Filem:
Guns Akimbo
Penilaian:
6/10
Pengarah:
Jason Lei Howden
Genre:
Aksi & Komedi
Pelakon:
Daniel Radcliffe, Natasha Liu Bordizzo, Samara Weaving, Mark Rowley & Etc.
Pengedar:
TGV Pictures
Tarikh Tayangan:
5 Mac 2020
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Miles yang merupakan seorang pembuat permainan video yang gemar membuat `kacau` di internet. Miles telah mengkritik hebat penyiaran pertandingan pertarungan maut haram oleh sebuah kelab yang dipanggil Skizm ketika mabuk. Pertandingan itu disiarkan secara langsung kepada jutaan penonton yang gemar menyaksikan orang yang tidak dikenali bertarung sehingga mati. Kritikan itu telah mencetuskan kemarahan Riktor, dalang di sebalik pertandingan tersebut yang kemudiannya mahukan Miles terlibat sebagai salah seorang peserta pertandingan tersebut. Mimpi ngeri Miles menjadi kenyataan apabila dia terbangun dan mendapati senjata berat dipasang di tulangnya. Kini dia perlu berdepan dengan lawan pertamanya iaitu pembunuh bernama Nix yang dikenali sebagai jaguh yang tidak pernah tewas sebelum ini. Miles berjaya melarikan diri daripada Nix tetapi apabila Nova bekas kekasih yang masih disayanginya telah diculik oleh Riktor, dia perlu berhenti melarikan diri dan bertarung demi menyelamatkan wanita itu. Saksikan filem yang penuh dengan aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 5 Mac 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Hollywood yang penuh dengan aksi serta komedi yang boleh dikatakan agak menghiburkan iaitu Guns Akimbo bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 8 Mac 2020 yang lepas. Kami agak menyukai konsep cerita yang diguna pakai di dalam penceritaan filem ini dimana ia sebenarnya mengangkat isu-isu semasa yang melanda masyarakat di seluruh dunia baik golongan dewasa, remaja mahu pun kanak-kanak terutama apabila ia berkaitan dengan dunia teknologi yang semakin hari semakin canggih dan sukar dijangka kesan serta pengaruhnya terhadap kehidupan seharian.
Filem Guns Akimbo ini akan membawa anda melihat kegilaan masyarakat terhadap realiti keganasan yang berlaku pada masa kini baik di sekolah, tempat kerja, restoran mahu pun jalan raya yang mana semakin hari ia dianggap sebagai sebuah perkara yang normal sehingga menjadi satu kebiasaan walaupun hakikat sebenar ianya tidak boleh dipandang enteng. Selain itu juga, filem ini memaparkan personaliti wira papan kekunci atau 'keyboard warrior' saat mereka menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara dengan lantang dan terbuka tanpa mengambil kira kesan dan akibatkan kepada diri mereka di kemudian hari. Jadi, cuba anda bayangkan apabila anda sebagai seorang manusia yang tidak sukakan keganasan tiba-tiba dipaksa untuk menjadi ganas dan membunuh oleh golongan gila yang tidak mempunyai rasa empati terhadap manusia. Lebih menakutkan apabila anda sedar daripada tidur dan mendapati kedua-dua tangan anda dipaku dengan senjata api. Seterusnya anda perlu berjuang untuk menentang musuh yang sememangnya cukup hebat atau anda akan mati dalam masa yang cepat atau lambat jika anda tidak berhati-hati atau bersikap sambil lewa. Kegilaan yang cuba dijual inilah sebenarnya yang membuatkan filem ini kelihatan menarik walaupun pada zahirnya filem ini hanya memaparkan perjalanan watak utamanya iaitu Miles yang perlu bertahan dan berusaha untuk hidup daripada mati tersebut di dalam permainan maut yang dianjurkan oleh Skizm.
Kami melihat keistimewaan filem Guns Akimbo ini datangnya daripada hasil kerja kameranya yang menarik, unik dan versatil dimana pergerakan kamera yang bersifat akrobatik ini dilihat cukup meyakinkan dan menjadikan adegan-adegannya kelihatan lain daripada kebiasaan. Dibantu oleh skor muzik yang kena dengan setiap situasi menjadikan kami sebagai penonton rasa terhibur dan kagum dengan setiap babak-babak penting di dalam filem ini terutamanya yang melibatkan adegan-adegan pertarungan, tembakan, kejar-mengejar serta pembunuhan yang dilihat bersifat dramatik dan menepati elemen permainan video yang diharapkan oleh kami. Kehebatan sinematografi dan gabungan teknik imej janaan komputer (CGI) juga menyerlahkan lagi filem ini untuk dilihat sebagai sebuah filem yang bertemakan permainan video yang cukup mengujakan.
Kami juga melihat pemilihan dua pelakon utama iaitu Daniel Radcliffe dan Samara Weaving adalah pilihan yang tepat untuk membentuk keseluruhan filem Guns Akimbo ini kepada sebuah filem yang bertepatan dengan temanya. Daniel Radcliffe sememangnya memberikan persembahan diluar jangkaan di dalam filem ini untuk watak Miles dimana pemerhatian kami melihat Daniel berjaya memberikan satu persembahan yang punya roh dan kena dengan karakter Miles yang skema, penakut dan keliru dengan apa yang terjadi kepada dirinya. Begitu juga dengan pelakon Samara Weaving yang berjaya mencuri perhatian kami dan penonton lain dengan watak yang dipegangnya iaitu Nix yang betul-betul ganas, hati kering dan sukar dijangka tindakannya. Gabungan Daniel dan Samara ini dilihat mempunyai keserasian yang cukup baik sehinggakan kedua-duanya sering kali berjaya memberi penyudah komedi yang klimaks dan menghiburkan di dalam adegan-adegan yang mempertemukan mereka berdua. Sayangnya watak antagonis Riktor pula dilihat gagal memberi impak yang sepatutnya di dalam keseluruhan filem ini dimana kami melihat watak ini tenggelam dengan kehebatan dua watak utama filem ini yang sememangnya BADASS!
Namun, kami harus nyatakan plot penceritaan filem Guns Akimbo ini sedikit lemah dimana tidak ada pencerahan yang jelas terhadap banyak perkara dan hampir separuh penceritaannya dipaparkan dalam keadaan tergesa-gesa sehingga menyebabkan beberapa perkara yang lompong dan gagal memberi impak yang terbaik dari sudut penceritaan. Tetapi, berita baiknya ia berjaya diselamatkan oleh permainan kamera, unsur humor serta adegan aksi yang boleh dikatakan menjadi dan menghiburkan untuk ditonton. Secara keseluruhan, kami merasakan filem ini masih berbaloi untuk anda tonton terutama buat mereka yang menggemari kisah permainan video yang diangkat ke dalam dunia realiti manusia seperti filem ini.
Jadi, selamat menonton filem Guns Akimbo di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 5 Mac 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Komedi Tempatan Berjudul Jodoh Syaitan. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan