Review Filem The Promised Neverland

 

Filem:
The Promised Neverland

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Yuichiro Hirakawa

Genre:
Fantasi & Thriller

Pelakon (Suara):
Minami Hamabe, Rihito Tagaki, Jyo Kairi, Keiko Kitagawa & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
8 April 2021

Sinopsis:
Filem yang diadaptasi daripada siri manga Jepun dengan judul yang sama ini mengisahkan kejadian yang berlaku di rumah anak yatim bernama Grace Field House. Emma, Norman dan Ray serta kanak-kanak yang lain tinggal bersama Isabella yang mereka panggil ibu. Isabella merupakan penjaga yang menjaga semua anak yatim di sana dengan penuh kasih sayang. Apabila anak-anak yatim disitu mencapai usia tertentu, mereka akan dihantar untuk tinggal bersama keluarga angkat. Emma, Norman dan Raya menantikan saat ini tiba namun pada suatu hari mereka tanpa sengaja mula mengetahui rahsia gelap rumah anak yatim tersebut yang cukup menakutkan. Mereka bertiga mula merancang untuk melarikan diri dari Grace Field House namun mereka mula menyedari bahawa agak sukar untuk meloloskan diri daripada tempat tersebut. Lebih merisaukan mereka apabila Isabella dapat menghidu perancangan tiga sekawan tersebut. Adakah Emma, Norman dan Ray berjaya melarikan diri? Bagaimana dengan nasib anak-anak yatim yang lain? Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 8 April 2021 untuk mengetahui jawapannya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem fantasi thriller yang diadaptasi daripada siri manga terkenal Jepun iaitu The Promised Nerveland di GSC Mid Valley pada 8 April 2021 yang lepas. 


Aura filem The Promised Neverland ini jika dilihat kepada trailer filemnya agak meyakinkan dan mengingatkan kami kepada filem-filem Jepun yang berkonsep seakan-akan sama seperti Battle Royale misalnya. Namun, hakikat sebenarnya filem ini sangat ringan dan terlalu jauh daripada jangkaan awal kami. 


Kronologi cerita filem ini cuba disusun bersimpang siur dengan harapan untuk dilihat dimata penonton sebagai satu plot twist yang berjaya dan mengagumkan. Tetapi, kami berpandangan sebaliknya kerana merasakan cubaan ini tampak begitu lemah dan tidak memberi impak yang kuat untuk diingati oleh penonton. 


Hal ini disebabkan watak-watak ini berkembang dengan perwatakan yang bukan sahaja mengelirukan tetapi tidak jelas. Tidak ada sokongan babak-babak yang kuat untuk membuatkan penonton lebih dekat dengan jati diri watak-watak penting. Semuanya kelihatan hanya sekilas sehingga menjadikan filem ini sekadar sebuah filem yany bergerak sehala dengan momentum yang sama. Tidak ada turun dan naik menyebabkan kami lebih mudah untuk meletakkan segala macam ini dengan satu perkataan - Bosan!


Sayang kerana segala-galanya tampak cara marba. Daripada plot cerita yang kucar kacir, perkembangan watak yang mengelirukan serta lakonan sebahagian pelakon yang kaku atau berlebihan memberikan ekspresi membuatkan filem ini kelihatan serba tidak kena. Jika anda sering menonton filem-filem Jepun yany bergenre sebegini maka anda pasti akan bersetuju dengan kami bahawa filem The Promised Neverland sangat kerdil dan tidak menyerlah jika berbanding filem-filem yang sealiran genre dengannya. Menghiburkan tetapi cukup sekadar ditonton sekali sahaja. 


Jadi, selamat menonton filem The Promised Neverland ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 8 April 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem  Dari Korea Yang Cukup Menghiburkan Iaitu The Box! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!

Catat Ulasan

0 Ulasan