Review Filem Breakout Brothers 3

 

Filem:
Breakout Brothers 3 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Mak Ho Pong

Genre:
Aksi & Jenayah

Pelakon:
Patrick Tam, Ron Ng, Kenny Wong, Justin Cheung, Adam Pak, Moses Chan & Etc.  

Pengedar:
Lotus Five Star AV

Tarikh Tayangan:
16 Jun 2022

Sinopsis:
Filem aksi ini mengisahkan seorang bekas warden bernama Tang yang dipenjarakan kerana menerima rasuah serta Jun yang gagal melarikan diri dari penjara dan kembali semula ke penjara untuk meneruskan hukumannya. Jun melihat Tang sudah biasa dengan penjara itu dan cuba untuk bekerjasama dengannya untuk melarikan diri dari penjara. Kedua-dua mereka juga cuba menimbulkan masalah dengan menyalahkan Big Roller. Namun, Jun kemudian mendapati Tang mempunyai muslihat lain dan ini memaksanya untuk kembali bekerjasama dengan Big Roller, Mak dan warden baharu Ma untuk memecahkan konspirasi Tang. Apakah yang bakal berlaku seterusnya? Saksikan filem aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 16 Jun 2022 untuk mengetahui kisah selanjutnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Lotus Five Star untuk menonton sebuah filem aksi iaitu Breakout Brothers 3 yang telah berlangsung dengan cukup meriah di MBO Cinemas Atria Shopping Gallery pada 14 Jun 2022 yang lepas. Ini adalah filem ketiga daripada siri filem Breakout Brothers namun tidak menjadi masalah buat anda yang tidak pernah menonton filem-filem terdahulu untuk menonton filem ini kerana karya ini dapat berdiri dengan sendiri dan tidak membuatkan anda terpinga-pinga sendirian di dalam pawagam.


Tidak ada banyak sangat yang ingin kami katakan tentang filem Breakout Brothers 3 ini. Tetapi, satu perkara yang jelas dan amat penting disini ialah kami sangat terhibur menonton keseluruhan filem yang mana plot penceritaannya berjaya disusun dengan baik dan dapat mengekalkan momentum cemerlangnya daripada awal sehingga kepada penamat filem. Disuntik dengan pelbagai elemen seperti aksi, drama, cemas, konspirasi dan air mata menjadikan filem aksi ini sentiasa berjaya menyegarkan mata kami dan penonton yang lain. Kisahnya juga tidak terlalu klise seperti filem-filem aksi kantonis lain yang bertemakan kisah banduan di dalam penjara dimana ada beberapa watak di dalam filem ini yang berjaya mengejutkan kami dengan kisah-kisah mereka yang unik. Selain itu, kami juga turut menyukai penyampaian untuk kisah penamat bagi setiap watak-watak penting di dalam kisah filem ini yang berani lari sedikit daripada kebiasaan yang pernah kami lihat di dalam filem-filem Kantonis yang lain sebelum ini.  


Selain itu, kami juga tertarik dengan paparan kehidupan di penjara yang disulami dengan adegan-adegan 'brotherhood' dimana kedua-dua perkara ini bijak digabungkan melalui visualnya yang dilihat berjaya menterjemahkan setiap maksud dan kisah dengan cukup cantik sekali di dalam filem Breakout Brothers 3 ini. Ada beberapa adegan yang agak kreatif serta kelihatan baru untuk tontonan kami dan ini sudah cukup untuk membuatkan filem Breakout Brothers 3 sebagai sebuah filem aksi jenayah yang sangat berbaloi untuk ditonton di pawagam pada bulan Jun 2022 ini.


Jadi, selamat menonton filem aksi Breakout Brothers 3 yang akan mula ditayangkan pada 16 Jun 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul ?! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan