Review Filem Escape

 

Filem:
Escape

Penilaian:
6/10


Pengarah:
Ikhwansha Hazer

Genre:
Aksi, Thriller & Ngeri

Pelakon:
Kamal Adli, Elizabeth Tan, Amar Asyraf, Zamarul Hisham,
Jalaluddin Hassan, Riz Amin, Jue Aziz, Pablo Amirul, Fiza Fukazawa 
& Etc.  

Pengedar:
DMY Creation Sdn Bhd

Tarikh Tayangan:
5 Januari 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan Adam yang terpaksa mendedahkan lokasi cip peranti senjata yang diseludupnya kepada pihak berkuasa apabila dia dituduh sebagai pengganas dan dikurung di dalam sebuah bilik misteri. Malangnya, dia mendapati pihak berkuasa itu sebenarnya adalah kumpulan pengganas yang mempunyai rancangan jahat. Walaupun tidak mengingati apa-apa kerana mengalami amnesia, kini Adam perlu mencari jalan untuk membebaskan diri dari bilik itu dan menyelamatkan dunia sebelum terlambat. Saksikan filem menarik ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 5 Januari 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah menerima jemputan daripada TGV Pictures untuk menonton sebuah filem tempatan berjudul Escape pada 3 Januari 2023 yang lepas di TGV One Utama. Untuk makluman semua, filem ini sepatutnya ditayangkan sekitar 26 Mac 2020 tetapi terpaksa ditangguhkan sehingga baru boleh ditayangkan pada tahun 2023 ini disebabkan pandemik covid-19 serta kapasiti penonton di panggung wayang telah pun pulih kembali.

Kami secara jujurnya memang sudah lama menanti untuk menonton filem bergenre ngeri ini kerana paparan trailer filemnya yang agak menarik dan lain daripada filem-filem Malaysia sebelum ini. Jadi, ada beberapa faktor di dalam filem Escape ini yang boleh katakan memberi satu nafas baru yang segar untuk tatapan penonton dan peminat filem-filem tempatan. Pertama ialah filem ini menawarkan banyak plot twist yang kreatif dan sentiasa berjaya mengelirukan atau membuatkan penonton teruja dengan apa yang disajikan. Sukar untuk melihat filem tempatan yang tampil dengan permainan plot yang berselerak sebegini tetapi berjaya mengekalkan momentum untuk membuatkan kami berpuas hati menonton sehingga ke babak akhir. Kedua ialah koreograf aksi serta permainan kamera yang bersatu dengan cukup baik. Dibantu oleh kredibiliti pelakon Kamal Adli yang sebenarnya mampu melakonkan babak-babak aksi dengan cukup baik membuatkan kami seolah-olah menonton filem John Wick versi Malaysia. Perkara ini sememangnya wajar diberi pujian kerana hampir 90 peratus babak-babak aksi ini dilihat sangat meyakinkan dan realistik. Jika anda gemarkan filem aksi, kami yakin anda pasti puas hati dengan apa yang anda bakal lihat di dalam filem ini nanti.


Namun, filem Escape ini bukan lah sebuah filem yang sempurna kerana terdapat juga kelemahan yang sepatutnya perlu dielakkan di dalam filem-filem bergenre seperti ini. Masalah pertama ialah berkenaan dengan audio filem ini dimana ianya berkaitan dengan muzik latar dan dubbing yang dilihat agak teruk sehingga pada satu ketika masalah ini membuatkan telinga kami agat bingit. Kedua ialah berkenaan adegan-adegan humor yang dilihat kurang menjadi terutama babak-babak yang melibatkan perbualan telefon. Kami melihat babak ini seakan-akan terlalu mencuba untuk dipandang lucu tetapi percubaan ini telah menjadi liabiliti kepada filem ini. Jika babak-babak tersebut dibuang atau dijadikan lebih serius, kami pasti filem ini akan menjadi lebih menarik. 

Masalah ketiga berkaitan dengan konti sesuatu imej dimana ada banyak adegan yang gagal mengekalkan perkara-perkara yang penting dengan baik seperti percikan dan tompokan darah di baju mahu pun luka atau kecederaan pada bahagian anggota badan seperti tangan watak utama. Selain itu, durasi filem ini yang dilihat agak panjang dengan menampilkan babak-babak yang tidak perlu atau meleret juga memberi kesan kepada tontonan kami. Namun, secara keseluruhan filem Escape ini masih menarik untuk ditonton kerana ia menawarkan satu pengalaman baru untuk penggemar filem-filem tempatan terutama dari sudut penceritaannya.

Jadi, selamat menonton filem Escape yang ditayangkan bermula pada 5 Januari 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!

P/S : Filem Seterusnya Yang Kami Akan Ulas Ialah Sebuah Filem Seram Yang Agak Menarik Berjudul M3GAN! Nantikan Ulasan Filem Tersebut Dalam Waktu Terdekat. 

Catat Ulasan

0 Ulasan