Filem:
Thappad
Penilaian:
10/10
Pengarah:
Anubhav Sinha
Genre:
Drama
Pelakon:
Taapsee Pannu, Pavail Gulati, Tanvi Azmi, Ratna Pathak, Sushil Dahiya, Dia Mirza, Ram Kapoor & Etc.
Pengedar:
Nusantara Seni Karya Sdn Bhd
Tarikh Tayangan:
28 Februari 2020
Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Amrita yang hidup bahagia bersama suaminya selama hampir 3 tahun usia perkahwinan mereka. Namun, semuanya berubah sekelip mata apabila Amrita ditampar oleh suaminya ketika majlis makan malam yang menyebabkan dia memfailkan penceraian. Ramai yang meminta Amrita mengalah dan melupakan hal tersebut demi kelangsungan kebahagiaan mereka. Adakah Amrita akan kembali mengalah dan melupakan segalanya? Adakah Amrita akan melepaskan kebahagiaan yang pernah dirasainya sebelum ini hanya kerana satu tamparan? Saksikan filem yang sangat menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 28 Februari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.
Ulasan:
Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem Bollywood yang sangat menarik menurut pandangan kami iaitu Thappad bertempat di TGV Cinemas Jaya Centre pada 1 Mac 2020 yang lepas. Filem Thappad yang bermaksud tamparan atau satu tamparan ini adalah sebuah filem yang betul-betul mengejutkan kami. Filem yang sangat bagus! Plot ceritanya disusun rapi dimana ianya bukan sekadar memberi penekanan kepada skrip tetapi juga terhadap hasil sinematografi serta memanfaatkan setiap props dan latar yang ada untuk memastikan para penonton bukan sekadar memahami cerita yang ingin disampaikan tetapi turut sama merasai emosi dan yakin dengan tindakan keseluruhan watak yang wujud di dalam keseluruhan filem ini. Siapa sangka filem yang pada bahagian awal 10 minitnya berjaya menampilkan adegan-adegan manis, romantik dan sedikit humor kepada watak utama iaitu Amrita dan Vikram serta watak-watak pembantu berjaya disusun baik dan digabungkan dengan cukup cantik apabila tiba di bahagian konflik filem ini untuk membuatkan anda mula memahami apa erti tamparan terhadap seorang isteri serta wanita bernama Amrita ini.
Bahagian awal filem Thappad ini akan membawa penonton untuk melihat rutin harian seorang isteri bernama Amrita dimana anda melihat pengulangan aktiviti yang sama pada sebahagian besar bahagian awal filem ini. Anda akan melihat Amrita bangun pagi mengambil surat khabar dan botol susu. Kemudian, wanita ini akan menyiapkan teh untuk suaminya. Menyediakan makanan walaupun dia tidak pandai memasak. Akhir sekali menemani suaminya Vikram dengan membawa semua barang-barang keperluan yang penting buat Vikram untuk bekerja. Adegan ini boleh anda saksikan di dalam 3 atau 4 kali adegan yang mana ia sebenarnya cuba untuk membuatkan penonton memahami hal-hal tersirat dan tersurat berkaitan dengan tradisi wanita di India saat bergelar isteri dimana fikiran mereka telah ditanam tentang beberapa perkara iaitu berkaitan dengan toleransi isteri terhadap suami, kebahagiaan suami dan anak merupakan kebahagiaan isteri, suami adalah Tuhan, segala kesilapan suami haruslah dilupakan dan dimaafkan manakala setiap kesilapan isteri harus diperbetulkan dan wajib dielakkan demi menjaga aib dan maruah suami serta keluarga. Sebarang kesukaan si isteri sebelum berkahwin juga harus ditinggalkan dimana wanita-wanita bergelar isteri ini harus memandang jauh ke hadapan dan melupakan segala impian, cita-cita atau kesukaan mereka seandainya ia tidak diterima atau disukai oleh si suami atau keluarga suami tersebut.
Menariknya tentang pandangan dan pegangan watak wanita hebat bernama Amrita di dalam filem Thappad ini ialah dirinya sebenarnya tiada masalah dengan adat budaya yang diturunkan turun temurun kepada wanita yang bergelar isteri daripada nenek dan ibu mereka sendiri. Amrita redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh kepercayaan masyarakat India tentang hal ini dan sememangnya menyerahkan dirinya untuk memberikan segala yang terbaik kepada suaminya Vikram. Watak Vikram juga dipaparkan pada awalnya sebagai seorang yang penyayang dan sememangnya berusaha keras untuk meningkatkan taraf kehidupan keluarganya demi mengejar cita-cita yang dikejarnya iaitu memperoleh kenaikan pangkat dan bekerja di luar negara iaitu London. Namun, keceriaan filem ini berubah secara drastik di dalam satu momen yang cukup gah auranya saat Vikram menampar Amrita di hadapan keluarga kedua-dua belah pihak serta para tetamu rapat yang hadir. Disinilah kekuatan lakonan pelakon utama iaitu Taapsee Pannu sangat teruji tetapi menariknya Taapsee berjaya menjadikan Amrita sebagai watak makanannya dengan menampilkan satu eskpresi emosi yang cukup hebat. Adegan 'silence' selepas tamparan itu betul-betul sampai di hati kami dimana watak Amrita berjaya menyampaikan segala rasa yang dialaminya pada ketika itu melalui luahan diwajahnya sahaja. Kami cukup teruja dengan adegan tersebut yang boleh kami sifatkan sebagai adegan letusan gunung berapi yang membuatkan segala-galanya berubah dan memberikan momentum yang cukup tinggi buat keseluruhan filem ini.
Filem Thappad berjaya membawa kami untuk melihat perbezaan kesan emosi serta psikologi yang dialami oleh seorang isteri yang melalui tiga perkara berbeza di dalam filem ini dimana kami yakin impaknya akan membuatkan ramai yang menonton akan berfikir dan bercakap sesama sendiri tentang tiga perkara ini daripada pelbagai sudut dan situasi. Watak Amrita mempunyai hak untuk bersuara dan menegakkan keputusannya tentang kenapa dia mahu berpisah sedangkan manusia di sekelilingnya yang terdiri daripada ahli keluarganya sendiri, peguamnya sendiri serta pihak lain menentang keputusan yang diambilnya. Bagi mereka, ianya cuma satu tamparan yang berlaku secara tiba-tiba dan bukan niat sebenar suaminya untuk berbuat demikian. Namun, hujah Amrita bahawa dia tidak layak diperlakukan sedemikian rupa berjaya dipaparkan di dalam banyak babak yang mempunyai momen-momen hebat dan disokong oleh susunan dialog yang padat dan penuh dengan subteks yang menarik. Bayangkan cabaran Amrita untuk berpisah dimana permintaanya cuba digagalkan dengan hujah-hujah rekaan serta mainan taktikal peguam yang mewakili si suaminya serta bagaimana ugutan yang diterima untuk merampas anaknya namun Amrita masih tetap teguh dengan pendirian yang diyakininya sejak dari awal sehingga pada akhirnya mengubah keseluruhan pandangan dan pegangan hidup setiap watak-watak di dalam filem ini.
Kami menyukai filem Thappad ini kerana ianya bukan sekadar cuba bercerita tentang kesan emosi dan psikologi berkaitan dengan masalah kekerasan rumah tangga tetapi pada masa yang ia membawa penonton untuk melihat sendiri 'keadilan' yang dicipta untuk wanita bergelar isteri yang selama ini diyakini sebagai satu keadilan buat mereka. Namun, hakikat sebenarnya tidak jika si lelaki yang bergelar suami tidak memahami apa sebenarnya maksud keadilan tersebut. Kami juga melihat filem ini bukannya dihasilkan untuk menghentam kaum adam kerana ia sebenarnya menampilkan empat kisah lain yang membawa kami untuk melihat dua perkara yang wujud disebabkan adat budaya berkaitan toleransi isteri ini iaitu hal positif dan hal negatif. Hal positifnya apabila suami sendiri memahami maksud toleransi yang sebenar akan memberikan kebahagiaan yang sukar dicari ganti oleh si isteri seperti mana satu watak wanita yang sentiasa memandang tinggi lelakinya yang sewaktu hidupnya sangat baik. Pada masa yang sama, budaya dan adat toleransi yang diikuti dan dipegang oleh golongan isteri yang konservatif seperti ibu dan ibu mertua Amrita sendiri pula sebenarnya memberi masalah kepada mereka namun mereka menyembunyikan dan berpura-pura bahawa ianya tidak memberi kesan. Sedangkan hakikat sebenar adalah mereka terseksa di sebalik senyuman yang terukir di wajah. Begitu juga hal berkaitan si isteri yang menanggung keluarga dengan bekerja sedangkan si suami duduk di rumah mengangkang setiap masa. Jika bersuara terus dipukul dan disebabkan kepercayaan kepada kebahagiaan seorang isteri bergantung kepada kebahagiaan si suami membuatkan wanita-wanita India konservatif bergelar isteri rela diperlakukan sedemikian rupa, dipukul atau direndah-rendahkan maruah mereka. Segala permasalahan yang timbul terhadap kisah-kisah watak pembantu ini berjaya disatukan dengan cukup baik bersama dengan masalah utama yang sebenar iaitu masalah rumah tangga Amrita yang pada akhirnya membuka mata kami terhadap masalah sebenar yang perlu dilakukan oleh Amrita seandainya dirinya masih terus cuba bertoleransi dengan suaminya.
Lakonan pelakon Taapsee Pannu di dalam filem Thappad sememangnya berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Kekuatan emosi serta bahasa tubuh yang dipersembahan oleh Taapsee untuk watak Amrita sememangnya merupakan kekuatan utama filem ini selain daripada subteks berkaitan dengan pegangan serta kepercayaan tradisi isteri-isteri konservatif India. Filem ini juga dilihat bijak bukan disebabkan ianya hebat di dalam menelanjangkan masalah suami-suami yang tidak memahami erti keadilan dan hak sebenar seorang isteri di dalam alam perkahwinan tetapi juga menempelak sendiri sikap wanita-wanita India terutama si ibu yang masih berterusan membiarkan nasib malang yang mereka alami berjaya diwariskan kepada anak-anak perempuan atau menantu perempuan mereka. Secara keseluruhan, filem Thappad bukan sekadar berjaya memaparkan perjuangan seorang wanita dan isteri bernama Amrita berkaitan dengan toleransi pasangan di dalam perkahwinan tetapi juga membuka mata semua pihak baik lelaki mahu pun wanita untuk melihat permasalahan ini dan meninggalkan satu persoalan besar yang cukup menarik untuk dilihat. Adakah filem ini akan berjaya menampar jauh pemikiran dan kepercayaan mereka tentang keadilan rumah tangga? Adakah mereka sendiri terutama penonton India di sana bersedia untuk berubah dan menamparkan kepercayaan lama tersebut yang memberikan keuntungan kepada sebelah pihak sahaja? Filem yang cukup hebat dan wajar ditonton pada tahun 2020.
Jadi, selamat menonton filem Thappad di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 28 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!
P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Ngeri Berjudul The Invisible Man. Nantikan Ulasannya!
0 Ulasan