Review Filem Onward


Filem:
Onward

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Dan Scanlon

Genre:
Animasi

Pelakon:
Tom Holland, Chris Pratt, Julia Louis-Dreyfus, Octavia Spencer & Etc.

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
5 Mac 2020

Sinopsis:
Filem animasi ini mengisahkan Ian dan Barley Lightfoot yang merupakan adik beradik bunian dan tinggal di pinggir bandar sebuah dunia fantasi dimana manusia tidak wujud. Sebaliknya ia didiami oleh makhluk seperti bunian, troll, ikan duyung dan pelbagai lagi. Suatu hari, kedua-dua remaja itu memulakan pengembaraan demi meneroka jika masih ada lagi kuasa magik di dunia. Mereka berharap untuk menggunakan kuasa magik bagi meluangkan masa sehari bersama bapa mereka yang meninggal ketika mereka masih kecil. Apabila Ian secara tidak sengaja menghidupkan semula bapa mereka menggunakan satu sihir, hanya bahagian bawah badan bapa mereka sahaja yang muncul. Memandangkan sihir itu hanya bertahan selama 24 jam, mereka perlu mencari jalan untuk mengembalikan bahagian atas badan bapa mereka sebelum terlambat. Saksikan filem animasi yang menghiburkan dan penuh dengan elemen kekeluargaan ini ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 5 Mac 2020 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak Walt Disney Pictures untuk menghadiri tayangan filem animasi terbaru berjudul Onward yang berlangsung dengan meriahnya di MBO Atria pada 4 Mac 2020 yang lepas. Usai menonton, kami boleh nyatakan bahawa filem ini berjaya dibina dengan baik dari sudut naratif penceritaannya yang mana ia banyak bermain dengan elemen kekeluargaan serta humor yang sentiasa berjaya menggeletek dan menyentuh hati kami dengan cukup baik.


Filem Onward membawa kami sebagai penonton untuk melihat perjalanan kisah serta perkembangan watak seorang remaja bernama Ian yang membesar tanpa seorang ayah kerana ayahnya telah meninggal dunia sewaktu dirinya masih kecil. Jadi, plot penceritaan yang diperkembangkan dengan cukup baik berjaya membantu kami untuk melihat bagaimana watak Ian ini merasakan dirinya sangat kekurangan, berbeza dengan rakannya yang lain dan sentiasa merasa rendah diri di dalam segala perkara yang dilakukannya. Lebih menyedihkan apabila Ian sendiri merasa tidak selesa dengan sikap abangnya yang dilihat tiada masa depan, aneh berbanding orang lain dan sentiasa membuatkan dirinya berasa malu dengan rakan-rakannya. Jadi, ianya sesuatu yang sangat menarik apabila kisah filem ini membawa kami untuk melihat keterujaan Ian saat berpeluang untuk bertemu dengan ayahnya dalam masa 24 jam seperti mana yang telah dinantinya sejak sekian lama. Namun, ianya menjadi semakin mengujakan apabila Ian perlu terlebih dahulu menyempurnakan sihir yang ditulis dan dilukis oleh ayahnya untuk menjelmakan ayahnya semula tetapi pada masa yang perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang menantinya sepanjang perjalanan menghidupkan kembali ayahnya dalam masa 24 jam. 


Jadi, kekuatan utama filem Onward ini dapat dilihat kepada elemen kasih sayang serta kekeluargaan yang melatari hampir keseluruhan filem ini terutamanya yang melibatkan watak Ian. Gabungan beberapa props yang menjadi subteks kepada perasaan Ian seperti bingkai gambar keluarga Ian sahaja sudah cukup untuk membuatkan kami bersimpati dengan watak ini. Bingkai gambar ini membawa pelbagai rasa di dalam momen-momen tertentu Ian saat dirinya melihat tidak ada satu pun gambarnya yang terpahat bersama bapanya di dalam mana-mana gambar yang terdapat di dalam bingkai yang tergantung di dinding. Bijak bermain dengan emosi penonton, filem ini juga menambah kesan rasa tersebut dengan memaparkan adegan suara ayah Ian melalui kaset yang menjadi peneman imaginasi Ian seolah-olah dirinya sedang berbicara dengan ayahnya. Mesej sebegini dilihat cukup kuat untuk membuatkan kami atau sesiapa sahaja yang menonton untuk lebih menghargai dan menyayangi insan yang bergelar ayah, abah, papa, bapa, baba dan daddy. Jadi, apabila kami melihat keinginan meluap-luap Ian yang ingin sangat bertemu bapanya sambil perlu mengira masa yang masih ada pada jam tangannya sahaja sudah cukup untuk membuatkan filem ini berjaya menjentik hati sesiapa sahaja terutama buat mereka yang rapat dengan bapa masing-masing.


Filem Onward juga dilihat berjaya memaparkan keserasian Tom Holland dan Chris Pratt yang menyumbang suara serta emosi yang cukup baik kepada watak utama adik beradik iaitu Ian dan Barley di dalam Onward ini. Banyak konflik yang berlaku antara dua watak ini yang berjaya mengubah persepsi kami terhadap filem ini ke tahap yang cukup positif dimana masalah yang berlaku terhadap hubungan dua adik-beradik ini sentiasa berjaya memberikan kejutan yang penuh makna kepada tontonan kami. Pada kami, segala plot twist yang cuba dilakukan sememangnya berjaya menyampaikan sesuatu yang cukup baik dan mendalam terutama dari sudut subteks yang sangat berbekas di hati kami. Kami juga melihat filem ini mempunyai kekuatan tersendiri dari sudut humor dimana banyak adegan humor yang dilihat menarik. Hampir semua adegan lucunya menjadi dan cukup memberi impak kepada para penonton yang sentiasa ketawa dan terhibur dengan gelagat setiap watak utama dan pembantu sepanjang filem ini berlangsung. Setiap unsur komedi ini juga dilihat sangat bersesuaian dengan semua golongan penonton dan sememangnya bertepatan dengan sasaran penonton mereka iaitu golongan kanak-kanak yang menonton filem animasi ini. 


Walaupun 10 minit permulaan filem ini agak perlahan namun kami boleh nyatakan filem Onward mempunyai segala yang anda inginkan di dalam filem animasi yang bertemakan kekeluargaan dan penuh dengan elemen komedi ini. Masih tidak mampu menyaingi kehebatan filem animasi Coco yang lebih memberi impak tetapi kami yakin filem ini sangat berbaloi untuk anda tonton di pawagam bersama anak-anak mahu pun seisi keluarga terutama pada 10 minit terakhir. Kami yakin momen paling kuat dan cukup beremosi di dalam filem ini ada pada bahagian 10 minit terakhir tersebut yang mampu membuatkan majoriti penonton berasa sebak dan terharu dengan pengakhirannya yang penuh bermakna.


Jadi, selamat menonton filem Onward di pawagam berdekatan anda pada 5 Mac 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Aksi Bollywood Berjudul Baaghi 3. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Assalamualaikum. Bagus cerita ini. Dah ada di Malaysia ke?

    BalasPadam
  2. saya suka, movie kartun seperti ini, walau kami sudah menikah hehehe but no problem

    BalasPadam