Review Filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan

 

Filem:
Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Syamsul Yusof

Genre:
Aksi, Biografi & Drama

Pelakon:
Dato' Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As'ari, Ali Karimi, Yayan Ruhian,
Geoff Andre Feyaerts, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Farid Amirul, A.Galak,
Zarina Zainoordin, Farah Ahmad, Dato Jalaluddin Hassan, Dato Rahim Razali,
Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Mubarak Majid, Mark Geoffrry & Etc.  

Pengedar:
Skop Production

Tarikh Tayangan:
23 Jun 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang pahlawan Melayu iaitu Mat Kilau bersama ayahandanya Tok Gajah dan para sahabat bangkit menentang penjajahan British. Pada tahun 1982, pihak Kolonial British telah menduduki tanah-tanah di Pahang dan mengaut hasil bumi Pahang milik orang-orang Melayu serta mencampuri urusan adat dan agama orang-orang Melayu. Tidak membiarkan kebiadaban British di bumi Pahang semakin berleluasa, Mat Kilau dan rakan-rakan bangkit menentang penjajah British. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Jun 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berkesempatan untuk hadir menonton sebuah filem tempatan yang sangat kami nantikan sejak dua tahun yang lepas iaitu filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan sewaktu majlis malam gala filem ini yang berlangsung dengan cukup meriah di GSC Starling Mall pada 16 Jun 2022 yang lepas. Untuk makluman semua, filem Mat Kilau ini hanyalah sekadar mengambil inspirasi daripada kisah perjuangan Mat Kilau dan para sahabatnya. Jadi, ianya bukan lah menggambarkan kisah kejadian yang 100 peratus benar atau betul-betul mengikut kronologi kejadian sebenar yang berlaku. 


Jadi, kami ingin kongsikan beberapa perkara menarik di dalam filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan ini yang berjaya mencuri perhatian kami untuk diperkatakan di dalam penulisan kali ini. Perkara pertama yang cukup mengagumkan kami ialah penghasilan skrip untuk filem ini. Kami cukup sukakan gabungan madah, kiasan dan keagamaan yang digabungkan untuk dijadikan frasa-frasa dialog yang cukup indah. Lama tidak mendengar ungkapan dialog-dialog bahasa Melayu yang penuh tanpa dirojakkan dan ini kami namakan sebagai keindahan bahasa yang wajar diangkat dan dipelihara. Memang menjadi satu kepuasan buat kami untuk menikmati setiap ayat-ayat pertuturan ini yang bukan sahaja sedap didengar tetapi mempunyai jiwa serta emosi yang cukup mendalam untuk menjentik hati kami secara automatik untuk memahami apa yang cuba disampaikan dalam setiap ayat-ayat diucapkan oleh para pelakon di dalam filem ini.  


Perkara kedua yang menarik perhatian kami di dalam filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan ini adalah kejayaannya di dalam menaikkan semangat nasionalisme dan patriotik kepada tanah air serta menguatkan jati diri kami terhadap sifat, kepercayaan dan kekuatan orang Melayu itu sendiri terhadap bangsa dan kepercayaan agama Islam. Menarik untuk melihat bagaimana watak-watak protagonis yang sanggup bergolok gadai berjuang sehingga terpaksa melepaskan nikmat dunia bersama isteri dan anak semata-mata untuk melihat generasi akan datang tidak menjadi hamba serta pak turut bangsa penjajah sememangnya berjaya divisualkan dengan cukup baik sekali. Tahniah untuk sudut ini kerana kami benar-benar bersemangat sewaktu dan selepas menonton filem ini semalam.  


Perkara ketiga yang membuatkan kami tertarik dengan filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan ini adalah disebabkan keberanian filem ini untuk memberikan sindiran yang cukup berani kepada orang-orang Melayu itu sendiri. Sifat tamak, pentingkan diri sendiri serta perseteruan dengan orang sekeliling akibat berebutkan kuasa berjaya diterapkan di dalam penceritaan dan ianya dapat disampaikan dengan cukup cemerlang untuk mudah dihadam dan lekat di fikiran penonton terutamanya orang Melayu untuk sedar dan mula belajar untuk berubah. Perkara sebegini bukan sahaja berlaku pada era-era terdahulu tetapi ianya dapat dilihat sehingga kini di dalam mana-mana organisasi sama ada politik, tempat kerja mahu pun antara ahli keluarga sendiri. Keberanian yang cuba ditonjolkan melalui mesej-mesej pedas ini pada kami merupakan satu elemen baru yang berjaya menongkah arus di hadapan agar ianya sedikit sebanyak dapat membangkitkan minda-minda orang kita yang mudah leka dan berserah kepada takdir tanpa berusaha mengubahnya. 


Perkara keempat yang menarik untuk diperkatakan tentang filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan ini ialah seni mempertahankan diri yang ditonjolkan iaitu silat. Koreograf aksi silat berjaya divisualkan dengan cukup baik untuk dipertontonkan kepada seluruh dunia bahawa seni mempertahankan diri silat ini bukan sebuah seni bela diri yang lekeh tetapi mempunyai kekuatan yang hebat dan keistimewaan yang tersendiri. Menarik untuk melihat para pelakon yang sememangnya mempunyai asas silat yang bagus seperti Beto Kusyairy dan Fattah Amin beraksi di dalam filem ini dimana babak-babak pertempuran yang melibatkan mereka berdua berjaya membuatkan kami berasa cukup teruja dan bangga dengan seni bela diri kaum Melayu iaitu silat. Memang betul-betul terbaik!


