Review Filem Underworld Awakening



Filem:
Underworld Awakening


Pengarah:
Mans Marlind & Bjorn Stein


Genre:
Aksi, Fantasi & Seram


Pelakon:
Kate Beckinsale, India Eisley, Michael Ealy, Theo James,
Sandrine Holt, Kris Holden-Ried, Robert Lawrenson & Etc.


Penilaian:
8 / 10


Sinopsis:

Siri keempat Underworld ini mengisahkan tentang pertempuran epik antara puntianak dengan puak serigala jadian, Lycans. Selene yang merupakan pahlawan puntianak yang hebat kembali berjuang untuk menyelamatkan diri serta generasinya. Begitupun dunia manusia semakin maju dan terbuka jadi manusia telah mengetahui tentang kewujudan serigala jadian dan puntianak lalu bertindak menghapuskan kedua - dua generasi ini daripada terus hidup dimuka bumi. Pihak manusia telah mengistiharkan bahawa puak serigala jadian telah berjaya dilenyapkan dan kini mereka menjalankan operasi memburu puak puntianak pula. Selene akhirnya terperangkap dan dipenjarakan oleh manusia dengan cara dibekukan di dalam sebuah bekas sebagai bahan kajian dan apabila dia tersedar dari tidurnya rupanya - rupanya sudah 15 tahun tempoh masa berlalu dan dia mendapat tahu bahawa dia memiliki anak yang berusia 14 tahun bernama Nissa. Begitupun, Nissa amat digeruni oleh banyak pihak kerana dia memiliki darah campuran puntianak dan juga serigala jadian. Apa yang memeranjatkan Selene apabila dia mendapat puak serigala jadian atau Lycans sebenarnya masih wujud dan di dalam kuantiti yang ramai serta semakin kuat berbanding dahulu. Jadi, siapakah sebenarnya dalang di kalangan puak manusia yang melindungi puak Lycans? Adakah Selene berjaya menyelamatkan anaknya Nissa daripada ditangkap oleh pihak manusia atau Lycans? Saksikan filem hebat ini di pawagam berdekatan anda untuk mengetahui jawapannya.

Ulasan Hans:

Filem ini merupakan antara yang terbaik pernah aku tonton di antara sekuel filem Underworld sebelum ini yang bermula dengan Underworld(2003) dan kemudian Underworld: Evolution(2006) sebelum diteruskan dengan sekuel ketiganya iaitu Underworld: Rise of the Lycans(2009). Melihatkan pada sambutan hebat yang diterima daripada peminat filem ini maka akhirnya muncul lah siri keempatnya iaitu Underworld: Awakening dan bagi aku pengarah filem ini iaitu Mans Marlind dan Bjorn Stein telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik kerana walaupun filem kali ini telah memasuki satu dimensi baru melibatkan manusia namun jalan ceritanya masih kekal sama dan bertambah unik.

 Kate Beckinsale Cukup Hebat Membawakan Karakter Selene

Filem ini memang menarik kerana jika sebelum ini ia lebih memfokuskan pada 2 puak yang berseteru iaitu puntianak dan serigala jadian serta kebanyakannya adegannya cuma berlegar di waktu malam namun kali ini filem ini telah menjadikan manusia sendiri sebagai salah sebuah pihak yang terlibat di dalam sengketa antara kedua - dua puak ini dan bertanggungjawab untuk menghapuskan serta melenyapkan kedua - dua spesies ini daripada wujud dimuka bumi. Ini amat menarik kerana ia memaparkan antara cinta, pengorbanan, kasih sayang dan kekeliruan di dalam menyelamatkan pihak musuh yang sebenarnya bukan musuh mereka atau orang tersayang. Sebagai contoh ialah Selene yang terpaksa membunuh manusia yang sebelum ini telah menjalankan proses penghapusan puntianak sedangkan dalang sebenarnya adalah puak Lycans sendiri yang amat membenci puak puntianak berdasarkan kisah terdahulu.

