Review Filem Jodoh Syaitan


Filem:
Jodoh Syaitan

Penilaian:
4/10

Pengarah:
Ismail Bob Hasim

Genre:
Komedi & Seram

Pelakon:
Soffi Jikan, Aprena Manrose, Abam, Jay Iswazir, Kamarul Yusoff, Fauziah Nawi & Etc.

Pengedar:
Empire Film Solution

Tarikh Tayangan:
5 Mac 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Megat yang sering gagal dalam hubungan percintaan. Megat akhirnya membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya selepasnya ibunya berhajat untuk mengahwinkannya dengan seorang gadis bernama Mawar. Pada masa yang sama, dua rakannya iaitu Awang dan Kulup sedang mencari mayat untuk dipaku. Mereka telah diarahkan oleh Tok Chai dengan harapan mayat itu akan hidup semula untuk dijadikan isterinya. Masalah mula timbul apabila wanita yang ingin dijodohkan oleh ibu Megat kepadanya merupakan pontianak yang telah dipaku oleh Tok Chai sebelum ini. Mampukah Awang dan Kulup menghalang perkahwinan Megat? Adakah Megat akan berkahwin dengan Mawar? Saksikan filem komedi seram tempatan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 5 Mac 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem tempatan terbaru berjudul Jodoh Syaitan bertempat di MMCineplex eCurve Mutiara Damansara pada 9 Mac 2020 yang lepas. Mempertaruhkan genre komedi seram, filem tempatan terbaru ini seakan-akan membawa kita kembali ke era kemegahan syarikat penerbitan Metrowealth suatu ketika dahulu yang gemar menghasilkan filem seram komedi sebegini dan ianya mendapat sambutan yang cukup hebat oleh penonton tempatan pada waktu tersebut. Masih mengekalkan kisah serta ciri-ciri hantu pontianak yang sudah kerap kali difilemkan, apa yang kami boleh nyatakan ialah keseluruhan plot filem ini sudah boleh dijangka dan tiada sebarang kejutan daripada sudut tersebut. Jodoh Syaitan ini lebih bersifat sebagai sebuah filem seram komersial yang ditonton kerana pengaruh pelakonnya serta elemen humor yang boleh dikatakan menjadi.


Filem Jodoh Syaitan ini membawakan sebuah kisah yang ringan berkaitan dengan lelaki bernama Megat yang sering ditolak cintanya atas sebab rupa dan juga kewangannya yang tidak stabil. Megat akhirnya pulang ke kampung atas desakan ibunya yang ingin menjodohkannya dengan seorang wanita bernama Mawar yang sudah tiga bulan tinggal bersama ibunya. Perkembangan kisah watak-watak utama yang lemah serta kelompongan cerita yang sangat besar terutamanya yang berkaitan dengan watak Mawar serta ibu Megat sudah memberi gambaran awal bahawa filem ini sememangnya tidak kuat dari sudut penceritaan dan penyampaiannya. Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi berkaitan susunan penceritaannya kerana anda akan kecewa jika inginkan sebuah kronologi cerita yang baik daripada filem ini. Filem ini sememangnya dihasilkan dengan mementingkan elemen humor berbanding jalan cerita yang kuat. Jadi, jangan terkejut kalau anda kecewa menonton tindakan-tindakan pelik yang diambil oleh watak-watak yang berada di dalam filem ini di dalam membawa kita menonton babak-babak seterusnya yang sememangnya tidak berasas dan boleh disifatkan lemah.


Namun, tidak dinafikan filem Jodoh Syaitan ini mempunyai kekuatan tersendiri dari segi susunan dialog-dialog yang boleh dikatakan kelakar. Sebahagian komedinya menjadi dan ianya datang daripada kehebatan semula jadi bintang-bintang utama filem ini seperti Sofi Jikan, Allahyarham Abam Bocey, Jay Iswazir, Fauziah Nawi dan Kamarul Yusoff. Setiap daripada mereka mempunyai identiti tersendiri yang unik dan bakat mereka berjaya dimanfaatkan dengan cukup baik di dalam filem ini. Olahan cerita yang digabungkan dengan sisi lucu watak-watak yang dilakonkan oleh nama-nama hebat ini sentiasa membuatkan anda terhibur sepanjang menonton filem Jodoh Syaitan ini. Cuma kami melihat persembahan lakonan yang diberikan oleh pelakon Aprena Manrose yang membawakan watak sebagai Mawar agak kaku dan kurang memberi impak kepada momentum filem komedi seram ini.


Secara keseluruhannya, filem Jodoh Syaitan ini berbaloi untuk ditonton jika anda menyukai filem komedi seram yang ringan, santai dan kelihatan spontan daripada para pelakonnya yang hebat di dalam kategori masing-masing. Namun, jika anda ingin menikmati sebuah filem seram yang lain daripada kebiasaan maka filem ini bukanlah sebuah filem yang mempunyai ciri-ciri segar idaman anda. Ianya hanya sebuah filem komersial yang dihasilkan untuk menghiburkan anda dan tidak lebih dari itu.


Jadi, selamat menonton filem Jodoh Syaitan di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 5 Mac 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Tempatan Berjudul Roh. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. masa baca tajuk tu akak ingat filem indonesia, tapi sayang lah kalau filemnya di buat macam tak kuat macam cincai je... sayang sebab ada pelakon hebat macam sofi jikan dan fauziah nawi...

    BalasPadam
  2. alamak siket sangat rating diberi tu hehe

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum. bila dah tua2 ni,jarang sgt dah SS tengok citer2 mcm ni.. cepat rasa semput nk sakit dada, hehehe faktor usia, kan.

    BalasPadam
  4. mcam xbest je... XD
    singgah sini... done follow :D

    BalasPadam