Review Filem Brahms: The Boy II


Filem:
Brahms: The Boy II

Penilaian:
5/10

Pengarah:
William Brent Bell

Genre:
Seram & Ngeri

Pelakon:
Katie Holmes, Ralph Ineson, Owain Yeoman & Etc.

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
20 Februari 2020

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan sebuah keluarga yang berpindah ke kawasan rumah agam Heelshire Mansion tanpa menyelidik sejarah hitam yang berlaku di kawasan tersebut. Mereka berpindah ke kawasan tersebut untuk menghilangkan rasa trauma serta ketakutan disebabkan kejadian rumah mereka dimasuki perompak secara rambang. Sewaktu berada di kawasan Heelshire Mansion, anak lelaki mereka bernama Jude telah menjumpai sebuah anak patung berupa manusia bernama Brahms. Kejadian aneh mula berlaku apabila Jude dilihat berkawan dan bercakap dengan anak patung yang menakutkan itu. Saksikan filem ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Februari 2020 untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem seram ngeri berjudul Brahms: The Boy II yang merupakan sekuel kepada filem The Boy di TGV The Mines pada 20 Februari 2020 yang lepas. Jika dilihat kepada filem pertamanya, penonton diperlihatkan dengan kisah anak patung lelaki bernama Brahms yang sememangnya hanya sekadar sebuah anak patung yang dikawal oleh seorang lelaki yang mengalami masalah psikologi. Jadi, adakah pengalaman penonton filem pertama akan terjejas apabila menonton filem sekuel ini dimana kisahnya menyatakan bahawa Brahms sememangnya merupakan sebuah anak patung yang mempunyai roh jahat dan hidup?


Tidak dinafikan filem Brahms: The Boy II ini dimulakan dengan kisah keluarga yang bahagia dimana watak kanak-kanak lelaki bernama Jude dilihat sememangnya suka menakutkan ibunya di rumah sebelum satu kejadian rambang rompakan mengubah sikap ibunya serta Jude sendiri. Walaupun masalah ini disokong dengan adegan-adegan yang melibatkan pertemuan dengan pakar psikologi namun ia dilihat tidak lebih sekadar satu idea kitaran lama untuk mengesahkan bahawa apa yang diceritakan ini adalah benar dan meyakinkan. Hakikatnya, perkara ini dilihat tidak kuat di dalam mengekalkan perwatakan Jude dan ibunya pada tahap yang terlalu rumit. Keputusan yang diambil untuk berpindah ke kawasan baru yang sebegitu seram juga dilihat bercelaru dengan tujuan perpindahan itu dilakukan iaitu untuk menghilangkan trauma yang dialami oleh dua orang anak beranak ini.


Filem Brahms: The Boy II kali ini juga menampilkan perubahan plot buat anak patung Brahms pada penceritaan kali ini. Penonton ditunjukkan bukti bahawa Brahms sememangnya mempunyai semangat jahat yang mengawal pemilik yang menjumpai dan menyayanginya. Namun, perkara ini dilihat agak bercanggah dengan kisah asal dimana usaha untuk memasukkan semula babak-babak imbas kembali pada filem terdahulu untuk menyokong plot cerita juga dilihat lemah. Tiada tujuan jelas tentang dendam Brahms serta mangsa-mangsa terdahulu atau terbarunya serta bagaimana pada awalnya anak patung ini boleh ditemui di dalam tanah. Hal-hal ini lah yang membuatkan filem ini tidak lebih hanya sekadar untuk menakutkan penonton dengan teknik-teknik jump scare serta permainan kamera yang diakui berjaya memberikan kejutan dari segi elemen seram buat mereka yang menonton. Selebihnya adalah kabur dan agak mengelirukan.


Jadi, selamat menonton filem Brahms: The Boy II di pawagam seluruh Malaysia bermula pada 20 Februari 2020 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tamil Berjudul Mafia Chapter 1. Nantikan Ulasannya!

Catat Ulasan

0 Ulasan