Filem:
 Transformers: Dark Of The Moon


Pengarah:
Michael Bay


Genre:
Aksi, Pengembaraan & Sains Fiksyen


Pelakon:
Shia LaBeouf, Rosie Huntington-Whiteley, Tyrese Gibson,
Josh Duhamel, John Turturro, Patrick Dempsey & Etc.


Penilaian:
3 / 5


Sinopsis:

 Filem ini mengisahkan tentang Autobots yang diketuai oleh Optimus Prime yang sekali lagi kembali menentang musuh lama mereka iaitu Decepticons. Masalah mula timbul apabila Sentinel Prime yang dibawa ke bumi selepas dijumpai di bulan hasil misi Amerika yang menghantar angkasawan mereka untuk bersaing dengan pihak Soviet dibawa pulang oleh Optimus Prime untuk dihidupkan. Sentinel Prime telah berpaling tadah apabila bekerjasama dengan pihak Decepticon untuk membawa planet Cybertron kebumi dan seterusnya menjadi pemerintah utama di bumi dan ketua kepada manusia. Seperti filem - filem sebelum ini, Sam Witwicky dan sahabat - sahabatnya robotnya kembali membantu pihak berkuasa Amerika untuk menghalang pihak Decepticon serta Sentinel dan seterusnya menyelamatkan bumi daripada cengkaman Decepticons. Mereka menghadapi pelbagai halangan kerana keseluruhan bandaraya Chicago telah dikuasai oleh pihak Decepticon yang diketuai oleh Sentinel. Manakala pihak Autobots pula yang dihantar keluar daripada bumi menggunakan sebuah roket telah dimusnahkan oleh pihak Decepticons. Jadi, mampukah Sam Witwicky menghalang kemaraan pihak Decepticon tanpa bantuan Autobots? Saksikan sendiri filem ini di pawagam berhampiran anda.

Ulasan Hans:

Filem ini bagi aku amat lemah dari segi plot dan jalan ceritanya. Pada 30 minit pertama filem ini sahaja sudah membosankan aku dengan dialog - dialog yang meleret dan adegan humor yang bagi aku sebenarnya sedikit sebanyak membuatkan aku tertanya - tanya kenapa perlunya adegan - adegan yang agak membazir masa seperti itu. Memang ada adegan yang betul - betul mencuit hati tetapi bagi aku banyak lagi perkara lain yang perlu difokuskan daripada membazir masa untuk adegan - adegan yang tidak perlu. Nampaknya penulis skrip kali ini iaitu Ehren Kruger tidak mampu menyaingi Roberto Orci dan Alex Kurtzman yang paling tidak berjaya menjadikan sekuel - sekuel sebelum ini lebih menarik untuk ditonton berbanding Filem Transformers: Dark Of The Moon ini.

 Salah Satu Babak Yang Melibatkan Optimus Prime

Aku juga merasakan aura pelakon wanita yang menggantikan Megan Fox iaitu Rosie Huntington-Whiteley seperti kurang menyerlah. Aku bukan mahu membandingkan antara mereka berdua tetapi aku rasa aku lebih menyukai lakonan Megan Fox yang lakonannya lebih menarik dan punya karisma tersendiri. Walaupun ada babak yang sebenarnya membantu watak Carly menjadi lebih kuat dan penting namun aku tidak nampak semua itu. Namun, aku amat gembira menonton CGI filem ini di dalam 3D kerana bagi aku hasilnya memang menarik dan sempurna sehingga membuatkan aku terhibur melihat aksi - aksi pertarungan yang melibatkan antara pihak robot dan juga manusia. Bagi aku kekuatan filem Transformers: Dark Of The Moon ini memang terletak pada kesan khas yang memang direka dengan begitu teliti sekali menjadikan filem ini berjaya dari segi itu. Disamping itu lagu tema filem ini yang dinyanyikan oleh kumpulan Linkin Park juga menarik kerana berjaya membantu membangkitkan emosi penonton.

 Watak Carly Lakonan Rosie Huntington-Whiteley Kurang Menyerlah Dimata Aku

Mesej filem ini agak menarik pada pandangan aku kerana ia membawa tentang nilai kemanusiaan dimana dipaparkan bagaimana Optimus Prime iaitu sebuah robot terpaksa memilih untuk memihak pada manusia atau pun pihak robot dan bagaimana hubungan antara Sam dan Bumble Bee yang begitu rapat dan berjaya dipaparkan dengan begitu hebat sekali namun apa yang mengecewakan aku ialah aksi pertarungan kali ini banyak memaparkan pertarungan antara manusia dan robot berbanding pertarungan antara pihak Autobots serta Decepticon dan begitu mudahnya pihak Decepticon dan Sentinel ditewaskan sedangkan sebelum ini mereka digambarkan begitu kuat dan amat sukar untuk ditewaskan. Paling rasa lucu apabila mereka dengan mudahnya terhasut dengan kata - kata Carly iaitu kekasih Sam dan mudah ditewaskan oleh Optimus Prime yang boleh dikategorikan cacat ketika aksi itu kerana kehilangan sebelah lengannya. Penamat yang sebenarnya langsung tidak mendebarkan dan bagi aku biasa - biasa sahaja.

 Kesan Khas Filem Ini Memang Menarik

Secara dasarnya, kekuatan filem ini lebih kepada kesan visual iaitu CGI nya yang memang memuaskan hati aku namun tidak pada susunan jalan ceritanya yang sedikit kabur dan lebih dimomokkan dengan adegan - adegan yang bagi aku tidak perlu atau lebih kepada membazir masa sahaja sedangkan sepatutnya mereka lebih memfokuskan kepada kisah pihak Decepticon dan Sentinel itu sendiri. Namun, aku suka dengan kreativiti mereka mengaitkan tentang kisah angkasawan Amerika yang menjejak bulan dan juga tentang kisah Chernobyl yang bagi aku walaupun itu cuma imaginasi untuk menyedapkan cerita tetapi setidak - tidaknya hal itu menjadikan filem ini sedikit menarik untuk ditonton.

 Salah Satu Babak Menarik Didalam Filem Ini

Filem ini bukanlah seteruk mana kerana ia masih boleh ditonton dengan rasa teruja cuma jangan terlalu mengharap filem ini begitu bagus dari segi jalan ceritanya kerana momentum filem ini teramat perlahan pada peringkat awal dan sedikit serabut namun anda pasti tidak rugi menonton visualnya yang menarik. Jadi, selamat menonton dan moga anda gembira dengan filem Filem Transformers: Dark Of The Moon ini.

P/S : Meredah Hujan Dan Jalan Yang Licin Semata - Mata Untuk Menonton Filem Ini Sememangnya Merupakan Satu Pengalaman Baru Yang Menarik! (^_^)Y