Review Filem Ride On

Filem:
Ride On

Penilaian:
8/10


Pengarah:
Larry Yang

Genre:
Aksi, Komedi & Drama

Pelakon:
 Jackie Chan, Yu Rongguang, Andy On & Etc.

Pengedar:
Shanghai Pictures

Tarikh Tayangan:
13 April 2023

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan seorang lelaki bernama Lao Luo yang melakukan aksi lagak ngeri bersama kuda kesayangannya iaitu Red Hare. Namun, dia kini tidak dapat menampung kehidupannya dan dengan berat hati meminta bantuan daripada anak perempuannya apabila diberitahu bahawa kudanya mungkin dilelong untuk menampung hutangnya. Tanpa diduga, aksi lagak ngeri kuda tersebut menjadi sensasi di media selepas pergaduhan sebenar mereka dengan pemungut hutang menjadi tular. Itu memberi peluang kedua kepada Lao Luo untuk memilih antara kerjaya filem atau keluarganya. Saksikan filem aksi komedi ini di pawagam berhampiran anda bermula pada 13 April 2023 untuk mengetahui kisah seterusnya.

Info Filem:
Filem ‘RIDE ON’ dibawakan oleh Pemegang Hak Pengedaran Malaysia, Shanghai Pictures Sdn. Bhd. dan diedarkan di Malaysia oleh Lotus Five Star dengan rakan pemasaran Infinity Entertainment Marketing. Filem aksi komedi Jackie Chan ‘RIDE ON’ akan mula ditayangkan di pawagam pada 13 April 2023.


‘RIDE ON’ ialah filem terbaru Jackie Chan selepas hampir 3 tahun tidak muncul di layar perak. ‘RIDE ON’ ditulis dan diarahkan oleh Larry Yang, menggabungkan minatnya terhadap kuda dengan filem aksi sebagai jalan cerita filem terbaru Jackie Chan ‘RIDE ON’. ‘RIDE ON’ mengisahkan tentang kisah hidup seorang pelakon lagak ngeri bernama Luo (Jackie Chan) yang tinggal bersama kuda kesayangannya ‘Red Hare’. Namun kehidupan kebahagian mereka mula terjejas bila mereka bergelut dengan masalah hutang dan diugut oleh pemungut hutang untuk melelong ‘Red Hare’. Demi menyelamatkan ‘Red Hare’, Luo menghubungi anak perempuannya Bao (Liu Haocun) dan teman lelakinya Mickey (Kevin Guo) untuk meminta bantuan.


Dalam filem ‘RIDE ON’ yang menyentuh hati ini, Jackie Chan melakonkan pelbagai watak yang berbeza daripada filem-filemnya yang lalu. Selain menjadi pelakon aksi lagak ngeri, Luo juga mempunyai persahabatan istimewa dengan ‘Red Hare’ yang begitu indah dan menyentuh hati. Ini diterjemahkan dengan begitu baik sekali di layar perak bila Jackie Chan dan seluruh pasukan produksi menjaga dan memanjakan ‘Red Hare’ untuk memastikan dia berada dalam keadaan selesa setiap kali berada di lokasi penggambaraan. Dalam filem ‘RIDE ON’, anda boleh melihat keseimbangan unsur aksi, komedi dan kisah ceritanya.


Penulis dan Pengarah Larry Yang telah diberi peluang bekerja dengan ikon global antarabangsa Jackie Chan dan tidak hairanlah, banyak watak ikonik Jackie Chan ditampilkan dari filem-filemnya sebelum ini sebagai satu penghormatan kepada idolanya. Tentunya kita tidak sabar melihat aksi lagak ngeri yang disatukan dalam filem ‘RIDE ON’ yang menyentuh hati.

Filem ‘RIDE ON’ dibintangi oleh Jackie Chan, Liu Haocun, Kevin Guo (anak kepada artis crosstalk terkenal GuoDegang) dan memperkenalkan ‘Red Hare’ dibawakan oleh Pemegang Hak Pengedaran Malaysia, Shanghai Pictures Sdn. Bhd., diedarkan di Malaysia oleh Lotus Five Star dengan rakan pemasaran Infinity Entertainment Marketing bakal ditayangkan di pawagam pada 13 April 2023.

