Filem:
Peninsula
Penilaian:
5/10
Pengarah:
Yeon Sang-Ho
Genre:
Aksi, Seram & Ngeri
Pelakon:
Kang Dong-Won, Lee Jung-Hyun, Lee Re, Kwon Hae-Hyo & Etc.
Pengedar:
GSC Movies
Tarikh Tayangan:
16 Julai 2020
Sinopsis:
Filem ini dimulakan dengan kisah imbas kembali pada kejadian 4 tahun yang lalu sewaktu negara Korea Selatan diserang wabak yang menyebabkan majoriti penduduk Korea berubah menjadi zombi yang ganas. Anggota tentera Jung-seok hampir hilang nyawa ketika berusaha menyelamatkan diri serta keluarganya sebelum satu kejadian menyayat berlaku dan mengubah dirinya yang kini hidup sengsara di Hong Kong. Dia kemudiannya telah menerima satu tawaran untuk kembali ke kawasan semenanjung Korea iaitu Peninsula yang dikuarantin untuk menyertai misi mengambil trak terbengkalai di tengah-tengah Seoul. Dia perlu menjalankan operasi rahsia itu dalam tempoh yang singkat dan menyelamatkan diri secara senyap-senyap selepas berjaya. Ketika memasuki zon yang dijangkiti, dia dan kumpulannya bukan hanya berdepan zombi-zombi ganas tetapi juga menemui kumpulan manusia yang terselamat. Misi mereka terganggu apabila mereka diserang unit tentera misteri Unit 631. Jung-seok diselamatkan oleh seorang wanita bernama Min-jung ketika dia berada dalam keadaan terdesak dan kini dia perlu mencari jalan untuk menyelamatkan diri dari kawasan itu. Apa seterusnya yang berlaku? Saksikan filem aksi ngeri ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 16 Julai 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem dari Korea Selatan yang dinanti-nanti ramai iaitu Peninsula bertempat di GSC IOI Puchong pada 15 Julai 2020 yang lepas. Filem ini mengambil latar belakang yang sama seperti mana filem Train To Busan cuma kisah serta watak-wataknya sahaja yang 100 peratus berubah. Semuanya menampilkan kisah individu-individu yang baru dan memaparkan kejadian yang berlaku selepas 4 tahun negara Korea Selatan diserang wabak zombi dan dikuarantin daripada negara-negara jirannya.
Namun, filem Peninsula ini bukan sekadar menampilkan perbezaan daripada sudut kisah watak-wataknya sahaja. Filem ini juga memberikan kesan yang berbeza kepada kami yang menonton filem ini pada tayangan awal tadi. Kami melihat filem ini sangat jauh beza impaknya jika dibandingkan dengan filem Train To Busan yang dibikin dengan penuh cermat, teliti dan jelas hala tujunya. Jika filem Train To Busan berjaya membuatkan kami jatuh cinta dengan pelbagai karakter utama, pembantu mahu pun sampingan dimana kisah setiap karakternya walaupun berbeza pada permulaan namun ianya dapat dijalinkan bersama dan menyokong kuat antara sama lain. Namun, hal ini dilihat sangat berbeza di dalam filem Peninsula dimana pembinaan karakter serta perkembangan kisah watak-wataknya bukan sahaja tidak jelas, kusut-masai tetapi ia terlihat seperti dihasilkan tanpa ada sebarang hala tuju yang jelas sehinggakan kami sendiri merasa pelik melihat kewujudan beberapa watak yang tidak menyokong antara satu sama lain dan dilihat langsung tidak berkepentingan.
Jika filem Train To Busan menampilkan adegan-adegan serangan Zombi pada waktu siang di lokasi-lokasi yang biasa dengan persekitaran kita sehingga mampu membuat kami sendiri berasa gerun dan berimaginasi bagaimana sekiranya kami sendiri berada di dalam situasi seperti berikut. Tetapi, filem Peninsula pula cuba menampilkan perbezaan yang sangat ketara dimana hampir lebih 85 peratus aksi serangan zombi dipaparkan pada waktu malam. Masalah utama disini ialah apabila terlihat beberapa imej zombi ini yang kelihatan terlalu animasi terutamanya apabila melibatkan babak kejar-mengejar atau berlanggar dengan kenderaan yang dipandu laju. Perasaan cemas yang kami rasai sewaktu menonton Train To Busan tidak dapat diulangi sewaktu menonton filem Peninsula ini. Sayang seribu kali sayang.
