Review Filem Ah Girls Go Army

 

Filem:
Ah Girls Go Army 

Penilaian:
9/10

Pengarah:
Jack Neo

Genre:
Komedi & Drama

Pelakon:
Apple Chan, Ke Le, Xixi Lim, Glenn Yong, Belle Chua Bei Er & Etc.  

Pengedar:
MM2 Entertainment

Tarikh Tayangan:
1 Februari 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan bagaimana jika negara Singapura tidak mempunyai bilangan penduduk lelaki yang cukup untuk menjadi tentera. Jadi, kaum wanita dipilih dan dilatih untuk berkhidmat dengan negara Singapura. Namun, cabaran untuk melatih kumpulan pertama wanita yang direkrut daripada pelbagai latar belakang dan pendidikan yang berbeza sememangnya memeningkan Sarjan Chow dan Leftenan Roxanne. Pelbagai cabaran baru yang harus ditempuhi oleh kumpulan pelatih wanita ini dengan pelbagai insiden tidak dijangka berlaku dan merapatkan lagi hubungan sesama mereka. Saksikan filem yang cukup melucukan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 1 Februari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada MM2 Entertainment untuk menonton sebuah filem komedi yang betul-betul mencuit hati iaitu Ah Girls Go Army yang berlangsung dengan cukup meriah di MBO Atria Petaling Jaya pada 25 Januari 2022 yang lepas. Selepas kejayaan luar biasa siri filem Ah Boys to Men, pengarah filem terkenal Singapura iaitu Jack Neo sekali lagi tampil dengan filem terbarunya sempena sambutan Tahun Baru Cina 2022 iaitu Ah Girls Go Army. Secara jujurnya, kami sangat terhibur dengan buah tangan baru pengarah ini yang sangat menggelikan hati bermula daripada awal filem sehingga kepada pengakhirannya.


Melalui pencarian kami tentang filem ini, terdapat satu info menarik yang kami peroleh dimana kebanyakan pelakon wanita yang terlibat di dalam filem Ah Girls Go Army ini tidak mempunyai asas ketenteraan. Jadi, apabila melihat lakonan mereka yang kami boleh nyatakan sangat bertenaga dan penuh dengan stamina, maka kami boleh tegaskan disini bahawa sesi pemilihan pelakon yang dijalankan benar-benar berjaya mencari pelakon yang diperlukan untuk menepati kehendak setiap watak yang ada di dalam filem ini.


Sebenarnya agak sukar untuk melihat filem yang tampil dengan berbelas watak mampu memberi keadilan kepada watak-watak tersebut untuk menyinar di dalam penceritaannya. Namun ianya berbeza sewaktu kami menonton filem Ah Girls Go Army ini dimana setiap watak-watak diberi pesona yang tersendiri dan mampu diingati serta disukai oleh setiap penonton walaupun adegan yang melibatkan sesetengah watak tidak banyak. Disinilah keistimewaan dan kekuatan terbesar filem ini dimana watak-watak yang ada dilihat sangat hidup, unik, melucukan dan boleh dipercayai kewujudannya.


Pelakon utama filem ini iaitu Ke Le yang merupakan anak jati Johor Bahru dan membawakan watak Princess See, seorang anak perempuan daripada keluarga yang kaya raya namun gagal bertutur dengan baik di dalam bahasa Inggeris sememangnya merupakan tunjang utama filem ini. Kemunculannya pasti memberi impak yang sukar untuk dilupakan dimana kelucuan watak ini bukan sahaja disebabkan dialog Inggeris yang sukar difahami tetapi juga bahasa tubuh, reaksi wajah dan emosi yang sangat bersifat gila-gila berjaya menggamatkan suasana.


Watak-watak lain juga tidak kurang hebatnya dimana setiap watak sebenarnya berjaya mencipta aura mereka tersendiri untuk menjadikan filem ini sangat berwarna-warni. Kisah-kisah sebahagian wataknya berjaya dikembangkan dengan cukup baik untuk membuatkan kita lebih memahami tentang apa yang terjadi kepada setiap daripada mereka. Ada juga watak yang masih belum dikembangkan kisah hidupnya tetapi tetap berjaya menonjol dengan baik terutama watak pelatih sasa yang dilakonkan oleh Kelly Kimberly Cheong. Susuk tubuhnya yang sangat tegap dan seakan-akan lelaki selalu berjaya menarik perhatian penonton untuk berasa teruja saat kemunculannya di layar kaca. Tidak perlu berdialog panjang dan cukup dengan mimik wajah serta pergerakan sahaja sudah membuatkan penonton tergelak besar dengan aksi-aksi pelakon ini yang diluar jangkaan. 


Sememangnya filem Ah Girls Go Army ini akan membawa kita melihat bagaimana perubahan wanita-wanita yang sebelum ini sangat mementingkan kecantikan dan terpaksa berkorban sedikit demi sedikit untuk melepaskan apa yang mereka sayangi sebelum ini seperti rambut yang panjang serta kuku tangan dan kuku kaki yang cantik. Selain itu, penonton akan dipertontonkan dengan disiplin tentera yang sebenarnya sangat bagus untuk diamalkan di dalam kehidupan seharian kita kerana ia membawa satu perubahan yang sangat positif. Mesej-mesej lain terutama berkaitan kehidupan juga turut disuntik masuk ke dalam penceritaan dan bijak disampaikan secara komedi membuatkan filem ini boleh dikatakan sebagai salah sebuah filem komedi paling menjadi pada tahun 2022 ini pada pandangan kami. Filem ini sememangnya sebuah filem komedi ringan namun hasil keseluruhannya sangat memukau. Berbaloi anda laburkan wang untuk menonton filem ini di pawagam pada Tahun Baru Cina 2022.


Jadi, selamat menonton filem komedi Ah Girls Go Army yang akan mula ditayangkan pada 1 Februari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tamil Yang Cukup Menarik Berjudul Sila Nerangalil Sila Manidhargal! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan