Filem:
Klik 3GP


Pengarah:
Aidil Fitri Mohamed Yunos


Genre:
Seram & Misteri


Pelakon:
Zahiril Adzim, Mimie One Nation Emcee, Fikhree Abu Bakar, Zydee,Shafiq Isam,
Iskandar, Tasha Shila, Adeline Anthony, Amanda Misbun, Sara Ali, Sabhi Saddi & Etc.


Penilaian:
3 / 5


Sinopsis:


Eddie yang baru berusia sekitar 20 tahun sudah meraih kejayaan di dalam urusan perniagaannya yang dilakukan di Internet. Dia seorang jejaka yang memiliki segala - galanya. Tampan, hidup mewah dan mempunyai ramai teman wanita. Tanpa diketahui sesiapa, Eddie sebenarnya meraih keuntungan daripada perniagaan membeli dan menjual klip-klip pornografi dan sensasi di Internet. Maya Akhtar pula adalah seorang wartawan yang begitu fokus terhadap kerjayanya. Malangnya, dia telah diugut oleh Sunny yang memiliki rakaman video hubungan sulit mereka.

Lebih mengejutkan lagi ialah perbuatan Sunny tersebut disokong oleh isterinya sendiri iaitu Rita kerana inilah cara mereka membuat duit dengan memperdaya wanita untuk tidur dengan Sunny dan memeras ugut mangsa kemudiannya. Suria, Mina dan Zakiah adalah tiga gadis remaja yang dalam perjalanan untuk mencari hiburan hujung minggu di Kuala Lumpur. Tanpa disangka, malam itu berubah menjadi suatu peristiwa yang menyeramkan apabila mendapati diri mereka diburu oleh satu makhluk yang mengerikan. Sandra adalah seorang gadis sekolah yang menjadi mangsa deraan seksual oleh Jefri.

Lebih dari itu, Sandra telah diperkosa beramai-ramai oleh satu geng motosikal yang dianggotai Jefri dan abang kandung Sandra sendiri iaitu Burn. Acara perkosaan ini telah dirakamkan oleh geng ini melalui kamera telefon bimbit Jefri. Dalam filem 3GP, kehidupan watak-watak berbeza ini akhirnya bersulaman dan berkait melalui pembocoran klip-klip 3gp mereka kepada masyarakat Internet dan dunia mereka bertembung dalam satu kemuncak yang dramatik.

Ulasan Hans:

Aku baru selesai menonton filem Klik 3GP sebentar tadi sebelum sekejap lagi menonton pula filem Real Steel. Baiklah! Ini adalah pandangan dan komen peribadi aku selepas berkesempatan menonton filem ini daripada awal sehingga penamat. Klik 3GP digarap berdasarkan kisah - kisah hitam yang mungkin kelihatan negatif bagi segelintir orang. Itu aku tidak nafikan kerana sudah namanya filem ini menyajikan kisah tentang bahana klip lucah, karya porno dan juga pelbagai aksi yang agak dasyat kerana bersifat erotik yang terdapat di dalam filem ini. Jadi, aku mengharapkan agar kepada sesiapa yang mahu menonton jangan lah dibawa bersama kanak - kanak mahu pun budak sekolah walaupun ia diklasifikasikan sebagai PG13 kerana ada beberapa adegan yang aku rasakan sangat tidak sesuai untuk ditonton oleh remaja.

Watak Eddie Yang Bagi Aku Agak Misteri Tetapi Menarik

Aku sukakan intipati kisahnya dan ini secara tidak langsung membuatkan aku bersetuju dengan Zahiril Adzim yang juga antara pelakon utama filem ini dimana sebab beliau bersetuju untuk berlakon filem ini kerana kisah ini sebenarnya dekat dengan masyarakat Malaysia terutamanya remaja. Kebanyakkan daripada masyarakat khususnya yang sudah berusia memang agak asing dengan apa itu 3GP tetapi aku sudah mendengar tentang hal ini sejak 6 tahun yang lalu. Jadi, mungkin pada zaman kini ia lebih dasyat menular dan menjadi barah dalam masyarakat kita khususnya golongan remaja. Itu adalah salah satu mesej yang aku nampak apa yang filem Klik 3GP ini cuba sampaikan dan bagi aku ia adalah sebuah cerita yang sebenarnya bagus dan begitu memberi kesedaran namun ia bergantung kepada penerimaan penonton itu sendiri. Jika yang dicari negatif maka negatif lah yang anda jumpa dan begitulah sebaliknya.

