Review Filem Sila Nerangalil Sila Manidhargal

 

Filem:
Sila Nerangalil Sila Manidhargal 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Vishal Venkat

Genre:
Drama

Pelakon:
Ashok Selvan, Abi Hassan, Manikandan, Praveen Raja & Etc.  

Pengedar:
Lotus Five Star

Tarikh Tayangan:
28 Januari 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan kehidupan empat orang daripada pelbagai lapisan masyarakat yang terjejas akibat satu insiden kemalangan jalan raya yang membawa bencana kepada mereka berempat namun pada masa yang sama membuka mata mereka untuk melihat kebenaran yang tersembunyi. Penyesalan, kekecewaan dan keinsafan yang dilalui oleh watak-watak ini menjadikan intipati filem ini cukup menarik untuk ditonton. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 28 Januari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Lotus Five Star untuk menonton sebuah filem Tamil yang menarik iaitu Sila Nerangalil Sila Manidhargal yang berlangsung dengan cukup meriah di LFS PJ State pada 27 Januari 2022 yang lepas. 


Apa yang membuatkan kami tertarik dengan filem ini ialah intipati yang disajikan dimana ia memaparkan tentang bagaimana hubungan antara generasi kini dengan bapa masing-masing. Selalunya kita kerap dipertontonkan mengenai hubungan anak dan ibu sehinggakan adakalanya masing-masing terlupa tentang peranan dan perasaan seorang bapa. Namun, filem ini akan membuatkan penonton dapat menelusuri hati seorang bapa yang berhadapan dengan anak yang bersifat dan berfikiran egois. Ada dua kisah pemuda disini yang memaparkan hubungan anak lelaki dan bapa dimana kedua-duanya mempunyai latar kisah yang berlainan namun menampilkan masalah perhubungan yang sama. Kisah pertama menceritakan bagaimana seorang pemuda ini merasakan bapanya seorang yang terlalu mengongkong dan menganggap nasihat ayahnya sebagai satu bentuk leteran walaupun hakikatnya bukan. Kisah ini sangat menarik dan menuntut kita yang masih mempunyai bapa agak menghargai mereka sementara mereka masih ada. Kisahnya agak menyayat hati kerana ia memaparkan realiti apa yang terjadi pada hari ini yang secara tidak langsung berjaya menyampai mesej dengan cukup tepat sekali ke hati penonton.


Kisah kedua juga menarik apabila memaparkan bagaimana kepercayaan seorang anak yang belajar dan hidup di negara luar yang lebih moden berbanding India terlalu berfikiran terbuka dan menganggap prinsip ayahnya adalah kolot. Tidak dinafikan apa yang diperkatakan oleh si anak ini ada betulnya namun berbalik semula kepada pegangan yang dinyatakan oleh si ayahnya yang menyatakan fahami dulu konteks penduduk, agama dan kepercayaan pelanggan mahu pun penonton anda itu bersifat apa. Dari sudut ini, pepatah siapa makan garam dahulu boleh diguna pakai dimana sebagai seorang anak muda yang masih berdarah panas, pandangan mereka lebih kepada sehala berbanding generasi veteran yang melihat satu perkara di dalam pandangan yang bercabang-cabang. Kisah ini juga menarik untuk kita memahami sendiri erti kematangan sebenar di dalam berfikir.


Begitu juga dengan dua kisah yang lain yang ada intipati tersendiri dimana pada akhirnya keempat-empat kisah ini digabungkan dengan cukup cantik untuk memberi satu nilai pengajaran yang pada kami sangat bagus dan penuh inspirasi. Sebuah filem kekeluargaan yang memperkenalkan elemen kasih sayang berharga yang wajar dihayati dan dihargai oleh para penonton. Kami sangat gembira untuk mencadangkan filem ini sebagai sebuah filem wajib tonton buat mereka yang menggemari filem bergenrekan kekeluargaan. Pasti berbaloi dan membuatkan anda bermuhasabah diri selepas keluar dari pawagam.


Jadi, selamat menonton filem Sila Nerangalil Sila Manidhargal yang mula ditayangkan pada 28 Januari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Siri Netflix Menarik Dari Korea Selatan Berjudul All Of Us Are Dead! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.


Catat Ulasan

0 Ulasan