Review Filem Baaghi 3


Filem:
Baaghi 3

Penilaian:
6/10

Pengarah:
Ahmed Khan

Genre:
Aksi

Pelakon:
Tiger Shroff, Ritesh Deshmukh, Shraddha Kapoor & Etc.

Pengedar:
Antenna Entertainments

Tarikh Tayangan:
6 Mac 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Ronnie yang merupakan adik lelaki kepada Vikram. Ronnie telah berjanji dengan mendiang ayah mereka bahawa dia akan sentiasa melindungi Vikram daripada sebarang ancaman bahaya. Atas nasihat Ronnie, Vikram akhirnya menerima tawaran untuk menjadi seorang inspektor polis walaupun dirinya bukan lah seorang yang berani. Namun, atas bantuan Ronnie yang sentiasa membantu Vikram menumpaskan dan menangkap penjenayah membuatkan Ronnie disanjung tinggi dan dinaikkan pangkat. Masalah mula timbul apabila Vikram diberi tugasan ke Syria untuk mencari maklumat tentang pengganas yang dikehendaki dunia iaitu Abu Jalal dimana Vikram telah diculik sewaktu berada di negara tersebut. Kini, Ronnie perlu menyelamatkan abangnya dan pada masa yang tidak mengingkari janji yang telah dilafazkan kepada ayah mereka sebelum ini. Mampukah Ronnie menyelamatkan Vikram hidup-hidup atau adakah Vikram akan terkorban? Saksikan filem yang penuh dengan aksi diluar jangkaan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 6 Mac 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang penuh dengan aksi yang menarik serta terlalu hiperbola dan berlebih-lebihan iaitu Baaghi 3 bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 8 Mac 2020 yang lepas. Pada asalnya pihak kami dijemput oleh syarikat pengedar filem ini iaitu Antenna Entertainments untuk menonton filem ini sempena Tayangan Untuk Peminat Dan Media pada hari Jumaat malam bersamaan 6 Mac 2020. Namun disebabkan tuntutan kerja yang tidak mengizinkan maka kami mengambil keputusan untuk menonton sendiri filem ini. Hasilnya ialah filem ini memberikan kami rasa yang bercampur baur namun secara keseluruhannya filem ini sememangnya menghiburkan.


Perjalanan kisah filem aksi Baaghi 3 ini pada kami sangat mudah dimana ia memaparkan kisah dua adik beradik dimana si abang merupakan seorang yang lemah dan terlalu bergantung kepada si adik yang sangat gagah dan berani sejak dari kecil lagi. Apabila latar filem ini berganjak ke masa hadapan dimana ia membawa kami untuk melihat pula tahap dewasa watak Ronnie dan Vikram ini dengan lebih jelas. Kami melihat perkembangan plot ceritanya lebih bersifat komersial dimana selain tidak melupakan elemen wajib filem Bollywood yang gemar bermain dengan nilai-nilai murni kekeluargaan, kisahnya juga turut disuntik dengan elemen humor, cinta dan semestinya perkara wajib dan utama di dalam ini iaitu aksi.


Namun, kami melihat keserasian watak adik-beradik ini di dalam filem Baaghi 3 tidak mencapai titik puncak paling utama kerana ia seakan-akan terhalang oleh satu dinding yang membuatkan bahagian pertama filem ini kurang cemerlang di dalam menyampaikan hubungan mesra dan erat antara watak Ronnie dan Vikram ini. Pelakon utama iaitu Tiger Shroff tiada masalah di dalam menghidupkan watak Ronnie namun pelakon Ritesh Deshmukh pula dilihat agak berhempas pulas untuk memastikan watak Vikram ini selari dengan apa yang disampaikan sewaktu babak imbas kembali mereka sewaktu kecil. Namun, harus diakui Ritesh Deshmukh agak cemerlang dari sudut humor di dalam filem ini berbanding Tiger Shroff yang dilihat lebih kuat ke arah babak-babak aksi yang sukar dijangka kegilaannya. Filem Baaghi 3 ini masih tidak dapat lari dalam memaparkan penjenayah serta pengganasnya yang diketuai oleh mereka yang beragama Islam cuma ianya bijak ditutup dengan babak-babak berkaitan dengan 'adik-beradik' atau 'kami serumpun' apabila ia melibatkan watak-watak daripada India dan Pakistan. Dari segi jalan cerita, kami boleh simpulkan ini hanyalah sebuah lagi filem komersial dari industri Bollywood. Jadi, tidak hairan jika dilihat terdapat banyak babak yang tiada kesinambungan atau kurang dititik beratkan sehingga menyebabkan ia kelihatan tergesa-gesa atau sedikit lompong pada beberapa bahagian. 


Namun, filem Baaghi 3 ini mempunyai keunikan tersendiri dari sudut aksinya yang memberikan kekuatan dan kelemahan buat filem ini. Tiger Shroff sememangnya tidak pernah menghampakan jika anda melihat kepada babak-babak aksi yang dilakukannya. Koreografi aksi yang disusun dengan baik dan dibantu sendiri oleh persembahan dan penjiwaan hebat oleh susuk tubuh Tiger ini menjadikan setiap babak aksi sememangnya menjadi miliknya seratus peratus dan sangat meyakinkan. Namun, pada masa yang sama elemen aksi yang terlalu hiperbola sehingga tahap merepeknya berada di langit yang ketujuh sememangnya memberikan dua perasaan yang berbeza kepada kami. Perasaan pertama ialah kami tertarik dengan babak-babak aksinya yang disusun, dikoreograf dan dihasilkan dengan cukup cantik, kemas dan semestinya menghiburkan kami. Perasaan kedua ialah kami sebenarnya agak hampa apabila melihat ada beberapa babak aksi yang kelihatan tiada keaslian apabila mengingatkan kami kepada beberapa filem adiwira seperti Captain America misalnya. Kami tidak kisah sangat tentang elemen aksi yang bersifat hiperbola melampau kerana ianya adalah satu bentuk hiburan yang menjadi apabila ianya datang daripada filem-filem Bollywood cuma apabila melihat tiada keaslian sejati maka ianya agak mengecewakan daripada sudut tersebut. Secara keseluruhannya, Baaghi 3 sebagai sebuah filem aksi hiperbola komersial sememangnya berjaya menghiburkan kami dan memberikan satu kepuasan maksimum yang sukar diperoleh daripada mana-mana filem aksi Hollywood yang ditonton setakat ini.


Jadi, selamat menonton filem Baaghi 3 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 6 Mac 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Komedi Berjudul Guns Akimbo. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan