Review Filem Mafia Chapter 1



Filem:
Mafia Chapter 1

Penilaian:
5/10

Pengarah:
Karthick Naren

Genre:
Aksi & Drama

Pelakon:
Arun Vijay, Priya Bhavani Shankar, Prasanna & Etc.

Pengedar:
Lotus Five Stars

Tarikh Tayangan:
21 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan anggota biro narkotik Aryan yang ditugaskan untuk membasmi masalah dadah yang semakin meruncing di bandar. Walaupun banyak serbuan dan rampasan dadah berjaya dilakukan namun mereka masih lagi gagal untuk membasmi sepenuhnya masalah dadah. Bagaimanapun, orang-orang yang rapat dengan Aaryan mula mati dibunuh seorang demi seorang dan dia percaya pembunuhan itu berlaku berpunca daripada operasi dadahnya. Selepas mendapat tahu dalang sebenar pembunuhan itu, dia kini dalam misi memburu dan menumpaskan ketua mafia tersebut. Saksikan filem aksi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 21 Februari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem tamil berjudul Mafia Chapter 1 bertempat di Amerin Cineplex, Seri Kembangan pada 21 Februari 2020 yang lepas. Filem yang disebut-sebut oleh ramai peminat filem Tamil disebabkan kehadiran pelakon-pelakon hebat yang membintangi filem ini seperti Arun Vijay nampaknya tidak lah seindah yang disangka. Kami merasakan filem ini hanya sebagai satu permulaan kepada langkah awal filem ini untuk membuatkan penonton ternanti-nanti sambungan sekuel yang akan ditayangkan pada tahun-tahun mendatang.



Filem Mafia Chapter 1 ini dimulakan dengan satu babak yang memaparkan wajah-wajah manusia yang sedang gembira di dalam pelbagai situasi yang berlaku di satu kawasan hotel sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi tembakan. Hal ini membawa penonton kepada babak-babak imbas kembali yang mengambil sedikit inspirasi daripada filem Memento yang memaparkan pertembungan antara seorang polis bernama Aryan serta ketua kartel dadah bernama Diwakar yang begitu sukar ditewaskan. Namun, sayangnya filem ini masih gagal menggunakan masa yang diberikan pada bahagian pertama untuk mengembangkan kedua-dua watak ini dengan sebaik mungkin dimana kami melihat pergaduhan dan konflik yang disumbat kepada hubungan kedua-dua watak ini seakan-akan hilang dan hampir tiada langsung pada bahagian pertama filem ini. Filem tentang mafia tetapi tiada apa-apa yang boleh dibanggakan pada bahagian pertama. Apa dah jadi?


Namun bahagian kedua filem Mafia Chapter 1 ini mulai berkembang dengan baik dimana terdapat beberapa kejutan yang sememangnya 'mengejutkan' telah berlaku. Ianya mulai menepati ciri-ciri sebuah filem Mafia yang kami nanti-nantikan selepas 1 jam lebih menunggu. Dilihat mempunyai sedikit suntikan Hollywood di dalam filem ini namun kami tidak dapat untuk nafikan bahawa filem ini masih dilihat lemah sama ada dari sudut skrip dialognya, pembinaan watak serta plot cerita yang dilihat lompong disana sini serta dibangunkan di dalam keadaan tergesa-gesa. Ianya agak mengecewakan untuk melihat filem ini menjadi sedemikian rupa. Segala-galanya seperti tidak kena sedangkan para pelakonnya hebat dan memberikan aksi lakonan di tahap kualiti yang dikehendaki.



Apa kami boleh nyatakan bahawa filem Mafia Chapter 1 ini berjaya diselamatkan pada bahagian akhirnya dengan memberikan satu klimaks yang cukup menarik dan penuh dengan tanda tanya yang membuatkan kami sebagai penonton teruja untuk menantikan sambungan sekual filem ini. Kami dapat merasakan bahawa filem pertama ini dibuat hanya sekadar untuk memberi sedikit info kepada penonton tentang apa yang bakal berlaku pada filem sekuel ini nanti yang menyebabkan jalan ceritanya sedikit tempang dan bersimpang siur disana-sini. Kami harapkan agar filem sekuel ini nanti dapat mengelak daripada melakukan kesalahan yang sama seperti mana yang dapat dilihat pada filem pertama ini. Harap-harapnya begitulah!



Jadi, selamat menonton filem Mafia Chapter 1 di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 21 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!


P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Komedi Berjudul ?. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan