Review Filem Detective Conan: The Scarlet Bullet

 


Filem:
Detective Conan: The Scarlet Bullet

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Chika Nagaoka

Genre:
Animasi

Pelakon (Suara):
Minami Takayama, Kappei Yamaguchi, Wakana Yamazaki & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
22 April 2021

Sinopsis:
Filem animasi yang berlatarkan bandar Tokyo ini mengisahkan festival sukan terbesar di dunia iaitu "WSG: World Sports Games" yang hanya berlangsung empat tahun sekali dan dijadualkan bakal diadakan tidak lama lagi. Tokyo juga turut mengumumkan bahawa keretapi "Vacuum Superconducting Linear" pertama di dunia bakal dilancarkan operasinya dari Nagoya ke Tokyo sama dengan tarikh upacara pembukaan WSG. Namun, kejadian aneh berlaku apabila penaja utama festival tersebut diculik pada hari dijadualkan pelancaran keretapi tersebut. Shuichi Akai sedang memantau kejadian itu dan FBI sedang menunggu arahan daripadanya. Sementara itu, Conan menemui kaitan antara penculikan yang berlaku dengan dengan satu kejadian yang berlaku di Boston pada 15 tahun yang lalu. Kejadian tersebut turut disiasat oleh pihak FBI. Adakah ini hanya kebetulan? Apakah yang akan berlaku di Tokyo sewaktu orang ramai berkumpul dari seluruh dunia untuk menyaksikan Festival WSG? Saksikan filem animasi yang cukup menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 April 2021 untuk mengetahui kisah selanjutnya. 

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada GSC Movies untuk menonton sebuah filem animasi terkenal dari Jepun iaitu Detective Conan: The Scarlet Bullet di GSC Mid Valley pada 16 April 2021 yang lepas. Pada awalnya kami agak risau untuk menonton kerana selalunya kita perlu mengikuti siri-siri animasinya yang terdahulu jika ingin memahami dengan lebih jelas apa yang cuba dipaparkan di dalam filem-filem anime di pawagam. Namun, alhamdulillah kami memahami filem animasi ini kerana pada bahagian awal filemnya ada diceritakan serba sedikit tentang latar belakang watak-watak utama filem ini. 


Filem Detective Conan: The Scarlet Bullet ini sememangnya menarik dan cukup menghiburkan seperti mana di dalam siri-siri terdahulu kisah Detective Conan ini yang kita boleh dan pernah tonton di saluran televisyen tempatan. Kekal dengan setiap misteri yang menarik dan unik, filem ini berjaya membuatkan penonton seperti kami berasa teruja untuk mengetahui suspek atau dalang kepada kejadian jenayah yang sedang berlaku di dalam penceritaan filem ini. Ia adalah wajah dominan kepada siri Detektif Conan dan apa yang pasti formula yang diguna pakai ini sentiasa relevan dan tidak pernah menjemukan kami. 


Plot penceritaan filem Detective Conan: The Scarlet Bullet ini bijak dikembangkan, dimanipulasi dan digabungkan pada akhir penceritaan untuk memberikan satu impak yang sangat menarik secara keseluruhan. Seperti biasa, filem animasi ini tidak sah jika tidak bermain dengan plot twist yang memukau. Kronologi susunan cerita yang sentiasa segar sememangnya membuatkan filem ini berada di dalam tahap tertingginya yang tersendiri. Walaupun filem animasi ini masih kekal dengan format animasi 2D tetapi auranya di dalam memberi kejutan sentiasa luar biasa. Kami kagum dengan hasil ilustrasi bandar Tokyo yang penuh dengan teknologi moden yang sangat mengasyikkan. Begitu juga dengan grafik serta penggunaan warna pelbagai sangat menceriakan filem ini yang turut tidak lekang dengan unsur humor yang menghiburkan.


Walauapun filem Detective Conan: The Scarlet Bullet sekadar sebuah filem animasi 2D tetapi ianya dipenuhi dengan babak-babak aksi yang cukup mengagumkan sejak dari awal penceritaan filem ini lagi. Setiap babak aksi ini bijak diselitkan dengan unsur misteri serta elemen kejutan yang membuatkan anda pasti tidak senang duduk untuk melihat kesudahan filem ini yang sememangnya cukup menghiburkan. Kami melihat gabungan intipati kisah yang menarik serta elemen aksi ini adalah seimbang dan ia sememangnya adalah wajah asli kisah Detektif Conan itu sendiri. Sebagai peminat animasi Detective Conan, filem ini sememangnya mencapai skala yang kami harapkan.


Secara keseluruhan, filem Detective Conan: The Scarlet Bullet sememangnya sebuah filem animasi yang menghiburkan, penuh dengan aksi yang mengejutkan serta sentiasa tidak pernah sesekali mengabaikan isi-isi penceritaan di dalam setiap watak dan kejadian jenayah yang disusun dengan cukup kemas tanpa ada sebarang lompong yang mencacatkan penceritaan. Lebih penting naskah ini sememangnya mudah difahami walaupun anda yang menonton tidak pernah tahu atau menonton siri atau filem-filem Detective Conan yang terdahulu.  


Jadi, selamat menonton filem animasi Detective Conan: The Scarlet Bullet ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 22 April 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Bollywood Yang Telah Dialih Suara Kepada Tamil Iaitu 99 Songs. Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

0 Ulasan