Review Filem When I Get Home, My Wife Always Pretends To Be Dead (JFF)


Filem:
When I Get Home, My Wife Always Pretends To Be Dead

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Toshio Lee

Genre:
Komedi & Drama

Pelakon:
Nana Eikura, Ken Yasuda, Ryohei Otani, Sumika Nono & Etc.

Tarikh Tayangan:
5 September 2019

Pengedar:
Film Festival Organizer

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan perkahwinan Jun buat kali kedua yang nampak biasa sahaja sehinggalah pada satu hari dia mendapat tahu bahawa isterinya, Chie mempunyai perangai pelik dimana Chie suka berpura-pura mati selepas dia pulang dari kerja. Pada mulanya, dia berasa terkejut apabila melihat isterinya terbaring berlumuran darah tetapi ternyata ia hanya lakonan. Perkara itu berlaku setiap hari dan ini menyebabkan Jun menjadi buntu. Saksikan filem melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 5 September 2019 untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.

Ulasan:

Alhamdulillah pihak Rollo De Pelicula mendapat jemputan untuk menghadiri Sidang Media Dan Tayangan Media Sempena Festival Filem Jepun 2019 bertempat di GSC Mid Valley pada 20 Ogos 2019 yang lepas. Kami berpeluang menonton filem When I Get Home, My Wife Always Pretends To Be Dead yang dipilih sebagai salah sebuah filem yang cukup istimewa untuk ditayangkan kepada barisan media yang hadir pada acara tersebut. 


Seperti yang tertulis pada sinopsis filem ini, penonton akan melihat bagaimana seorang suami terpaksa berhadapan dengan perangai pelik isterinya yang sanggup menghabiskan wang dan masa membeli pelbagai peralatan dan props untuk berlakon seolah-olah dirinya telah mati. Walaupun perkara ini diketahui oleh si suami namun si isteri masih tetap melakonkan pelbagai cara kematian yang ngeri tanpa sebab musabab yang diketahui. Ianya mula terjadi setelah usia perkahwinan mereka mengjangkau usia 3 tahun. Walaupun Jun yang merupakan suami kepada Chie sentiasa bertanyakan apa sebenarnya yang Chie cuba sampaikan atau ingin sembunyikan, namun Chie membiarkan Jun untuk menyelesaikan sendiri misteri yang sedang dilakukannya. Masalah ini menarik untuk dilihat memandangkan ini adalah perkahwinan kali kedua Jun dan dirinya mulai risau jika hubungannya dengan Chie tidak dapat dipertahankan jika dia merasakan mereka sudah tidak ada sefahaman. 


Secara perlahan-lahan, filem ini mula memberikan pembayang kepada penonton apabila watak rakan sekerja Jun yang kelihatan bahagia diminta pendapat oleh Jun yang gemar berkongsi tentang kisah pelik perkahwinan kali keduanya ini. Kami menyukai hal ini kerana perkahwinan antara Jun dan Chie sebenarnya tidak kelihatan sebarang permasalahan. Tidak pernah bergaduh. Makan minum dijaga. Segala-galanya berjalan dengan lancar. Cuma misteri yang masih sukar untuk ditemui jawapannya ialah tentang kelakuan pelik Chie. Apakah sebenarnya kesefahaman yang perlu ada dalam sesebuah hubungan perkahwinan? Adakah anak penentu kebahagiaan? Bagaimana caranya untuk memahami kehendak pasangan? Semuanya ini merupakan persoalan-persoalan menarik yang cuba dipaparkan secara kreatif di dalam kisah hubungan sepasang suami isteri yang pada hakikatnya tidak ada sebarang masalah rumah tangga atau pergaduhan besar. 


Apa yang lebih membingungkan Jun apabila rakan sekerja serta isteri rakannya sangat memuji Jun sama ada dari segi masakan mahu pun minatnya sewaktu kali pertama mereka berjumpa. Perkara sebaliknya terjadi kepada rakan Jun serta isterinya dimana hakikat sebenar mereka berdua tidak bahagia seperti mana yang mereka rasakan ada pada Jun dan Chie. Jadi, segala persoalan menarik tentang hal ini hanya mula terjawab pada bahagian akhir filem ini dimana penonton akan mula memahami dan mungkin bersimpati dengan apa yang telah dialami dan menimpa Chie. Filem ini secara dalamannya cuba membawa penonton terutama sang suami untuk cuba sebaik mungkin memahami isteri mereka terutama tentang minat atau apa yang telah terjadi di dalam kehidupan lampau mereka sebelum ini. Kegagalan dalam sistem komunikasi dengan meletakkan faktor sudah tidak ada keserasian antara suami dan isteri bukan lah pilihan yang sepatutnya diambil. Ada perkara yang sebenarnya subjektif dan perlu masa untuk anda fahami isi tersiratnya untuk mengecapi kemanisan yang tidak pernah anda sangka dalam hidup. Inilah yang ditawarkan di dalam filem komedi Jepun ini. 


Pada kami, momentum filem ini bergerak secara sederhana dan perlahan pada sebahagian adegan. Elemen humor yang ada juga pada kami kreatif dan bijak kerana walaupun ia mengulangi perbuatan menyamar kematian tetapi tetap berjaya menggeletek hati penonton. Namun, apa yang mahal tentang filem ini semestinya tentang kisah konflik suami isteri yang menarik untuk ditonton serta sesuai untuk para lelaki untuk memahami betapa kompleks insan bernama wanita. Berbaloi untuk anda menonton filem ini sewaktu Festival Filem Jepun 2019 berlangsung pada bulan September nanti. 


Jadi, selamat menonton filem When I Get Home, My Wife Always Pretends To Be Dead di pawagam terpilih bermula pada 5 September 2019 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Selepas Ini Ialah Sebuah Filem Aksi Berjudul Angel Has Fallen. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan