Filem:
Dad, I'm Sorry (Bố Già)
Penilaian:
10/10
Pengarah:
Tran Tranh, Vu Ngoc Dang
Genre:
Drama, Komedi & Keluarga
Pelakon (Suara):
Tran Tranh, Ngoc Giau, Le Giang, La Thanh, Tuan Tran & Etc.
Pengedar:
GSC Movies
Tarikh Tayangan:
22 April 2021
Sinopsis:
Filem dari Vietnam ini berdasarkan sebuah siri web dengan nama yang sama iaitu Dad, I’m Maaf (Bố Già) yang meneroka kisah generasi keluarga Vietnam melalui watak Ba Sang yang merupakan seorang lelaki berusia lebih daripada 60 tahun. Mempunyai anak lelaki bernama Quan yang merupakan seorang YouTuber yang sedang meningkat naik dan anak perempuannya bernama Bu Tot. Walaupun Ba Sang bertanggungjawab untuk memberikan kehidupan yang baik buat anak-anaknya namun nasib tidak menyebelahinya. Ditambah pula dengan ahli keluarga Ba Sang yang selalu mengambil kesempatan menyebabkan berlaku konflik antara Ba Sang dan Quan. Lebih menyedihkan apabila rahsia sebenar anak perempuannya iaitu Bu Tot terbongkar menyebabkan hubungan antara Ba Sang dan anak lelakinya semakin keruh. Apakah yang bakal terjadi kepada hubungan antara bapa dan anak ini? Filem menarik ini boleh ditonton di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 April 2021 untuk mengetahui jawapannya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Rekomen Filem untuk menonton sebuah filem dari Vietnam yang cukup menarik iaitu Dad, I'm Sorry (Bố Già) di GSC 1 Utama pada 19 April 2021 yang lepas. Nampak gayanya filem-filem dari Vietnam yang memasuki pawagam Malaysia sememangnya bukan calang-calang naskah dimana ini merupakan filem kedua daripada negara tersebut yang mendapat tempat di hati kami. Filem ini betul-betul mengagumkan dan sangat menghiburkan.
Filem Dad, I'm Sorry (Bố Già) ini sekali lagi membawa kami sebagai penonton melihat, menghayati dan menyelami kehidupan warga setinggan atau miskin bandar Vietnam yang mempunyai pelbagai warna sama ada berbentuk positif atau negatif. Hal ini telah dipaparkan sejak awal filem lagi melalui latar belakang masyarakat yang hidup di dalam suasana komuniti yang pelbagai ragam seperti pergaduhan suami isteri di khalayak ramai, membuang air kecil di merata tempat serta kawasan kediaman yang mudah dinaiki air. Susunan dan jarak antara rumah yang memang berdekatan antara satu sama lain ini membuatkan penonton dapat melihat satu sisi baru masyarakat miskin bandar yang mampu dan boleh hidup di dalam kawasan persekitaran begini dengan gembira walaupun tidak semewah golongan kayangan.
Filem Dad, I'm Sorry (Bố Già) juga tidak terkecuali untuk memasukkan elemen terkini berkaitan teknologi untuk membuatkan penonton terasa dekat dengan watak ini. Berbeza berbanding filem-filem yang gemar membawa isu youtube ke dalam fasa komedi semata, filem ini bertindak sebaliknya dimana ia membawa kita melihat kegilaan watak Quan yang menghasilkan pelbagi isi kandungan untuk akaun youtube miliknya bagi mengubah taraf hidupnya dan memperoleh pulangan wang yang banyak agar dirinya dapat keluar daripada koloni masyarakat tersebut. Perkara ini jelas dapat dilihat sejak awal lagi dimana dirinya tidak mampu melihat si ayah yang sudah tua masih bekerja membanting tulang empat kerat demi membayar hutang. Cita-citanya ingin melihat ayahnya berehat di kawasan yang selesa dan bersih. Pada waktu yang sama, isu yang cuba dibawa di dalam konteks sebagai youtuber ini juga menarik apabila ia membawa penonton melihat satu sisi lain pula iaitu berkaitan dengan adab sopan sebagai orang Asia. Kritikan sosialis yang dipaparkan di dalam adegan Quan yang lebih bersifat terbuka berterus-terang dan lantang bersuara berbanding berkias juga menunjukkan impak daripada teknologi masa kini kepada budaya sopan santun masyarakat Asia yang makin terkikis.
Filem Dad, I'm Sorry (Bố Già) ini sebenarnya sangat jujur di dalam memaparkan bagaimana perasaan seorang ayah mithali yang sukar untuk lihat atau fahami hati mereka jika tidak digali secara dalam. Dalam filem ini, kami bersetuju majoriti akan bersikap seperti anak lelaki Ba Sang iaitu Quan yang melihat ayahnya terlalu berlembut atau melebih-lebihkan adik beradik serta ahli keluarga yang lain berbanding keluarga sendiri atau pun dirinya. Perkara ini sangat bijak dikembangkan di dalam plot penceritaan yang membuatkan pada akhirnya secara zahir dan batin kita dapat memahami secara menyeluruh dan terpukau dengan kejujuran watak Ba Sang yang cukup memberi kesan melankolik atas setiap tindakan yang diambil. Kejujuran watak Ba Sang ini di dalam perwatakannya sangat memberi kesan kepada kami. Sayangnya kepada si anak, si cucu, kekasih, adik-beradik serta ahli keluarga yang lain memberikan satu pandangan yang pada kami cukup baru dan unik. Pepatah yang menyatakan ditelan mati anak dan diludah mati bapa cukup sesuai menggambarkan apa yang dialami oleh watak Ba Sang ini. Sememangnya pengorbanan yang dilakukan cukup memberi kesan kepada keseluruhan filem dan ianya sampai kepada kami sebagai penonton.
Semestinya filem Dad, I'm Sorry (Bố Già) ini layak mendapat tempat nombor satu di kalangan penonton Vietnam kerana ianya mempunyai segala-galanya yang anda ingin saksikan. Komedinya sangat menjadi dan tidak langsung kelihatan dibuat-dibuat. Kesedihannya cukup untuk membuatkan anda terasa sebak. Isi ceritanya meliputi segala sudut daripada isu kehidupan, kekeluargaan dan sivik yang sangat realistik dan dekat di hati. Susunan dialog yang kemas dan bersahaja juga membuatkan penonton mengenali dan terasa dekat dengan setiap watak walaupun watak itu hanya muncul seketika. Lokasi penggambaran yang menarik serta hasil kerja kamera yang sangat cantik membuatkan filem ini terasa serba serbi lengkap tanpa ada sebarang cacat cela yang tidak boleh dibaiki.
Terima kasih kepada barisan para pelakon filem Dad, I'm Sorry (Bố Già) yang boleh kami nyatakan sebagai cukup hidup, berkualiti dan sangat bekerja keras di dalam menghidupkan watak masing-masing. Tanpa lakonan mantap sebegini, kami pasti filem ini semestinya tidak menjadi hebat sebegini rupa. Masing-masing berjaya menyampaikan peranan masing-masing dengan cukup baik. Tidak kelihatan sebarang perhubungan yang kekok. Mereka sememangnya kelihatan sebagai sebuah keluarga besar yang sangat asli. Kesimpulannya, kami melihat filem Dad, I'm Sorry (Bố Già) sebagai sebuah filem yang sangat berjiwa besar dan karya ini sememangnya patut diangkat sebagai sebuah karya kekeluargaan menarik yang perlu ditonton oleh ramai pihak. Wahai pengkarya Malaysia! Bangkitlah kalian dan hasilkan filem-filem sebegini! Karya sebegini sangat berharga kerana kejujurannya memang sukar dicari ganti.
Jadi, selamat menonton filem Dad, I'm Sorry (Bố Già) ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 22 April 2021 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Filem Nobody. Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat!
0 Ulasan