Review Filem Small Town Heroes

 

Filem:
Small Town Heroes 

Penilaian:
7/10

Pengarah:
Ryon Lee

Genre:
Drama

Pelakon:
Jack Lim, Layla Sania, Phua Chandler, Roger Shak, Yuan Teng & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
3 Februari 2022

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan suka duka kehidupan dua kanak-kanak lelaki bernama Hero dan Feng yang tinggal di sebuah rumah anak yatim. Banyak perkara yang dilalui oleh mereka berdua yang membuatkan mereka lebih matang dan rapat antara satu sama lain. Namun, satu peristiwa telah berlaku dan mengubah kehidupan mereka berdua. Apakah sebenarnya yang terjadi? Saksikan filem yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 3 Februari 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.
 
Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada GSC Movies untuk menonton sebuah filem tempatan berbahasa Mandarin iaitu Small Town Heroes yang berlangsung di GSC Starling Mall pada 20 Januari 2022 yang lepas.


Secara jujurnya kami terhibur menonton filem Small Town Heroes ini apabila dapat melihat sisi kehidupan dan pandangan dua kanak-kanak lelaki yang berbeza tetapi pada akhirnya ianya dapat digabungkan dengan kemas dan tersusun pada pengakhiran cerita. Kisahnya agak ringkas tetapi momen-momen yang dimasukkan di dalam kisah kehidupan dua kanak-kanak boleh dikatakan sangat dekat dengan ramai orang yang pernah mempunyai pengalaman duduk beramai-ramai di hostel mahu pun rumah-rumah kebajikan. Jadi, hal ini akan membuatkan penonton yang pernah melalui frasa kehidupan ini akan merasa lebih dekat dan memahami apa yang dirasakan oleh dua watak utama di dalam filem yang menarik ini.


Filem Small Town Heroes ini pada asasnya berjaya mengubah sesuatu perkara yang negatif kepada positif dan kami berpandangan filem ini sangat sesuai ditonton oleh generasi cilik. Ia memberikan satu inspirasi menarik dimana ianya berjaya memupuk kesedaran dan memberikan satu semangat buat anak muda untuk tidak pernah menyerah kalah, menyalahkan takdir dan sentiasa mengejar cita-cita mereka dengan cara yang betul dan berhemah. Ini apa yang kami dapat rasakan usai menonton keseluruhan filem ini.


Lebih menarik apabila kemunculan pelakon Layla Sania yang petah berbicara Mandarin menjadikan filem ini lebih berwarna-warni dimana penglibatan pelakon berbangsa Melayu sangat membantu menjadikan filem ini lebih berjiwa Malaysia. Melihat lakonannya yang segar dan tidak kelihatan terlalu kekok serta tampak mesra kanak-kanak membuatkan pembangunan watak dan karakternya menjadi kuat dan boleh dipercayai. Selain itu, lakonan kanak-kanak cilik di dalam filem ini juga sangat semulajadi dan begitu meyakinkan untuk membuatkan kami sentiasa terhibur melihat keletah mereka yang melucukan.


Cuma kami merasakan plot penceritaan filem ini agak mudah diramal dan ada beberapa bahagian yang kelihatan agak tergesa-gesa menjadikan sebahagian besar filem ini kelihatan terlalu ringan. Namun mesej yang cuba disampaikan tetap bagus dan semestinya filem ini berjaya menampilkan keharmonian masyarakat yang cukup membahagiakan untuk ditonton. Disamping itu pemilihan lokasi yang indah serta sinematografi yang menarik memberi nilai bonus buat filem ini dan ianya wajar diberikan pujian. Tahniah buat semua pelakon dan krew produksi yang terlibat di dalam menghasilakn filem Small Town Heroes yang cukup menghiburkan ini.


Jadi, selamat menonton filem Small Town Heroes yang akan mula ditayangkan pada 3 Februari 2022 ini. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tempatan Berjudul Nasi Lemak 1.0! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat.

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. tq hanis utk review nya.
    and tahniah ye krn dpt sponsored wayang :)

    BalasPadam