Review Filem One Piece Film: Red

 

Filem:
One Piece Film: Red

Penilaian:
8/10

Pengarah:
Goro Taniguchi

Genre:
Anime

Pelakon:
Mayumi Tanaka, Kazuya Nakai, Akemi Okamura, Kappei Yamaguchi & Etc.  

Pengedar:
GSC Movies

Tarikh Tayangan:
22 September 2022

Sinopsis:
Filem anime ini mengisahkan Luffy dan rakan-rakan menghadiri sebuah konsert muzik yang terletak di Pulau Elegia. Konsert hebat tersebut menampilkan penyanyi hebat dan dikenali ramai bernama Uta dan lokasi tersebut menjadi tempat pertemuan Luffy dan Uta. Namun satu rahsia besar terbongkar apabila mereka mengetahui Uta merupakan anak kepada Shanks yang menjadi inspirasi Luffy. Lebih mengejutkan apabila sikap Uta terhadap Luffy dan lain-lain mula berubah gara-gara rahsia yang terbongkar ini. Saksikan filem anime yang cukup menghiburkan ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 22 September 2022 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem anime yang menjadi kegilaan ramai iaitu One Piece Film: Red sempena Fan's Screening yang berlangsung dengan cukup meriah pada 3 September 2022 di GSC pARADIGM Mall Petaling Jaya. Terima kasih kepada Miharu Kenshin dan GSC Movies atas peluang ini.


Secara jujurnya, kami bukan lah peminat anime One Piece. Menariknya adalah ini merupakan kali pertama kami menonton filem One Piece Film: Red tanpa menonton siri anime ini. Ironinya, kami sangat terhibur dengan keseluruhan filem ini yang sangat menghiburkan. Perkara pertama yang menarik perhatian kami tentang filem anime ini ialah jalan ceritanya yang sangat mudah difahami walaupun kami langsung tidak tahu menahu tentang perihal setiap watak mahu pun jalan cerita kisah lain sebelum ini. Filem ini bijak menceritakan secara ringkas sejarah lampau watak Uta dan Luffy yang membuatkan kami berasa dekat dengan kisah mereka berdua. Gabungan kisah yang menarik serta permainan emosi yang kuat berjaya membuatkan kami merasai kegembiraan dan kesedihan yang dialami oleh kedua-dua watak ini dengan begitu baik sekali.


Selain itu, elemen komikal yang terdapat di dalam One Piece Film: Red ini juga sememangnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Setiap watak tidak kira protagonis mahu pun antagonis mempunyai sisi humor tersendiri yang membuatkan kami ingin tahu lebih lanjut tentang watak-watak yang ada di dalam filem ini. Memang daripada permulaan sehingga penamat filem ini, kami dan penonton lain sentiasa bergelak ketawa dan teruja menyaksikan babak-babak melucukan yang cukup menjadi. Selain itu, permainan plot yang menarik juga berjaya mengejutkan penonton apabila babak-babak yang tidak dijangka muncul dan membuatkan semuanya bersorak kagum dengan gembira. Memang menghiburkan!


Filem One Piece Film: Red juga sememangnya penuh dengan babak-babak aksi yang berjaya menggamatkan panggung dengan sorakan para peminat anime ini yang memang betul-betul teruja dengan setiap babak pertarungan yang ada. Kami juga turut teruja menyaksikan adegan-adegan tersebut yang memang betul-betul boleh dikatakan epik untuk sebuah filem anime. Selain itu, lagu-lagu yang melatari filem kali ini juga sangat menarik dan merdu. Disokong oleh terjemahan sari kata membuatkan kami sememangnya cukup terhibur menonton filem ini. Kalau kami sendiri pun boleh terhibur apatah lagi peminat setia anime One Piece ini.


Jadi, selamat menonton One Piece Film: Red yang ditayangkan bermula pada 22 September 2022. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Tamil Berjudul Cobra! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan