Filem:
The Invisible Man
Penilaian:
8/10
Pengarah:
Leigh Whannell
Genre:
Ngeri
Pelakon:
Elisabeth Moss, Oliver Jackson-Cohen, Aldis Hodge, Storm Reid, Harriet Dyer & Etc.
Pengedar:
United International Pictures
Tarikh Tayangan:
5 Mac 2020
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang wanita bernama Cecilia Kass. Dengan bantuan adiknya serta rakan mereka sejak kecil, Cecilia berjaya menyembunyikan diri daripada teman lelakinya yang merupakan seorang saintis kaya dan bijak namun kuat mengongkong dan bersikap kasar. Cecilia cuba mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik selepas berpisah dengan teman lelakinya itu. Lelaki itu kemudiannya membunuh diri dan meninggalkan sebahagian besar hartanya kepada Cecilia. Bagaimanapun, dia mula mengesyaki bahawa lelaki itu sebenarnya masih hidup berikutan berlakunya kejadian-kejadian menakutkan sehingga mengancam nyawa orang-orang yang dia sayangi. Dia kini perlu membuktikan bahawa dirinya diburu seseorang yang tidak boleh dilihat. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 5 Mac 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem yang cukup menarik berjudul The Invisible Man bertempat di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 2 Mac 2020 yang lepas. Filem ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Cecilia yang mengalami masalah trauma disebabkan hubungannya dengan seorang lelaki yang suka mengongkong dan mendera dirinya secara psikologi dan memberi kesan terhadap mental wanita tersebut. Keseraman yang diwujudkan dengan gaya yang tersendiri boleh dikatakan berjaya disampaikan dengan cara yang unik dan tersendiri. Tetapi, menariknya ialah kaedah yang diguna pakai dengan mengeksploitasikan perasaan trauma watak Cecilia yang berada di dalam fasa pemulihan berbeza ini berjaya menjadikan filem ini lain daripada kebiasaan filem-filem bergenre ngeri yang sudah sedia ada sebelum ini.
Kekuatan emosi yang dipamerkan oleh watak protagonis utama filem The Invisible Man ini dilihat berjaya memberi jawapan kepada gambaran kurang jelas berkenaan perwatakan watak antagonis utama filem ini yang sebenarnya sengaja dicipta sedemikian untuk memberikan satu kejutan yang menarik buat sesiapa yang menonton filem ini. Ketakutan watak Cecilia yang mencetuskan trauma yang bukannya sedikit ini berjaya memberi kesan kepada psikologi kami sendiri yang menonton dimana kami dapat merasa ketakutan, kekeliruan dan kekecewaan watak Cecilia ini yang berada pada satu tahap yang sukar untuk kami sendiri hadapi jika berada di tempat atau situasi yang dihadapi oleh watak malang ini. Lebih menarik setiap babak penceritaannya berjalan dengan cukup pantas dengan isi yang padat sehingga sentiasa berjaya membuatkan kami sukar untuk menjangka apa yang berlaku pada adegan-adegan seterusnya. Ini adalah satu cara menarik yang diguna pakai di dalam menggerakkan plot filem bergenre ngeri sebegini dan kami menyukai bagaimana hasil akhirnya dipaparkan di layar perak.
Filem The Invisible Man juga dilihat berjaya bermain sepenuhnya dengan hasil kerja kamera yang mana teknik-teknik yang diguna pakai dilihat berjaya membantu mencantikkan lagi adegan-adegan yang dihasilkan untuk menaikkan keseraman kami yang menonton. Siapa sahaja tidak jatuh cinta dengan filem ngeri sebegini disaat adegan-adegan menarik seperti pisau bergerak, kebakaran dapur, hembusan nafas serta pintu terbuka berjaya digerakkan dengan suntikan elemen misteri serta seram yang begitu menjadi. Ianya berjaya menjadikan filem ini berada di dalam kelasnya tersendiri dimana ketakutan serta perkara gila yang dirasai dan dihadapi oleh watak Cecilia ini berjaya disalurkan kepada pemikiran kami dengan serta-merta. Ianya adalah satu hasil kerja yang sangat memberi impak dan cukup membuatkan kami merasa puas sepanjang tontonan kami terhadap filem menarik ini.
Filem The Invisible Man ini tidak dinafikan berjaya menarik perhatian kami disebabkan persembahan serta penjiwaan hebat pelakon Elisabeth Moss di dalam menghidupkan watak Cecilia dengan kekuatan dan permainan emosi yang cukup luar biasa serta begitu memberi kesan kepada keseluruhan penceritaan filem ini. Rasa ketakutan dan kebimbangan yang perlu dihadapi oleh watak wanita ini dilihat turut sama berjaya disalurkan ke dalam jiwa kami sebagai penonton untuk turut merasai perasan wanita yang berkecamuk. Menyampaikan ketakutan watak melalui permainan emosi serta hasil kerja kamera yang cantik adalah keistimewaan utama filem ini. Memaparkan masalah trauma yang dihadapi oleh wanita yang terseksa dan menderita akibat masalah obses seorang lelaki yang tidak waras fikirannya juga dilihat menyatu dengan baik. Secara keseluruhannya, kami melihat pembangunan watak Cecilia ini berjaya dinaikkan satu persatu dan dibantu dengan permainan plot yang tidak dijangka menjadikan filem The Invisible Man sebagai sebuah filem yang mempunyai keunikan tersendiri untuk menarik perhatian penonton dan seterusnya membuatkan ianya diterima dengan hati yang cukup gembira buat mereka yang menyukai filem bergenre seram dan ngeri seperti ini.
Jadi, selamat menonton filem The Invisible Man di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 2 Mac 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Animasi Berjudul ?. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan