Review Filem Elvis

 

Filem:
Elvis 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Baz Luhrmann

Genre:
Biografi, Drama & Muzikal

Pelakon:
Austin Butler, Tom Hanks, Helen Thomson, Richard Roxburgh, Olivia DeJonge & Etc.  

Pengedar:
Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan:
23 Jun 2022

Sinopsis:
Filem biografi ini mengisahkan kehidupan legenda `rock-and-roll` Elvis Presley. Merangkumi tempoh 20 tahun, filem ini menyingkap semula kehidupan peribadi serta karier muziknya yang berjaya, bermula dari tahun 1950-an hingga 1970-an.Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 23 Jun 2022 untuk mengetahui keseluruhan kisah Elvis Presley.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Warner Bros. Pictures untuk menonton sebuah filem yang sangat Hans nantikan iaitu Elvis yang ditayangkan pada 16 Jun 2022 sempena tayangan media di TGV One Utama. Sememangnya kami sangat menantikan kemunculan filem Elvis ini kerana hasil tangan Baz Luhrmann sememangnya tidak mengecewakan malahan ianya memberi lebih daripada jangkaan yang kami harapkan sendiri. Sememangnya filem biografi sebegini tidak lah tepat faktanya 100 peratus namun ianya masih berjaya menyampaikan siapakah insan bernama Elvis Presley dan bagaimanakah kehidupannya sebelum, semasa dan selepas berada di puncak kejayaan. Lebih menarik perhatian kami ialah kisah ini disampaikan melalui suara pencerita Kolonel Tom Parker yang merupakan pengurus kepada Elvis Presley melalui versinya yang tidak memihak kepadanya tetapi berjaya menyampaikan kepada penonton apakah kepercayaan watak pengurus ini terhadap segala tindak tanduknya di dalam menaikkan nama Elvis Presley di persada muzik dunia.


Kami yakin ramai yang mengenali mahu pun mengetahui figura hebat Rock and Roll dunia ini. Namun, ianya mungkin sekadar pengetahuan asas dan tidak terlalu menyeluruh. Jadi, menonton filem ini membuka mata kami terhadap pelbagai perkara terutamanya berkaitan dengan landskap budaya Amerika sendiri terutamanya berkaitan hubungan warga kulit putih dan warga kulit hitam disana. Gabungan muzik blues, country serta elemen muzik Afrika yang berevolusi di tangan Elvis ini memang menarik untuk dilihat yang mana pada mulanya konsep muzik sebegini ditentang oleh warga kulit putih kerana ia akan menyamakan mereka dengan warga kulit hitam. Namun, segalanya berubah apabila Elvis yang berkulit putih menyanyikan lagu-lagu daripada warga kulit hitam. Ironinya, Elvis juga terpalit dengan pelbagai kontroversi gara-gara persembahannya yang dikatakan mengghairahkan dan menyebabkan keruntuhan moral masyarakat Amerika khususnya anak gadis pada zaman tersebut sehingga digam dan diminta untuk berhenti daripada menyanyi. Hal-hal sebegini sememangnya menarik kerana ia merupakan satu perkara baru buat kami yang bukannya mengikuti kisah Elvis Presley sebelum ini dan cara penyampaian hal-hal ini di dalam filem Elvis sememangnya diolah dengan cukup menarik, dramatik dan memberi kesan yang mendalam buat kami. Kami juga turut gembira melihat filem ini tidak melupakan nama pemuzik dan penyanyi Amerika Afrika yang hebat seperti Little Richard, "Big Mama" Thorton, B.B. King, Arthur "Big Boy" Crudup dan Fats Domino dimana watak-watak mereka diberi ruang untuk muncul dan berfungsi dengan cukup baik di dalam membantu kerjaya Elvis sehingga dikenali seluruh dunia.


Seperti kebiasaan filem biografi artis lagenda terkenal Hollywood, filem Elvis juga tidak terkecuali untuk memaparkan sisi gelap penyanyi hebat Elvis Presley namun perkara-perkara negatif ini diolah dengan penyampaian yang lebih positif untuk membuatkan kesakitan yang dialami oleh watak Elvis ini juga dapat dirasakan oleh penonton seperti kami. Penceritaan tentang hubungan Elvis dengan ibunya, bapanya, isterinya, anaknya dan paling penting pengurusnya boleh kami katakan sebagai seimbang dan setiap plot sangat menyokong antara satu sama lain. Ucapan tahniah seharusnya diberikan kepada pelakon hebat Austin Butler yang berjaya menghidupkan watak Elvis bermula daripada usianya 19 tahun sehingga waktu kematiannya pada tahun 1977 dimana Elvis ketika itu baru berumur 42 tahun. Lebih menarik kerana Austin turut menyanyikan sendiri lagu Young Elvis yang menjadikan persembahannya untuk watak utama ini cukup luar biasa. Suara, gaya, pergerakan dan sikap Elvis berjaya dijiwai sepenuhnya oleh pelakon Austin Butler dan ini betul-betul membantu untuk kami sebagai penonton berasa lebih dekat dengan watak Elvis. Tidak dilupakan juga lakonan hebat Tom Hanks yang memegang watak sebagai Kolonel Tom Parker iaitu pengurus Elvis yang betul-betul penuh dengan kejutan. Keserasian antara dua watak utama ini benar-benar berjaya menghidupkan keseluruhan filem ini sejak awal hingga kepada pengakhiran filem dengan cukup baik.


Keseluruhannya, filem Elvis sememangnya merupakan sebuah kisah biografi muzikal yang cukup menarik. Segala elemennya berjaya digabungkan sempurna dan disampaikan dengan cukup seimbang. Kami yakin anda bukan sekadar akan terhibur menonton filem ini hanya kerana watak Elvis mahu pun lagu-lagunya yang menghiburkan tetapi juga tentang budaya Amerika Afrika dan bagaimana Elvis tanpa sedar berjaya menyatukan rakyat kulit putih dan kulit hitam Amerika hanya melalui persembahannya yang bertenaga serta lagu-lagunya yang berhantu.


Jadi, selamat menonton filem Elvis yang bakal ditayangkan pada 23 Jun 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Yang Sangat Dinanti-Nanti Oleh Ramai Rakyat Malaysia! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. Sama seperti saya, sejak announcement film ini lagi, saya memang menanti²kan ia. Telah byk versi biopic Elvis yg saya telah tonton dari kecil hingga sekarang, tetapi versi Director Baz Luhrmann adalah antara yg terbaik. Saya suka pendekatan film ini yg tidak mengikut film² biopic yg lain seperti Bohemian Rhapsody. Walaupon Elvis meninggal semasa saya berumor baru 4 tahun, tetapi saya dibesarkan dgn lagu² beliau dan amat meminati gaya persembahan serta suara unik Elvis. Cuma pada saya, kesedihan kematian Elvis kurang dirasai dan impact kepada peminat² nya tidak ditonjolkan dgn baik tetapi siapalah saya utk komen. Tuan Director bersama Casting telah berikan usaha yg terbaik terutama Austin Butler dan Tom Hanks. Mungkin akan ada mixed reviews tetapi saya pasti fan Elvis akan teruja menonton nya...

    BalasPadam