Review Filem The Box

 

Filem:
The Box

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Yang Jung-Woong

Genre:
Drama

Pelakon (Suara):
Chanyeol, Jo Dal-Hwan & Etc.

Pengedar:
ATriNaga Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
8 April 2021

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Ji-Hoon yang merupakan seorang pemuda berbakat besar dan bercita-cita untuk menjadi penyanyi. Namun, dia mengalami masalah ketakutan pentas yang cukup kuat membuatkan impiannya itu sekadar angan-angan baginya. Namun, secara tidak sengaja, Min-Soo yang merupakan seorang bekas produser hit terkenal terjumpa dengannya. Min-Soo yakin bahawa Ji-Hoon mampu menjadi artis terkenal dan mula merancang pelbagai aktiviti untuk membantu Ji-Hoon mencapai cita-citanya. Kedua-dua lelaki itu mula mengembara dari satu negeri ke satu negeri dan pelbagai kejadian menarik dan lucu terjadi sewaktu pengembaraan mereka. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 April 2021 untuk mengetahui kisah seterusnya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Korea yang cukup menarik dan menghiburkan iaitu The Box di GSC Mid Valley pada 8 April 2021 yang lepas. 


The Box adalah sebuah filem yang berjaya memberi fokus kepada perkara utama yang penting dan cuba disampaikan di dalam filem ini iaitu kotak. Kotak ini membawakan subteks yang pelbagai dan ianya secara tepat merujuk kepada watak Ji Hoon yang terperangkap di dalam ruang kotak yang membaluti jiwanya yang ketakutan. Ketakutan yang terhasil dek kisah silam semasa kecil yang menyebabkan bakat hebat yang ada pada dirinya gagal ditonjolkan kepada orang ramai. 


Kehadiran watak Min Soo pula berjaya memaparkan sisi lain seorang manusia yang turut tersepit di dalam kotak kewangan yang gelap. Kegelapan yang mengekang kehidupannya untuk sentiasa lari daripada pemungut hutang menampakkan Min Soo kelihatan seperti cuba mengambil kesempatan terhadap bakat yang ada pada Ji Hoon. Namun, dapat dilihat sifat kemanusiaan Min Soo lebih tinggi daripada desakan hidup untuk menyelesaikan hutang dan menjadikan pertembungan dua watak yang berbeza perwatakannya ini mewarnai dengan cukup cantik penceritaan filem ini daripada awal sehingga akhir. 


Sekali lagi karyawan perfileman Korea dilihat bijak di dalam menaikkan industri pelancongan dan hiburan Korea dengan menjual keindahan Korea Selatan kepada penonton di seluruh dunia yang menonton filem ini. Filem yang boleh dikatakan sebagai sebuah filem Road Trip ini berjaya menggiurkan penonton dengan menu-menu tempatan yang dipaparkan dengan cukup menarik disini. Begitu juga dengan lokasi pelancongan desa yang memukau serta keindahan lirik dan melodi lagu-lagu Korea yang indah didengar. Trio kombinasi yang diguna pakai di dalam filem ini secara tidak langsung menjadikan filem ini begitu berwarna-warni dan ceria untuk anda tonton. 


Plot penceritaan berjaya disampaikan dengan baik dimana kami sebagai penonton berasa begitu dekat dengan watak-watak utama mahu pun pembantu. Rasa ketakutan watak utamanya juga kelihatan sangat jujur dan ini menjadi pemangkin untuk penonton berasa terikut sama untuk memberi semangat kepada watak-watak ini sehingga akhir. Elemen humor yang tidak keterlaluan juga turut membantu filem ini untuk dilihat versatil. Secara keseluruhan, filem The Box membawa sebuah konsep yang sederhana dan minima di dalam segala sudut namun ianya sudah cukup untuk membuatkan penonton terhibur dan berinspirasi pada masa yang sama. 


Jadi, selamat menonton filem The Box ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 8 April 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Thriller Iaitu Godzilla Vs Kong! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan