Review Filem : Source Code



Filem:
Source Code


Director:
Duncan Jones


Genre:
Misteri, Sains Fiksyen & Thriller


Pelakon:
Jake Gyllenhaal, Michelle Monaghan, Vera Farmiga, Jeffrey Wright,
Michael Arden, Cas Anvar, Russell Peters & Etc.


Penilaian:
4 / 5


Sinopsis:

Colter Stevens merupakan salah seorang tentera udara Amerika Syarikat yang sedang bertugas di Afghanistan dan tiba - tiba beliau berada di dalam sebuah kereta api yang sedang bergerak menuju ke Chicago. Namun, apa yang memeningkan beliau ialah wajah dan nama beliau di dalam keretapi tersebut adalah milik orang lain dan beliau langsung tidak mengenali sesiapa pun di dalam keretapi tersebut. 8 minit kemudian kereta api itu meletup dan beliau tiba - tiba berada di dalam sebuah tempat lain dan di situ beliau dihubungkan dengan seorang wanita, Goodwin serta seorang saintis iaitu Rutledge yang memohon bantuan beliau untuk mencari siapakah dalang sebenar di sebalik pengeboman kereta api itu yang menyebabkan kesemua penumpang di dalamnya terkorban. Colter Stevens kemudian terpaksa membantu untuk mencari dalang letupan tersebut dan masa yang diberikan hanya 8 minit untuk setiap sesi menggunakan sebuah alat yang dicipta khas oleh Rutledge untuk menyelesaikan masalah ini. Masalah mula timbul apabila Colter Stevens keliru dengan tugasnya serta apabila beliau mengetahui bahawa beliau sebenarnya telah mati 2 bulan yang lalu sewaktu bertugas di Afghanistan. Jadi, apakah sebenarnya yang terjadi terhadap Colter Stevens? Mampukah beliau mencari siapakah dalang yang terlibat di dalam pengeboman kereta api ke Chicago tersebut?

Ulasan Hans:

Filem ini bermula dengan pelbagai persoalan yang bijak disusun rapi di dalam plot yang bergerak secara perlahan pada permulaannya tetapi mula dirungkaikan sedikit demi sedikit hingga membuatkan aku teruja tanpa menguap atau terlelap walau seminit pun. Jalan ceritanya sangat menarik kerana walaupun kebanyakannya latar tempatnya adalah sama dan berulang tetapi ia bijak dimanipulasikan dengan setiap kejadian yang berlaku dibuat dalam keadaan yang sungguh berlainan. Aku dapat merasai keletihan dan kesengsaraan yang di alami oleh Colter Stevens lakonan Jake Gyllenhaal yang cukup hebat dimana beliau terpaksa merasai mati di dalam letupan berulang kali untuk mencari siapakah dalang sebenar di sebalik kejadian pengeboman kereta api tersebut.

Watak Colter Stevens Yang Keliru Dengan Identitinya

Memang tidak masuk akal untuk aku menyokong bahawa ada alat mahu pun mesin yang mampu membawa seseorang kembali ke tempat kejadian untuk mencari siapakah penyebabnya tetapi itulah kreativiti yang aku gemari daripada filem ini. Aku teruja menonton karakter setiap watak yang ditampilkan kerana semua itu mencerminkan realiti kehidupan masa kini yang tiada siapa pun mampu untuk menafikan kebenarannya. Aku suka dengan emosi setiap pelakonnya tidak kira daripada watak utama sehinggalah kepada pembantu.

Elemen Cinta Yang Sedikit Tetapi Memberi Impak
Yang Cukup Kuat Pada Keseluruhan Cerita

Lihat sahaja pada watak Colter Stevens yang menunjukkan sisi keberanian. Watak Christina Warren pula menunjukkan nilai kejujuran. Manakala watak Goodwin pula dipaparkan sangat berperikemanusiaan dan watak Dr Rutledge pula ditonjolkan dengan sifat amat mementingkan diri. Begitu juga dengan watak Derek Frost yang sangat psycho serta pelbagai lagi watak yang menyokong antara satu sama lain hingga menjadikan filem ini begitu menarik dan kuat pada pandangan aku.

Siapakah Dalang Sebenar Yang Dicari Oleh Colter Stevens?

Pelbagai elemen dimasukkan di dalam filem ini sama ada elemen kemanusiaan, hak asasi manusia, komedi, kasih sayang dan sebagainya yang menjadikan filem ini bukannya sekadar sebuah naskhah biasa tetapi lebih kepada satu karya yang cukup istimewa. "Apa yang akan anda lakukan jika anda tahu anda hanya mempunyai masa hanya 1 minit sahaja lagi untuk hidup!" merupakan ayat atau kata - kata yang begitu bermakna sekali di dalam filem ini. Sebab itu aku lebih suka jika filem ini di akhiri dengan adegan semua penumpang tersenyum riang sebelum kejadian letupan tersebut berlaku tetapi sayangnya pengakhiran filem ini digarap untuk membuatkan penonton keliru seperti mana pengakhiran filem Inception dimana aku sebagai penonton boleh membuat pelbagai kesimpulan atau andaian terhadap apa sebenarnya yang berlaku.

"Apa yang akan anda lakukan jika anda tahu anda hanya
mempunyai masa hanya 1 minit sahaja lagi untuk hidup!"

Andaian aku mudah sahaja dimana alat ciptaan Dr Rutledge itu telah mengganggu ruang masa dan untuk membuatkan anda lebih mengerti maka aku menjadikan siri kartun Jepun terkenal iaitu Doraemon sebagai contoh. Jika anda adalah salah seorang peminat siri Doraemon pasti anda akan mengerti tentang gangguan ruang masa yang aku maksudkan dimana jika sesuatu peristiwa yang telah berlaku telah diubah maka ia akan menggangu ruang masa dunia.

Bagi Aku Watak Paling Kejam Ialah Dr Rutledge

Apa - apapun, bagi aku filem ini sangat menarik untuk ditonton kerana anda akan dipertontonkan betapa bernilainya kehidupan ini dan juga dengan kerenah manusia yang pelik dan mementingkan diri yang tidak disedari oleh manusia - manusia itu sendiri. Jadi, selamat menonton filem hebat ini di pawagam berhampiran anda.


P/S : Memang Berbaloi Menonton Filem Source Code.

Catat Ulasan

1 Ulasan

  1. hye~ actually, first tyme sampai cni.. somebody put ur link abt review Nur Kasih, and i ended up bace review movie laen kat cni sebab i sgt suka the way u describe that movie. BTW, i had watched source code, and confuse bila part ending. i just conclude yg hero tu da ada dalam alam laen. alam baru. seriously tak clear ending die.. sama macam tgk cite inception, lagi la i tak faham mana satu reality and mimpi.. anyways, thanks untuk semua review~

    BalasPadam