Review Filem New Kung Fu Cult Master 1

 

Filem:
New Kung Fu Cult Master 1 

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Wong Jin & Keung Kwok Man

Genre:
Aksi

Pelakon:
Raymond Lam Fung, Janice Man, Donnie Yen, Louis Koo, Sabrina Qiu & Etc.  

Pengedar:
Lotus Five Star

Tarikh Tayangan:
1 Februari 2022

Sinopsis:
Filem yang dibuat berdasarkan novel klasik karya penulis terkenal Louis Cha berjudul 'The Heaven Sword And Dragon Saber' ini mengisahkan semua kumpulan seni mempertahankan diri yang telah berjuang selama beberapa dekad untuk mendapatkan dua senjata lagenda iaitu Dragon Saber dan Heavenly Sword. Dikatakan terdapat rahsia besar dalam kedua-dua senjata ini dimana sesiapa yang memiliki senjata tersebut akan memiliki kedaulatan dalam dunia persilatan. Xie Xun yang merupakan "Raja Singa Emas" dari Mazhab Ming telah membuat pelbagai perkara sehingga menimbulkan banyak musuh dalam usahanya merampas Pedang Naga. Manakala Zhang Cui Shan pula telah dipaksa oleh Six Major Sects untuk mendedahkan lokasi Xie Xun. Namun Cui Shan mati dibunuh kerana keenganannya mendedahkan rahsia. Tetapi, anak lelaki tunggal Cui Shan Zhang iaitu Wuji berjaya diselematkan dan Wuji telah membawa lari Scripture of the Great Yang untuk dipelajarinya sendiri. Kini Wuji kembali untuk membetulkan kembali keadaan yang semakin kucar-kacir. Mampukah Wuji melaksanakan misinya? Saksikan filem aksi yang cukup hebat ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 1 Februari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada Lotus Five Star untuk menonton sebuah filem aksi yang cukup menarik berjudul New Kung Fu Cult Master 1 yang berlangsung dengan cukup meriah di MBO Atria Petaling Jaya pada 25 Januari 2022 yang lepas. Untuk makluman semua, filem aksi ini merupakan sebuah filem remake yang pernah dihasilkan sebelum ini pada tahun 1993 dan disasarkan sebagai sebuah filem aksi blokbuster yang ditayangkan sempena Tahun Baru Cina 2022 ini.


Bagi penggemar filem seni bela diri berbentuk kungfu pastinya filem New Kung Fu Cult Master 1 ini adalah filem yang anda nanti-nantikan. Kami secara jujurnya memang datang menonton filem ini tanpa membaca sinopsis mahu pun menonton sebarang trailer video filem ini. Semestinya kami sangat terkejut kerana filem ini sememangnya sangat menghiburkan. Hiburan disini bukan sekadar koreografi aksi kungfu yang cukup menarik dan meyakinkan tetapi juga kerana kronologi penceritaan yang disampaikan dengan cukup kemas membuatkan keseluruhan filem ini sentiasa memberikan satu pengalaman baru buat penonton untuk mengikuti perjalanan watak utamanya di dalam menyelesaikan misinya.


Selain lakonan bersahaja dan berkesan yang ditonjolkan oleh pelakon Raymond Lam Fung, kemunculan pelakon hebat seperti Donnie Yen dan Louis Koo di dalam filem New Kung Fu Cult Master 1 juga turut menarik perhatian kami. Pelakon Donnie Yen sememangnya tampil dengan penampilan yang sangat berbeza namun berjaya menampilkan karakter seorang lelaki tua dengan jayanya. Terdapat banyak lagi watak-watak lain di dalam filem ini yang sememangnya mempunyai kepelbagaian karakter yang unik dan boleh diingati walaupun sehingga anda keluar daripada panggung wayang nanti.


Secara keseluruhan, filem New Kung Fu Cult Master 1 ini memang dipenuhi pelbagai aksi kungfu yang menarik serta disuntik dengan elemen kekeluargaan dan sedikit kisah cinta yang membuatkan filem ini kelihatan menarik daripada setiap sudut. Kami sendiri tidak sabar untuk menanti sekuel filem ini yang kemungkinan besar akan keluar pada tahun hadapan. Apa yang pasti peminat filem aksi kungfu pasti tidak akan menyesal andai anda menonton filem ini di pawagam nanti.


Jadi, selamat menonton filem New Kung Fu Cult Master 1 yang akan mula ditayangkan pada 1 Februari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Yang Sangat Kelakar Dari Singapura Iaitu Ah Girls Go Army! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.


Catat Ulasan

0 Ulasan