masalah keselamatan mahu pun psikologi manusia saat berada di atas jalan raya atau ketika memandu kenderaan masing-masing di jalan raya. Kedua-dua perkara ini sememangnya bijak digabung dengan cukup baik sehingga mewujudkan satu kombinasi yang gah dan seterusnya memberikan rasa seram dan ketakutan yang cukup hebat kepada sesiapa sahaja yang menonton filem ngeri ini.
Filem Unhinged ini sememangnya merupakan sebuah karya yang baik di dalam memberi peringatan kepada kita semua yang menonton tentang kesan terhadap setiap perkara yang kita sering rasa remeh atau abaikan dalam kehidupan seharian. Antara yang kami berjaya kesan dan rasai ialah tentang kepentingan merancang masa. Sejak awal lagi filem ini memberi penekanan terhadap masalah masa ini melalui watak utamanya Rachel yang menyebabkan dirinya mengalami pelbagai masalah seperti terlepas temujanji dengan pelanggan, menyebabkan anaknya didenda kerana lewat ke sekolah, dibuang kerja oleh majikan dan paling penting ialah mewujudkan emosi yang tidak stabil saat memandu di atas jalan raya. Segala hal yang berlaku secara serentak ini sememangnya mengganggu emosi seorang wanita bernama Rachel dan seterusnya memberi kesan kepada hal-hal lain seperti nilai toleransi, adab memandu, budaya memohon maaf serta tentang keselamatan gajet yang kini menyimpan semua rahsia setiap manusia di muka bumi. Menarik untuk melihat perkara-perkara yang kecil ini apabila berlaku serentak berjaya membuatkan kehidupan Rachel hampir musnah gara-gara kerana perkara yang sebenarnya boleh dielakkan.
Filem Unhinged juga sebenarnya kelihatan cukup hebat dan memberi impak disebabkan oleh lakonan hebat Russell Crowe yang memegang watak sebagai seorang lelaki psiko yang menamakan dirinya sebagai Tom Copper. Apa yang menariknya tentang lakonan pelakon ini ialah apabila dirinya boleh meyakinkan penonton dengan watak antagonis ini dengan mengubah emosinya sekelip mata tanpa sebarang pembayang awal. Hal ini sememangnya sangat menakutkan kerana Russell menampilkan dua karakter yang sangat berbeza di dalam satu watak. Lebih meyakinkan apabila bagaimana bahasa tubuh serta emosi yang dibina secara perlahan-lahan berjaya disampaikan dengan cukup baik sehingga mampu membuat kami sebagai penonton bukan sahaja terasa meremang melihat watak antagonis ini bahkan kami telah terlupa bahawa ini hanyalah watak fiksyen kerana lakonannya sangat dipercayai di pandangan mata.
Walaupun filem Unhinged ini menampilkan sebuah jalan cerita yang bersifat sehala namun tidak dinafikan kejutan-kejutan yang ditampilkan di dalam beberapa adegan mampu membuatkan anda terkejut besar dan tidak senang duduk di kerusi menyaksikan babak-babak yang mendebarkan. Lebih membuatkan filem ini memberi kesan emosi kepada tontonan anda yang bertepatan dengan genre filem ini sebagai sebuah filem ngeri adalah kekuatannya di dalam kesan-kesan khas melalui aksi pembunuhan serta adegan kemalangan jalan raya yang dilihat cukup meyakinkan dari sudut visualnya. Ini secara tidak langsung membuatkan kami berasa cukup puas menonton keseluruhan filem ini yang boleh kami katakan sangat berbaloi untuk anda tonton di pawagam.
Namun, tidak kami nafikan filem Unhinged ini juga mempunyai beberapa kelemahan terutama daripada tiga faktor yang kami boleh nyatakan. Pertama ialah kredibiliti watak Rachel sebagai seorang wanita dan ibu tunggal yang cuba melindungi anak serta orang-orang yang disayangi daripada menjadi mangsa pembunuhan Tom Copper. Kredibiliti watak ini yang boleh dipersoalkan adalah berkenaan dua perkara iaitu bagaimana tiba-tiba watak ini dilihat secara tiba-tiba mempunyai keberanian untuk cuba memburu Tom Copper serta keadaan fizikalnya yang dilihat lemah namun mampu melawan Tom Copper yang ganas dan berbadan gagah. Faktor kedua ialah pengakhiran cerita filem ini yang dilihat agak klise dan menuruti langkah-langkah filem bergenre ngeri yang menampilkan kisah watak psiko seperti mana filem ini. Namun, kami mendapat khabar berita bahawa terdapat adegan akhir pada kredit filem ini yang kami terlepas untuk menonton dimana ianya menampilkan satu adegan menarik untuk membuatkan penonton berasa lebih gerun dengan siapa sebenarnya watak lelaki psiko yang menamakan dirinya sebagai Tom Copper ini. Faktor ketiga semestinya adegan-adegan kejar mengejar dan pelanggaran di jalan raya yang dilihat juga agak klise dan adakalanya tidak masuk akal. Namun, dari sudut hiburan kami melihat hal tersebut tiada masalah besar kerana ia meningkatkan adrenalin penonton sewaktu menyaksikan filem ini.
Jadi, selamat menonton filem Unhinged di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 24 September 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan Dalam Waktu Terdekat!
0 Ulasan