Kurang Umph Sikit Lah!

Filem ini mempunyai 4 buah kisah yang tidak berkait antara satu sama lain tetapi pada akhirnya ia membawa kepada satu jawapan yang sama iaitu kesan laman web 3GP itu sendiri pada hidup mereka. Kebanyakkan kisah tidak diberi kekuatan sama rata dimana apa yang aku perasan hanya kisah mengenai Maya dan Sunny sahaja yang agak kuat sedikit momentum jalan ceritanya dan watak Maya itu yang lebih diberi fokus perkembangan berbanding watak - watak lain. Bagi aku setiap kisah yang lain seperti Hantu Kebaya Merah, kisah Sandra diperkosa abangnya sendiri dan juga kisah kaki skodeng juga mempunyai kekuatan namun di dalam filem ini ia hanya sekadar cerita sampingan yang sebenarnya jika diberi perhatian mampu memberi kekuatan unik pada filem ini sendiri. Kenapa aku berkata begitu? Bagi aku setiap kisah tersebut membuatkan sifat ingin tahu aku meninggi tetapi aku tidak peroleh jawapannya langsung! Sebagai contoh kisah Sandra itu sendiri! Dari mana Sandra datang malam - malam buta ke rumah lelaki yang baru dikenalinya dengan riak rasa ketakutan melampau? Apa penyebab abang dia sanggup melakukan perkara keji tersebut? Banyak lagi yang sebenarnya tidak terjawab di dalam filem ini kerana bagi aku filem ini lebih memberi fokus pada watak Maya sahaja.

Lakonan Sulung Yang Boleh Dipuji

Dari segi lakonan pula boleh aku katakan lakonan Mimie ONE boleh dipuji kerana ini adalah lakonan pertama beliau dan agak menarik juga melihat beliau membawakan watak seorang gadis psiko sebegini. Mungkin ada sedikit kekurangan namun bagi aku lakonan beliau agak bagus. Aku sedikit kecewa kerana watak Eddie kurang dikembangkan di dalam filem ini kerana bagi aku watak ini misteri dan menarik. Fikhree Abu Bakar pula bagi aku berjaya membawakan watak gigolo dengan baik. Lakonan pelakon lain pula apa aku boleh katakan biasa - biasa sahaja dan ada juga yang memberikan lakonan yang mengecewakan. Sebagai contoh di dalam kisah Hantu Kebaya Merah dimana ketiga - tiga pelakon wanita kurang memberi kesan untuk kisah tersebut. Pelakon seperti Sara Ali, Tasha Shila dan Amanda Misbun sebenarnya sudah dikenali melalui filem dan drama sebelum ini namun lakonan mereka agak mengecewakan(walaupun aku meminati Tasha Shila di dalam drama Ramadhan Terakhir). Cuma lakonan Sara Ali sedikit menarik berbanding 2 orang lagi pelakon tersebut. Bagi aku kisah yang melibatkan mereka itu agak menarik cuma hal ini sedikit sebanyak menghilangkan minat aku pada kisah tersebut. Ditambah pula dengan kesan khas hantunya yang langsung tidak menarik.

Suami Isteri Yang Berkomplot

Baiklah! Aku mahu menonton filem lain pula! Apa aku boleh kata filem Klik 3GP ini mempunyai intipadi dan mesej yang mungkin ramai menyedari tetapi kurang nampak kesannya dan bagi aku filem ini mempunyai sebuah idea segar yang agak menarik untuk dijadikan cerita. Jika ditanya tentang mesejnya maka boleh katakan aku nampak bahayanya apa jenis video atau pun di dalam situasi seharian kita dimana kadang - kadang kita tak jangka bahawa perkara sebegitu akan menarik manusia - manusia berhati hitam untuk merakam dan merosakkan hidup kita seumur hidup. Cuma sayangnya plot - plot cerita dan watak - watak lain tidak dikembangkan dengan lebih mendalam. Garapan filem juga bagi aku sedikit serabut dan kurang kemas! Aku lebih suka jika filem ini hanya mengambil 2 kisah dan menggabungkannya jika itu boleh menjadikan filem ini lebih bagus dan padat. Apa - apapun, kepada yang ingin menonton aku ucapkan selamat menonton!

P/S : Selepas Ini Mungkin Pengarah - Pengarah Filem Malaysia Boleh Mula Menjadikan Psikologi Sebagai Tema Filem Pula Seperti Filem The Orphan Kerana Bagi Aku Ia Adalah Satu Subjek Yang Menarik Untuk Diketengahkan :-)