Review Filem House Of Gucci

 

Filem:
House Of Gucci 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Ridley Scott

Genre:
Drama & Jenayah

Pelakon:
Lady Gaga, Adam Driver, Jared Leto, Jeremy Irons, Jack Huston, Salma Hayek, Al Pacino & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
13 Januari 2022

Sinopsis:
Filem ini diilihankan daripada kisah sebenar yang mengejutkan ramai pihak berkaitan tentang empayar sebuah keluarga disebalik jenama Gucci. Pelbagai kisah percintaan, pengkhianatan, dendam dan kejatuhan empayar sehingga menyaksikan terjadinya pembunuhan akan membawa penonton untuk menyaksikan erti sebenar percintaan dan hubungan keluarga yang berlaku di dalam kisah House Of Gucci ini. Saksikan filem yang menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 13 Januari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures Malaysia untuk menonton sebuah filem yang sangat menarik iaitu House Of Gucci yang berlangsung di GSC Tropicana Gardens pada 4 Januari 2022 yang lepas. 


Filem House Of Gucci ini telah mengangkat sebuah kisah menarik tentang pewaris jenama fesyen terkenal iaitu Maurizio Gucci yang telah mengejutkan dunia khasnya rakyat Itali apabila mati ditembak pada bulan Mac 1995 di luar pejabatnya. Kisah sensasi ini sebelum ini telah dibukukan pada tahun 2021 dengan tajuk The House of Gucci: a Sensational Story of Murder, Madness, Glamour and Greed.


Namun menariknya filem House Of Gucci ini lebih memberi fokus kepada watak Patrizia Reggiani yang merupakan perancang utama pembunuhan Maurizio Gucci yang merupakan bekas suaminya. Kisah ini agak menarik untuk dilihat kerana watak Patrizia Reggiani ini bukannya bersifat pisau cukur tetapi perubahan kehidupan yang berlaku membuatkan sifat dirinya berubah dan terlalu mementingkan perniagaan Gucci berbanding jiwa suaminya. Apa yang dilakukannya itu sebenarnya tidak salah dan ia sebenarnya membantu Maurizio Gucci untuk membawa jenama Gucci menjadi lebih berjaya namun tahap obses yang dialami Patrizia boleh dikategorikan di tahap yang agak menakutkan. Jadi fasa-fasa perubahan yang berlaku di dalam hubungan mereka berdua ini melalui pemahaman dan kepercayaan setiap watak ini sememangnya menarik perhatian kami sepanjang menonton filem ini.

Namun sayangkan kami merasakan filem House Of Gucci ini terlalu gopoh pada beberapa bahagian sehingga menimbulkan beberapa lompong pada jalan ceritanya dan menyebabkan ada beberapa adegan yang sepatutnya menarik dan memberi gagal dikembangkan dengan lebih baik menyebabkan ianya tidak berhubung antara satu sama lain. Sebagai contoh watak Maurizio sendiri yang pada awalnya ditunjukkan tidak mempunyai minat langsung terhadap perniagaan keluarganya sebelum tiba-tiba kelihatan begitu beria-ia tanpa sebab yang jelas. Begitu juga dengan hubungan kekeluargaan dalam keluarga Gucci yang penuh dengan kesangsian, ketamakan dan pengkhianatan namun tidak diolah dengan baik dan kelihatan terlalu terkejar-kejar.


Namun, pujian harus diberikan kepada barisan utama filem House Of Gucci ini terutamanya Jared Letto yang membawa watak Paolo Gucci dimana pelakon ini berjaya memberikan satu sisi kelainan dan kejutan yang cukup mengagumkan daripada fizikal serta jiwa lakonan. Begitu juga Lady Gaga dan Adam Driver yang berjaya membawa dua perwatakan yang berbeza di dalam watak yang dilakonkan mereka dengan cukup meyakinkan. Cuma mungkin terdapat sedikit gangguan daripada segi loghat Itali yang dimasukkan di dalam pertuturan bahasa Inggeris mereka yang dilihat adakalanya seperti kurang kena atau ianya kedengaran sedikit janggal pada pendengaran kami. Namun, secara keseluruhannya filem ini sangat menarik dan menghiburkan untuk kita lebih mengetahui tentang keluarga asal yang mengasaskan jenama Gucci sebelum ianya bertukar tangan kepada pihak lain.


Jadi, selamat menonton filem House Of Gucci yang akan mula ditayangkan pada 13 Januari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Berjudul Nightmare Alley! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

0 Ulasan