Ulasan:

Alhamdulillah portal filem Rollo De Pelicula telah berjaya menonton sebuah filem aksi komedi yang cukup menarik lakonan bintang terkenal Jackie Chan iaitu Ride On pada 7 April 2023 yang lepas di Dadi Cinema Pavilion KL. Kami pada mulanya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap filem ini tetapi jangkaan kami tersasar sama sekali kerana filem ini berjaya memberi kejutan besar buat kami di dalam pelbagai aspek.

Kredit Gambar : Shanghai Pictures

Antara kekuatan utama filem Ride On ini ialah keserasian yang cukup kuat antara pelakon Jackie Chan dan haiwan utama di dalam filem ini iaitu seekor kuda yang dipanggil Red Hare. Hubungan yang cukup erat ini dapat diterjemahkan ke dalam bentuk visual dalam keadaan yang sangat meyakinkan sehingga berjaya menjentik dan menyentuh emosi penonton untuk sama-sama larut melayan emosi kedua-dua watak ini yang hidup dan bergerak seiring dengan setiap situasi sama ada suka mahu pun duka. Ianya menjadi lebih dekat buat penonton yang mempunyai haiwan peliharaan di rumah dimana secara am walaupun ianya adalah haiwan tetapi si tuan pasti menyayangi haiwan peliharaan mereka sepenuh hati sehingga menganggap mereka salah satu daripada ahli keluarga sebenar. Jadi, faktor ini telah berjaya diterjemahkan dengan cukup baik dan pujian harus diberikan kepada krew produksi yang terlibat.

Kredit Gambar : Shanghai Pictures

Filem Ride On juga tidak lekang dengan babak-babak aksi yang bukan sahaja menarik kerana adanya figura kungfu bernama Jackie Chan di situ. Tetapi, aksi-aksi ini menjadi lebih unik dengan kehadiran watak kuda tersebut yang berjaya dilatih untuk tampak sangat semula jadi. Koreograf yang digunakan dalam setiap babak aksi berjaya diatur susun dengan baik untuk tampak kemas, meyakinkan dan seronok untuk ditonton. Ditambah pula dengan gabungan visual-visual filem lakonan Jackie Chan sewaktu zaman mudanya sehingga terbaru yang dimasukkan di dalam filem ini memberikan satu rasa nostalgia yang cukup manis dan betul-betul bernilai untuk diingati dan dinikmati dengan satu perasaan teruja yang maksimum. Selepas 3 tahun tanpa sebarang filem, buah tangan terbaru daripada filem Jackie Chan ini boleh dikategorikan sebagai salah sebuah filem aksi yang cukup menarik dan terbaik untuk tahun 2023 ini. Bertepatan dengan salah satu motif utama filem ini untuk mendedikasikan keseluruhan cerita ini kepada para pelakon lagak ngeri yang sebenarnya banyak berkorban demi menjadikan sesebuah filem aksi tersebut menarik untuk ditonton.

Kredit Gambar : Shanghai Pictures

Filem Ride On juga berjaya meninggalkan kesan dari segi mesejnya yang cukup kuat tentang hubungan kekeluargaan serta kepentingan kemahiran ibu bapa di dalam mendidik anak-anak. Dapat dilihat disini bagaimana didikan berunsur positif berjaya mengubah setiap perkara negatif yang berlegar-legar di dalam pemikiran anak-anak yang masih muda dan terlalu mengikut jiwa amarah dalam diri. Hal ini telah membuatkan filem ini ibarat sudah lengkap secara keseluruhannya. Kehadiran Jackie Chan yang kembali mewarnai dunia filem melalui filem Ride On ini telah berjaya mengubat kerinduan seluruh peminat beliau yang sememangnya rindukan aksi dan lawak spontan beliau. Kisah dan cabaran pelakon lagak ngeri dalam industri lakonan yang menjadi intipati utama penceritaan filem ini juga berjaya diolah dan disampaikan dengan cukup baik untuk memberi kesedaran kepada penonton tentang wira disebalik tabir yang jarang kisahnya didendangkan kepada masyarakat. Ditambah dengan elemen emosi dan humor yang menyatu dengan baik telah berjaya menjadikan filem Ride On sebagai sebuah filem aksi terbaik dari Asia untuk tahun 2023 ini. Sangat berbaloi untuk ditonton di pawagam.

Kredit Gambar : Shanghai Pictures

Jadi, jangan lupa untuk menonton filem Ride On bermula pada 13 April 2023. Sila kongsikan artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen di bawah berkenaan pandangan anda terhadap filem ini untuk perkongsian buat kita semua. Sekian!



Catat Ulasan

0 Ulasan