Detektif Sebastian Lakonan Michael Ealy

Juga kesedihan yang meliputi manusia bernama Detektif Sebastian yang terpaksa membiarkan mendiang isterinya mati dibunuh dan dibakar oleh manusia gara - gara isterinya disahkan bukan manusia normal kerana mempunyai genetik pontianak serta bagaimana David yang terpaksa menentang ayahnya yang berkeras tidak mahu membantu Selene dan anaknya Nissa kerana tahu bahawa Nissa merupakan anak hibrid yang mampu membawa bencana besar jika jatuh di tangan pihak Lycans. Hal ini menarik kerana sifat kemanusiaan itu sebenarnya berjaya diterapkan dalam jiwa puak puntianak ini menjadikan mereka lebih manusia daripada manusia di dalam filem ini. Kemungkinan besar akan ada lagi sekuel terbaru filem ini jika dilihat pada pengakhiran filem ini dimana bapa Nissa yang merupakan orang yang paling disayangi oleh Selene masih hidup dan mereka bertiga serta puak puntianak yang lain masih diburu oleh puak Lycans serta manusia.

India Eisley Sebagai Nissa

Aku sukakan filem ini kerana gembira melihatkan bagaimana bijaknya cerita ini mengaitkan tempoh Salene dibekukan sebagai bahan kajian selama 15 tahun dengan misterinya watak Nissa tersebut yang sememangnya menjadikan satu tanda tanya dan diberikan jawapan yang menarik dan tidak kelihatan janggal bagi aku. Dari segi lakonan, Kate Beckinsale sememangnya sesuai dan layak memegang watak Selene kerana lakonannya yang memerlukan penghayatan serta emosi yang bagus dalam menghadapi pelbagai situasi sukar serta sentiasa hebat di dalam babak aksinya memang menghiburkan aku. Pelakon - pelakon lain seperti India Eisley, Theo James dan lain - lain tidak kurang hebatnya kerana setiap daripada mereka sememangnya berjaya memberikan yang terbaik untuk menjadikan filem ini memang berbaloi untuk ditonton.

Terbaik Kan?

Kesan khas atau CGI filem ini memang terbaik dan aku sangat berpuas hati menonton filem ini di dalam format 3D. Adakalanya aku terlupa bahawa itu cuma filem kerana tanpa aku sedar aku mengelak diri aku daripada terkena simbahan kaca atau apa - apa sahaja yang melompat keluar daripada skrin yang sememangnya mengejutkan aku. Agak lucu situasinya apabila terkenangkan kembali pengalaman tadi. Bertambah menarik melihat kesan khas perubahan puak Lycans daripada manusia bertukar menjadi serigala yang tampak menakjubkan dan sangat mengujakan kerana kelihatan cukup nyata sekali. Aksi kejar mengejar, berlawan, berperang, menembak serta membunuh juga bagi aku sangat menarik, sempurna dan agak menggerikan. Pergerakan kamera yang kemas! Sinematografi yang cukup menarik! Skor muzik yang bagus dan mendebarkan! Memang sesuai filem ini diklasifikasikan untuk tontonan 18 tahun ke atas kerana ia memang tidak sesuai untuk tontonan kanak - kanak kerana adegan melibatkan darah yang agak keterlaluan. Jadi, selamat menonton filem hebat ini di pawagam berdekatan anda dan aku pasti anda semua tidak akan menyesal kerana filem ini memang menarik dan cukup menghiburkan!


P/S : Sebenarnya Mahu Menonton Journey 2: The Mysterious Island Tetapi Tak Ada Pula Ditayangkan! Nasib Filem Underworld Awakening Nih Terbaik! (^_^)Y

Catat Ulasan

6 Ulasan

  1. cantik hans..Cerita ni yang bakal aku tgk leps ni..heheh

    BalasPadam
  2. PKE : Tgok 3D tau...baru puas hati :-)

    BalasPadam
  3. Ulasan yang membuatkan diri ini rasa nak tengok filem ini dalam masa terdekat..:)

    BalasPadam
  4. mesti tonton ni...

    anyway i masukkan ur blog dalam my fav blog list :)

    BalasPadam
  5. haha..betul tu..nyesal aq tak tengok 3D...memang best giloz cite ni...

    BalasPadam
  6. kebetulan saya saja2 pusing2 dlm blog ni terjumpa la pulak review Underworld- tak sabar nak tengok dah!

    BalasPadam