Perkara kelima yang juga menarik untuk kami perkatakan tentang filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan ini ialah klasifikasi umur yang sesuai dan boleh menonton filem ini. Filem ini diberi taraf sebagai PG13 iaitu sesuai ditonton oleh kanak-kanak tetapi perlu mendapat pengawasan daripada ibu bapa. Tidak dinafikan filem ini sebenarnya mempunyai banyak adegan-adegan pembunuhan yang kejam dan menyayat hati. Namun, kami merasakan meletakkan filem ini sebagai PG13 adalah satu keputusan yang tepat agar anak-anak muda kita dapat melihat dan memahami susah payah perjuangan nenek moyang kita menentang penjajah serta merasa bangga dan menghargai titik peluh perjuangan para pejuang negara yang sanggup bergadai nyawa demi keselesaan kita pada waktu kini. Secara tidak langsung, filem ini dapat menepis kata-kata negatif yang mengatakan negara Malaysia merdeka tanpa pertumpahan darah dimana perjuangan para pejuang tanah air sepatutnya harus diambil kira di dalam bab ini.


Namun, ada banyak juga kelemahan yang kami ingin sentuh di dalam filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan ini yang sebenarnya memberi kesan kepada tontonan kami terhadap keseluruhan filem ini. Pertama sekali ialah gerakan kamera yang terlalu bergoyang dan bergegar apabila melibatkan babak-babak pertempuran. Sangat sayang sebenarnya kerana koreograf silat yang dibuat sudah cantik namun ianya dirosakkan oleh pergerakan kamera yang menyebabkan babak-babak aksi tersebut menjadi terlampau laju, tidak jelas dan menghilangkan nikmat buat mereka yang gemar untuk menikmati babak aksi silat seperti kami. Perkara ini bukan sahaja menjadi rungutan kami tetapi hampir sebahagian besar yang datang menonton pada malam tersebut. 


Selain itu, kami melihat kelemahan filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan ini adalah dari sudut plot penceritaannya yang secara tidak langsung tanpa sedar telah menenggelamkan watak Mat Kilau melalui kekuatan penceritaan watak Wahid yang dilakonkan oleh Beto Kusyairy. Kekuatan Mat Kilau boleh dilihat pada bahagian awal penceritaan sahaja sebelum watak ini seolah-olah mula dilupakan oleh kami dan tumpuan beralih kepada watak Wahid yang mempunyai kisah yang lebih hebat konflik dan tragisnya. Selain itu, kami berpandangan filem ini terlampau memberi perhatian kepada babak-babak pertarungan yang terlampau panjang sehingga lupa untuk mengambil kesempatan terhadap adegan-adegan yang mempunyai impak yang kuat dari sudut emosi kepada penonton. Banyak babak-babak menarik seperti watak Wahid dan isterinya di hadapan rumah serta kisah di penghujung cerita yang melibatkan watak Wahid dan Mat Kilau dimana babak-babak ini sebenarnya mampu memberikan impak yang tinggi terhadap emosi penonton untuk lebih menyayangi dan mengingati perjuangan yang cuba ditonjolkan namun sayangnya ianya tidak digunakan. Ini menyebabkan babak-babak ini berlalu sepi begitu sahaja walaupun ianya merupakan babak-babak yang bernilai emas di dalam keseluruhan filem ini.


Ada juga beberapa kelemahan lain contohnya dari sudut pertuturan dialog. Kami melihat dua masalah disini dimana yang pertama ialah tentang tiadanya penggunaan loghat Pahang pada dialog watak-wataknya atau mungkin ada tetapi sangat minima. Perkara kedua tentang masalah berkaitan pertuturan dialog ini ialah pertembungan antara dialog zaman lampau dengan dialog zaman kini. Ianya tidak selari dimana babak yang melibatkan watak Wahid dan isterinya menampilkan dialog yang lebih moden berbanding dengan babak-babak lain yang dialog mereka lebih bersifat nostalgia dan lama. Dari sudut pakaian busana pula, kami melihat rupa kostum sewaktu pertempuran pada babak akhir yang panjang namun ianya masih kelihatan bersih dan terletak tanpa dinodai dengan percikan darah. Selain itu, terdapat juga plot-plot penceritaan yang agak lemah dimana ia berkaitan dengan penggunaan senapang serta kemunculan watak-watak yang tidak perlu atau hilang begitu sahaja. Kami juga menyedari kesan khas bunyi yang digunakan berlebih-lebihan sewaktu babak pertempuran juga adakalanya merosakkan suasana dan menjadikan adegan itu 'lucu' tanpa sengaja. Namun, secara keseluruhan filem ini masih menghiburkan dan paling penting berjaya membuatkan kami sebagai orang Melayu bangga dengan perjuangan dan keberanian nenek moyang kami yang berterusan menentang penjajah tanpa gentar dan penuh dengan keimanan. Tahniah buat semua krew produksi yang terlibat di dalam menghasilkan filem aksi yang hebat ini. 


Jadi, selamat menonton filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan yang bakal ditayangkan pada 23 Jun 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

4 Ulasan

  1. Terima Kasih di atas review yg pantas lagi detail utk film Mat Kilau ni. Insyaallah akan ditonton...

    BalasPadam
  2. Terbaik bagi sy..sbb sy juga belajar silat..Dari awal2 lagi da tersentuh Dan ngalir air mata ni mengenang nasib org terdahulu yg berjuang.. best cite ni utk org melayu..wajib tgok

    BalasPadam
  3. da juga orang berpendapat sama dengan Aku. Part camera terlebih bergerak dan sound effect tu agak berlebihan bagi aku seperti cita tamil da. tapi aku suka skrip movie ni. Berani dan Deep 👍👍👍

    BalasPadam