Review Filem The Bridge Curse


Filem:
The Bridge Curse

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Lester Hsi

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
JC Lin, Vera Yen, Summer Meng, Ning Chang & Etc.

Pengedar:
MM2 Entertainment

Tarikh Tayangan:
2 Julai 2020

Sinopsis:
Filem ini berdasarkan lagenda urban mengenai jambatan berhantu di Universiti Taichung Tunghai. Dikatakan kawasan tersebut dihantui oleh roh seorang gadis yang mati dengan membunuh diri di situ disebabkan patah hati. Kisahnya kemudian memberi fokus kepada sekumpulan pelajar universiti yang mendapati roh itu mungkin benar-benar wujud ketika mereka memfilemkan sebuah rakaman video di jambatan berhantu itu sehingga ianya menjadi tular di kalangan ramai pihak gara-gara kematian kumpulan pelajar ini. Namun, selepas beberapa tahun kumpulan pelajar yang lain memberanikan diri untuk membuat rakaman berkaitan kisah ini di lokasi yang sama. Adakah mereka akan selamat atau nasib mereka berakhir seperti mana nasib kumpulan pelajar sebelum ini? Saksikan filem seram ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 2 Julai 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.


Ulasan:

Alhamdulillah! Setelah 4 bulan kami tidak menonton wayang dan akhirnya portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak MM2 Entertainment untuk menghadiri tayangan filem seram terbaru daripada Taiwan berjudul The Bridge Curse yang berlangsung dengan jayanya di MMCineplex e-Curve Damansara pada 3 Julai 2020 yang lepas. Filem yang dikatakan sebagai salah sebuah filem paling seram di Taiwan ini menampilkan sebuah kisah lagenda yang biasa didengar iaitu melibatkan seorang pelajar perempuan yang sepatutnya bertemu dengan kekasihnya di jambatan namun telah dirogol oleh pihak yang tidak di kenali sebelum gadis tersebut mengambil keputusan untuk membunuh diri di kawasan tersebut. Sejak kejadian tersebut, pelajar perempuan tersebut dikatakan telah menghantui jambatan itu dimana dikatakan pada waktu tengah malam, sesiapa yang melangkah tangga yang berjumlah 13 anak tangga itu akan tiba-tiba berhadapan dengan langkah ke-14. Sesiapa yang melangkah itu juga disyarakatkan untuk tidak berpaling ke belakang atau mereka akan ditimpa malapetaka. Jadi, kami melihat hal ini berjaya dibangunkan dengan cukup baik di dalam kisah penceritaannya untuk membuatkan penonton lebih dekat dan mudah faham dengan jalan ceritanya yang banyak bermain dengan garis masa yang berlainan.


Kami merasakan kisah serta unsur seram yang terdapat di dalam filem The Bridge Curse ini agak dekat dengan kisah-kisah seram tempatan yang selalu kita dengar terutamanya kisah seram yang melibatkan masyarakat Melayu. Namun, apa yang menariknya pada kami ialah bagaimana filem ini bijak mempotretkan unsur-unsur serta kisah seram ini di dalam bentuk visual dimana kekuatan utama yang dapat kami kenal pasti datangnya daripada pemilihan shot-shot kamera yang cantik serta hasil kerjanya yang kemas. Kesan seram ini semakin dirasai apabila kreativiti yang digunakan pada sudut pengcahayaan berjaya dimaksimumkan dengan cukup hebat sekali menjadikan kebanyakan babak seram yang berlatar belakangkan tandas, bilik tidur serta kawasan luar jambatan berjaya menaikkan bulu roma. Tidak terlalu mengharapkan kejutan daripada kecantikan solekan yang berjaya menggerunkan wajah hantu, kami sangat menyukai apa yang telah dipaparkan di dalam filem ini dari sudut tersebut. 


Namun, kami tidak nafikan filem The Bridge Curse ini agak lambat panas dimana ia mengambil masa yang agak lama sehingga suku filem untuk membuat kami mula berasa teruja, seram dan pada masa yang sama tidak sabar untuk memecahkan tembok kekeliruan serta pertanyaan yang cukup bijak disusun satu persatu dengan memberikan pembayang yang samar-samar sejak permulaan cerita lagi. Formula kisah seramnya sudah selalu kami lihat dimana ia mempertaruhkan kisah seram yang sering berlaku di sekolah serta kawasan sekitarnya yang dikatakan berpuaka. Filem ini gemar menggunakan elemen kejutan yang menyebabkan ketakutan anda mudah melompat keluar melalui reaksi anda. Cuma syukur kerana gaya olahan penceritaannya unik dan lain daripada kebiasaan.


Disebabkan filem The Bridge Curse ini banyak bermain dengan garis masa yang berbeza-beza maka kami melihat terdapat banyak kisah watak-watak utama di dalam filem ini yang menarik tetapi tidak dikembangkan penceritaannya dengan sebaik mungkin. Hal ini dapat dilihat kepada beberapa subplot cerita yang kelihatan agak lompong seperti kisah cinta tiga segi yang tidak diberi penerangan yang menyeluruh, kisah wartawan wanita yang menyiasat kejadian aneh di jambatan tersebut dan juga kisah watak-watak utamanya yang turut tidak diberi penceritaan secara teliti. Penonton hanya melihat penceritaan kisah watak ini pada setiap garis masa yang melibatkan watak-watak tersebut sahaja tanpa tahu kisah-kisah lain yang terjadi pada tahun-tahun sebelumnya. Jadi, kami merasa tidak puas apabila melihat timbulnya pelbagai persoalan yang tiada jawapan buat watak-watak utama ini.


Walau bagaimanapun, filem The Bridge Curse ini berjaya memberikan banyak kejutan pada 20 minit terakhir filem ini yang penuh dengan plot twist yang cukup menarik dan mendebarkan. Jadi, apabila persoalan-persoalan yang kami ikuti sejak awal lagi mula terungkai jawapannya satu persatu di penghujung cerita dimana setiap pembayang yang diberikan mula bergabung antara satu sama lain membuatkan kami cukup puas menonton kesudahan kisah ini yang pada kami cukup menarik dan penuh dengan tipu daya. Secara keseluruhan, filem ini sememangnya menampilkan idea penceritaan yang baik, unsur seram yang dekat dihati dan disampaikan melalui kemahiran teknikal yang cukup baik untuk menjadikan filem ini sememangnya layak digelar sebagai Taiwan's Most Terrifying Movie Ever di negara pengeluarnya.


Jadi, selamat menonton filem seram ngeri The Bridge Curse ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 2 Julai 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan!

Catat Ulasan

3 Ulasan

  1. Welcome back Hans, dah lama sangat tak baca review dari Hans. Next please do Train to Busan Penisula, TQ

    BalasPadam