Review Siri Netflix : All Of Us Are Dead

 

Siri Netflix:
All Of Us Are Dead

Penilaian:
7/10

Pengarah:
J.Q. Lee & Kim Nam-Soo

Penulis:
Seong-il Cheon

Genre:
Aksi, Drama & Fantasi

Pelakon:
Park Ji-hu, Yoon Chan-young, Cho Yi-hyun, Harrison Xu, Victoria Grace, Park Solomon,
Lee Yoo Mi, Yoo In Soo, & Etc.

Jumlah Episod:
12

Tarikh Tayangan:
28 Januari 2022

Sinopsis:
Kisah ini diadaptasi dari webkomik popular dan mengisahkan sekumpulan pelajar yang terperangkap di sebuah sekolah yang dijangkiti virus zombi sehingga mereka perlu membuat keputusan ekstrem untuk meloloskan diri. Apa yang menakutkan apabila terdapat mereka yang dijangkiti virus zombi tetapi bermutasi menjadi lebih kuat dan ini menjadi penghalang terbesar sekumpulan pelajar yang terselamat untuk meloloskan diri. Berjayakah mereka mencari tempat yang selamat dan mengelakkan dari terkena jangkitan virus tersebut? Saksikan siri All Of Us Are Dead yang menarik ini di saluran Netflix anda sekarang.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah siri Netflix dari Korea Selatan yang cukup menarik dan menjadi sebutan ramai iaitu All Of Us Are Dead yang mula ditayangkan pada 28 Januari 2022 yang lepas. Mempunyai 12 episod yang mana setiap episod berdurasi sekitar 1 jam. Apa yang kami boleh katakan bahawa siri dari Korea ini sekali lagi memaparkan tentang keganasan serangan zombi. Zombi yang masih sama dimana peka pada bunyi-bunyian cuma ianya lebih ganas berbanding siri mahu pun filem bertema zombi yang pernah diterbitkan sebelum ini. 


Apa yang membuatkan siri All Of Us Are Dead ini kelihatan istimewa disebabkan beberapa mesej dan kritikan yang dilemparkan sejak daripada awal dan ianya berjaya dikekalkan sehingga kepada episod terakhir kisah ini. Tema utama yang cuba disampaikan ialah berkenaan isu buli yang sebenarnya turut sama menjadi masalah utama di Korea Selatan melibatkan pelajar-pelajar mereka. Isu ini bijak disampaikan di dalam kronologi kisahnya dan bagaimana kesannya terhadap mangsa-mangsa buli ini dipaparkan disaat mereka perlu membuat keputusan sama ada untuk membantu orang lain atau hanya melepaskan diri mereka semata-mata. Pada kami, mesej tersebut sampai dimana keburukan masalah buli ini akan memberi kesan yang lebih teruk bukan sahaja kepada mangsa buli yang terlibat tetapi juga si pembuli yang sebenarnya kurang keyakinan diri. Namun, tidak dinafikan terdapat beberapa adegan yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak sehingga menimbulkan reaksi ramai pihak yang membantah adegan sebegitu. Namun, itulah sebenarnya yang banyak terjadi di pelbagai negara lain dan kami merasakan isu taboo sebegini sememangnya sukar untuk diterima dan dihadam walaupun hakikatnya ia benar-benar berlaku.


Tidak dinafikan siri All Of Us Are Dead ini sentiasa berjaya menimbulkan rasa cemas kepada penonton sewaktu menyaksikan usaha mereka untuk cuba menyelamatkan diri dan berpindah dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain. Kemunculan zombi-zombi yang mengganas sememangnya berjaya membuatkan kami turut sama berasa gerun seperti mana yang ditonjolkan oleh watak-watak yang terlibat di dalam siri ini. Pergerakan setiap zombi sama ada sewaktu baru bertukar atau semasa kejar mengejar sememangnya cukup mengagumkan, kejam dan sangat meyakinkan. Cuma adakalanya momentum penceritaan filem agak meletihkan kami secara emosi untuk melihat beberapa watak yang dilihat penting di dalam struktur penceritaan hilang satu persatu tanpa dijangka. Senang cakap siri ini sangat berani untuk mengetengahkan para pelakon yang tidak terlalu dikenali tetapi berbakat besar dan berjaya tampil dengan lakonan yang cukup memberi kesan dan melekat di hati penonton. Apa yang lebih berani, siri ini juga turut tidak segan silu untuk mematikan watak-watak yang menjadi kesayangan penonton dan itulah yang membuatkan siri ini lain daripada kebiasaan kisah-kisah zombi yang lain.


Lebih membuatkan kami berasa teruja dengan siri All Of Us Are Dead ini ialah bagaimana kreativiti pihak produksi untuk menjadikan setiap episod sentiasa bermakna dan dinanti-nantikan. Lihat sahaja setiap misi kumpulan pelajar ini yang cuba menyelamatkan diri dari satu lokasi ke satu lokasi yang jaraknya sangat dekat tetapi dengan pelbagai cara yang cukup kreatif. Daripada situasi ini juga mewujudkan beberapa krisis dalaman di antara kumpulan pelajar ini dan bagaimana mereka menyelesaikan setiap masalah mengikut cara remaja berfikir. Jadi, kami melihat setiap apa yang terjadi ini kelihatan logik dan masuk akal kerana kisahnya berjalan berpaksikan akal fikiran kumpulan remaja itu sendiri. Selain itu, tidak dilupakan beberapat kritikan sosial lain serta elemen kekeluargaan yang sememangnya menjadi resipi wajib untuk digunakan di dalam mana-mana siri drama mahu pun filem Korea untuk menjadikan siri All Of Us Are Dead ini penuh dengan permainan emosi yang meruntun jiwa. Masih menarik serta menghiburkan untuk ditonton!


Jadi, selamat menonton siri All Of Us Are Dead di saluran Netflix anda sekarang. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap siri ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah ?! Nantikan Ulasan Tersebut Dalam Waktu Terdekat!


Catat Ulasan

2 Ulasan

  1. Cerita ni memang gila.

    Tapi ending tergantung sangat. Haha.

    Sapa minat nak berikan teddy bear besar murah dan berkualiti dekat yang tersayang, jom singgah online shop kami.

    BalasPadam