Review Filem The Call Of The Wild


Filem:
The Call Of The Wild

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Chris Sanders

Genre:
Pengembaraan

Pelakon:
Harrison Ford, Dan Stevens, Omar Sy, Karen Gillan, Bradley Whitford, Colin Woodell & Etc.

Pengedar:
Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan:
20 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini berdasarkan sebuah novel hasil karya Jack London dengan judul yang sama dimana ianya berlatar belakangkan zaman Gold Rush pada tahun 1980-an. Seekor anjing bernama Buck yang tinggal di California dicuri dari rumahnya dan dijual kepada penghantar barang di Yukon, Alaska. Sejak dari itu, Buck perlu menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi yang cukup sukar buatnya yang sebelum ini sering dimanjakan oleh manusia. Saksikan filem pengembaraan yang cukup indah dan penuh dengan kejutan ini di pawagam berdekatan anda bermula pada 20 Februari 2020 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada pihak Walt Disney Pictures untuk menghadiri tayangan filem terbaru berjudul The Call Of The Wild yang berlangsung dengan meriahnya di MBO Atria pada 19 Februari 2020 yang lepas. Filem yang menggunakan banyak imej janaan komputer (CGI) ini nampak gayanya menjadi daya penarik kepada penonton-penonton yang menyayangi haiwan untuk datang ke pawagam menonton filem pengembaraan yang pada kami mempunyai kekuatan dan keistimewaannya yang tersendiri. 


Filem The Call Of The Wild ini membawa penonton untuk melihat pengembaraan seekor anjing bernama Buck yang dibesarkan oleh sebuah keluarga kaya yang berpengaruh dimana Buck dijaga bagai menatang minyak yang penuh dan terlalu dimanjakan. Jadi, apabila kenakalan Buck di pekan menarik perhatian penjahat yang kemudian bertindak menangkap Buck secara paksa sebelum ianya dijual di kawasan Amerika membawa penonton untuk melihat sisi perubahan Buck sewaktu berhadapan dengan ramai manusia baru di kawasan persekitaran yang baru. Transisi perubahan hidup Buck ini berjaya dipaparkan dengan cukup baik dan berkesan dimana penonton dapat melihat bagaimana Buck perlu berdikari, bertahan di dalam kehidupan yang penuh dengan cabaran serta bagaimana menyesuaikan diri dengan kawanan anjing lain serta dengan tuannya yang baru.


Tidak dinafikan filem The Call Of The Wild ini dilihat kuat apabila berjaya memanfaatkan kelebihan kualiti imej janaan komputer (CGI) yang diaplikasikan di dalam hampir 90 peratus filem ini. Keindahan latar salji buatan CGI dilihat begitu mengagumkan sama sekali. Begitu juga dengan watak Buck sendiri yang sebenarnya adalah anjing buatan CGI dimana kami melihat kualiti ciptaan ini sangat baik dan kelihatan betul-betul realistik. Namun, tidak dinafikan CGI yang melibatkan penciptaan haiwan-haiwan lain adakalanya kelihatan agak terbatas dan ianya amat mudah untuk diketahui bahawa ia bukannya nyata. Tetapi, apakan daya anjing sebenar adalah lebih baik daripada anjing buatan CGI dimana kami melihat masalah terbesar anjing hasil CGI ini ialah ia terlalu bersifat kemanusiaan. Walaupun elemen kemanusiaan yang disuntik di dalam watak Buck ini dilihat berjaya membuatkan kami sebagai penonton merasai dan menyelami perasaan Buck yang ketakutan, kegembiraan mahu pun sebagainya namun sifat kemanusiaan sebenar telah menenggelamkan sifat liar seekor haiwan yang sepatutnya perlu ada di dalam jasad anjing bernama Buck ini. Sayangnya ini merupakan antara masalah utama yang terjadi apabila watak anjing bernama Buck ini merupakan anjing ciptaan teknologi dan bukannya ciptaan alam.


Namun, kemunculan Harrison Ford sebagai Thorn walaupun hanya di dalam bahagian kedua filem The Call Of The Wild ini sudah cukup untuk menaikkan semula momentum filem ini kepada satu tahap yang menggembirakan. Hal ini dilihat menarik kerana watak Thorn ini telah berjaya menyampaikan rasa sedih Buck serta dirinya sendiri melalui beberapa adegan yang kami lihat sangat kuat dan penuh tersirat. Misalnya tentang adegan Thorn menulis surat untuk anaknya yang telah tiada dimana penonton sudah melihat baba-babak penghantaran surat yang menunjukkan kepentingannya kepada manusia-manusia yang menanti surat tersebut kerana ia memberikan satu kelegaan dan kegembiraan kepada mereka. Thorn menafikan kesedihan jiwanya dengan cuba mencipta satu penipuan untuk memanipulasi hatinya yang lara melalui surat. Ini adalah antara subteks menarik tentang kehidupan dan kasih sayang yang berjaya dipaparkan di dalam filem ini dengan cara yang ringan. Perkara kedua adalah tentang emas disaat dia menyedari bahawa Buck sudah menemui kehidupan sebenarnya di satu kawasan tersembunyi dan bagaimana dia menyatakan pandangannya kepada satu watak antagonis bahawa kebebasan adalah lebih utama dan penting berbanding emas yang dijumpainya. Kami melihat Ford berjaya memberikan jiwa kepada filem ini untuk dilihat sebagai sebuah filem yang mempunyai nafas serta seni yang kuat terutama pada bahagian kedua filem ini. Walaupun kisah watak antagonis dilihat sedikit caca merba dan tidak memberi impak sebenar kepada filem ini namun tidak dinafikan filem ini mempunyai kekuatannya tersendiri dari sudut mesej kekeluargaan dan kasih sayang, unsur humor yang mencuit hati dan semestinya transisi perubahan kisah kehidupan seekor anjing CGI bernama Buck yang membuatkan kami sebagai penonton boleh berhibur untuk menyaksikannya sehingga adegan terakhir.


Jadi, selamat menonton filem The Call Of The Wild di pawagam berdekatan anda pada 20 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Yang Dinantikan Iaitu Brahms: The Boy II. Nantikan Ulasannya! 

Catat Ulasan

0 Ulasan