Namun, tidak dapat dinafikan filem Peninsula ini mempunyai kekuatan daripada dua faktor utama iaitu emosi para pelakon serta babak-babak aksinya yang boleh dikatakan sebagai penyelamat utama kepada filem ini. Tidak dinafikan pelakon-pelakon yang terlibat di dalam filem ini berjaya menzahirkan emosi mereka di dalam babak-babak penting dengan cukup baik namun sayangnya kerana plot penceritaannya dilihat lompong dan kurang kuat untuk memberi impak. Berkenaan babak aksinya pula sememangnya tidak dapat dinafikan memang padat dan mampu menaikkan tahap adrenalin anda. Cuma kami melihat impak yang terlalu melebih-lebih sehingga menghilangkan wajah sebenar filem Korea yang kita tonton sebelum ini dan seolah-olah seperti terlalu berkiblatkan kepada filem-filem Hollywood pula.
Walau bagaimanapun, ada satu perkara yang sangat menganggu jiwa raga kami sewaktu menonton filem ini yang kami namakan sebagai 'adegan sinetron' dimana ianya boleh ditonton di dalam dua atau tiga adegan. Jika anda rimas menonton sinetron daripada Indonesia atau India yang memaparkan adegan genting tetapi lambat ditamatkan maka kami percaya anda akan merasai perkara yang sama sewaktu menonton adegan-adegan yang kami maksudkan ini. Kami sendiri tidak pasti kerana terlalu berbeza sangat naskah kali ini jika dibandingkan dengan filem Train To Busan. Segala-galanya serba tidak dikena daripada penulisan kisahnya yang dilihat malas serta motif utama cerita yang langsung tidak kuat. Hakikatnya, filem Peninsula ini bukan sekadar tenggelam tetapi terus tertanam di dalam magma bumi disebabkan faktor-faktor yang kami sebutkan ini. Namun, pada akhirnya ia berbalik kepada citarasa masing-masing. Jika anda menyukai aksi dan zombi maka ini adalah filem yang anda pasti akan suka untuk tonton. Jika anda mengharapkan filem ini lebih berjaya berbanding Train To Busan maka kami menasihatkan anda untuk tidak meletakkan harapan terlalu tinggi atau anda mungkin akan kecewa seperti kami.
Jadi, selamat menonton filem aksi, seram dan ngeri iaitu Peninsula ini di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 16 Julai 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Apa Pula Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas? Nantikan!
9 Ulasan
akak ni filem train tu busan pun tak tengok, peninsula ini lagilah... drama the walking dead tu lah paling akka benci, senan cite tak minat filem yang ada zombie kecuali zombie kampung pisang hehehe
BalasPadamhahaha
Padamzombi lah best
darah2..lari2
hehehe
sama la ngan Norhidana, takuttt...cita train to busan pun x layan walaupun memang minat cita korea. he he he..bab hantu, zombi ni..sory naik lory le.
BalasPadamhahahaha
Padamrugi lah tak tengok filem zombi
layan owhhh
alamak macam x best je hehehehhee.. tp skrg sy pon takut nak pi tgok wayang
BalasPadamTrain To Busan best kalau ikut pandangan Hans lah
Padampergi lah tengok dan nilai sendiri :)
Salam, blogwalking here. GV pun dah tgk movie ini. GV suka part elemen suprise ending tu. hihi.
BalasPadamCerita train to busan lebih menarik kerana jalan ceritanya tersusun mudah di fahami suasana waktu siang lebih jelas dilihat serangan² zombie..lebih ada perasan takut..berbanding siri baru ini agak tidak tersusun jalan ceritanya serta misinya tidak jelas..kurang bermain dgn perasan..tidak merasa takut sgt..cuma pelakun² berjaya dlm setiap lakunan mereka..sy sgt setuju train to busan lebih menarik..
BalasPadamBagi sy Train to busan lebih menarik dan tersuaun jalan ceritanya..suasana diwaktu siang juga sesuai..dn kita ada perasaan takut..berbeza dgn peninsula yg agak berserabut jalan ceritanya..situasi waktu mlm berpanjangan menyebabkan agak membosankan..
BalasPadam