Review Filem Scream

 

Filem:
Scream 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Matt Bettinelli-Olpin & Tyler Gillett

Genre:
Seram, Misteri & Ngeri

Pelakon:
Melissa Barrera, Kyle Gallner, Mason Gooding, Mikey Madison, Dylan Minnette,
Jenna Ortega, Marley Shelton, Courteney Cox, David Arquette, Neve Campbell & Etc.  

Pengedar:
United International Pictures

Tarikh Tayangan:
20 Januari 2022

Sinopsis:
Filem ini merupakan filem kelima daripada francais filem Scream dan mengisahkan seorang wanita bernama Sam Carpenter yang kembali pulang ke kediaman lamanya untuk menyelamatkan adiknya Tara yang diserang oleh seorang pembunuh bersiri bertopeng. Tanpa disangka kedatangan wanita ini sememangnya dinanti-nantikan oleh pembunuh bersiri tersebut. Siapakah pembunuh bersiri itu? Mampukah Sam menyelamatkan Tara? Saksikan filem yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 20 Januari 2022 untuk mengetahui jawapannya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada United International Pictures untuk menonton sebuah filem yang cukup menarik berjudul Scream yang berlangsung di GSC Starling Mall pada 19 Januari 2022 yang lepas. Buat penggemar francais filem Scream pastinya menyedari bahawa filem terakhir sebelum ini iaitu filemnya yang keempat kali terakhir ditayangkan di pawagam sekitar tahun 2011. Jadi, kami sendiri pada awalnya tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi buat filem ini memandangkan agar sukar untuk filem francais memberikan rasa teruja yang sama seperti mana filem pertama dan filem keduanya. Tetapi, secara jujurnya jangkaan kami meleset kerana filem kelima Scream ini sememangnya sangat menghiburkan dan berjaya menaikkan adrenalin kami untuk berasa teruja dengan adegan gore dan seramnya yang menyatu dengan baik.


Seperti biasa perkara pertama yang membuatkan filem Scream ini menarik untuk ditonton kerana plot penceritaannya yang berjaya mengelirukan penonton untuk sama-sama bermain teka-teki tentang siapakah pembunuh sebenar di kalangan watak-watak yang ada pada filem kali ini. Banyak klu diberi kepada penonton untuk meneka pembunuh sebenar dan kami akui ianya memberikan rasa teruja yang hampir sama seperti mana filem pertama dan semestinya cukup menghiburkan. Ada tekaan kami yang betul dan ada juga yang meleset. Namun inilah keistimewaan filem-filem berkonsep sebegini dimana walaupun ianya hanya sesuai ditonton sekali sahaja tetapi biarlah keseluruhannya berbaloi dengan waktu tontonan yang telah diperuntukkan. Memang dari sudut ini tidak timbul sebarang rasa penyesalan daripada kami.


Seterusnya ialah gabungan pelakon baru dan pelakon lama daripada francais filem Scream terdahulu juga berjaya mengimbau nostalgia yang menarik namun harus juga diakui filem ini juga telah diberikan sebuah nafas baru yang memberikan hasil yang cukup menarik dan segar. Unsur sarkastik humor yang dimasukkan di dalam sebahagian babak filem ini juga berjaya menggeletek hati kami untuk sentiasa setia menonton filem ini sehingga ke penamat. Perkara ini sebenarnya yang cuba diguna pakai di dalam filem The Matrix: Resurrections sebelum ini tetapi menemui kegagalan. Namun, filem Scream pula berbeza dimana formula yang diguna pakai adalah sama tetapi memberi satu kejayaan yang agak besar buat filem ini untuk diingati sebagai salah sebuah filem francais yang cukup menghiburkan.


Adegan gore yang dipaparkan di dalam filem Scream agak mengerikan tetapi secara tidak langsung ianya bertepatan dengan klasifikasi filem ini yang diletakkan untuk tontonan penonton berumur 18 tahun dan ke atas. Cuma apa yang sentiasa menghairankan kami sebagai penonton yang berstatus warganegara Malaysia ialah walaupun filem ini telah ditakrifkan dengan katageri tersebut namun masih terdapat potongan babak-babak gore serta dialog-dialog yang telah dipadamkan audio suara yang sebenarnya sangat mengganggu tontonan. Cadangan kami supaya pihak LPF boleh membuat klasifikasi tontonan untuk penonton berumur 21 tahun dan ke atas serta mengelakkan daripada mencacatkan sesebuah filem sebegini dengan potongan babak mahu pun didiamkan audio suara untuk dialog-dialog tertentu. Sudah terang lagi bersuluh filem yang berstatus tontonan 18 tahun ke atas ini tidak mempunyai penonton cilik di dalam panggung. Jadi, apa yang perlu dirisaukan?


Secara keseluruhan, kami sangat berpuas hati dengan filem Scream ini yang berjaya mengumpan penonton untuk bersama-sama menyelesaikan teka-teki yang telah disusun dengan cukup kemas sejak daripada awal penceritaan sehingga kepada pengakhiran kisahnya. Jika ditanya pandangan kami adakah berbaloi menonton filem ini di pawagam dan kami bersetuju untuk menyatakan ianya berbaloi dan semestinya menghiburkan terutama buat peminat francais filem Scream dan yang meminati filem bergenre seram serta ngeri.


Jadi, selamat menonton filem Scream yang akan mula ditayangkan pada 20 Januari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Mandarin Tempatan Berjudul Small Town Heroes! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

2 Ulasan